iDAN

25 Mac 2012

Anif dalam dilema.


"Anif tak mahu nanti Anif dibandingkan dengan angah, angah tu pelajar cemerlang naikkan nama sekolah dia nanti dikatakan pula Anif pelajar yang jatuhkan nama sekolah!" itu yang dituturnya ketika aku cadangkan dia di SM Gombak.

Memang pilihan awalku mahu dia masuk ke SM Sepang; tapi dah masuk ke asrama STTJ Seremban baru dapat panggilan ke SM Sepang. Bukan surat tawaran sekadar panggilan mengatakan Anif layak masuk ke SM Sepang. Ketika itu dia pun dah kisah di mana tempat belajar.

Semalam aku jadi keliru. Pening dan penat amat memikirkan. Sudah berlalu tiga bulan, Anif rasa tak seuai sekolah di STTJ. Bermula dari jam tangannya dicuri rakan. Kemudian dia risau keputusan peperiksa semesternya teruk. Tak pasti di mana silapnya; jika dia memang pelajar cemerlang apakah masalah persekitaran belajar di sana jadi penyebab dia malas belajar.

"Jam itu nanti kita beli lain; kita beli pun murah. Nanti pencen ayah masuk ayah belikan jam yang sama. Biarlah pencuri tu ambil mungkin emak ayahnya orang susah. Jangan fikirkan sangat!" Anif nampak terima apa yang ayahnya cakap.

Semalam dia mengadu ramai rakannya kena buka gerobok; dia syak pelajar lebih senior ada kunci induk. Sebab tak ada kesan dipecah.

"Tau-tau mee segera hilang, barang makanan habis kena kebas!" memang aku pun pernah berbual masa awal dia masuk asrama. Pelajar yang lama berpesan, biasa katanya gerobok kena pecah. Duit jangan bawa banyak. Dulu pun aku duduk asrama masalah sebegini di asrama memang biasa. Paling tak guna ketika pengawas asrama buat peperiksaan mengejut; ketika inilah ada saja barangan yang kita sayang akan hilang. Selalunya kalangan pengawas asrama itu sendiri yang belut.

"Memang masalah remeh begini sering berlaku di mana-mana asrama Anif, kita kena tahan hati jangan kita jadi orang jahat sudahlah. Datang ke asrama untuk tekun belajar bukan buat hal ganggu orang belajar!" Anif diam saja.

Aku perasan dalam perjalanan ke asrama sepanjang lebuhraya LEKAS aku jeling cermin belakang dia nampak stres sangat. Dapat aku rasa hatinya sejak kebelakang ini memang ada tak kena. Dia tak bilang pun mata pelajarannya jatuh. Semalam baru dia kasi tahu. Banyak dia dapat C. Dia tak dapat tangkap apa cikgu ajar. Tak pasti berapa ramai pelajar di kelasnya macam dia; kalau tak ramai mungkin kita andaikan dia yang terleka.

"Anif tak payah risau masalah C ke A, janji Anif dah cuba; silap kalau kita nak A belaka ada ketika silap baca soalan pun kita boleh dapat B. (macam abangnya dalam SPM tak pernah dapat Bahasa Inggeris B tetiba itulah satu-satu mata pelajaran buat dia dan kemi sekeluarga terkilan amat)... kita ni jadi manusia bodoh asyik nak A tanpa perhatikan CGPA atau sejarah pelajaran kita lalu..." aku cuba menyakin Anif agar jangan putus asa.

Semalam setalah melawat Anif di asrama balik ke rumah aku tanya angah; abgnya Aziq bagaimana pelajarannya ketika awal berada di SM Gombak.

"Aziq masa awal belajar di SM Gombak ada tak dapat mata pelajaran kuputusan C?"

"Ada... awal masuk Aziq memang pelajar bodoh!"

"Abis tu bagaimana Aziq jadi pandai?"

"Aziq belajarlah sungguh-sungguh"

"Nanti adik Aziq balik kasilah dia nasihat; kasi motivasi agar kekal tinggal di asrama!..." memang Aziq ni bukan jenis berbual mesra dengan ayahnya. Dia ikut ibunya sukar nak berbual cara terbuka berbanding anak-anak lain. "...ayah memang tak yakin dia akan dapat keputusan cemerlang jika tinggal di rumah, tenguk kawan dia bergaul pun ayah rasa risau amat!, bukan nampak pelajar jenis kaki belajar ulat buku"

"Entahlah ayah angah pun rasa macam tu di asrama lebih senang belajar sepatutnya..!"

Penat nak fikirkan masalah anak ini; Masa Afiz anak yang sulung sekolah memang dia aku tak hantar tinggal di asrama. SPMnya cukup makan. Kasihan Afiz dia mengaku dia silap pilih kawan masa Tingkatan empat dan lima. Rakannya bukan jenis pentingkan pelajaran. Ini satu masalah keluarga yang amat sukar. Menjaga pergaulan anak ketika belajar.

Teringat rakanku yang anaknya berjaya ketika SPM dan ramai belajar luar negara; mereka tinggal dengan keluarga ketika menghadapi SPM bukan pelajar asrama. Mereka tetap berjaya tetapi memang ibu ayah kena banyak berkorban. Terpaksa hantar kelas tambahan saban malam. Di luar bayaran kelas tiusyen bukannya murah. Masa Aziq di SM Gombak dia masukkan juga kelas tambahan ketika malam tapi bayarannya jauh lebih murah berbanding di luar asrama.

Bukan isu murah atau mahal mahu diperjelaskan. Selalunya ibu ayah akan sanggup berkorban apa saja demi mendapat keputusan peperiksaan anak-anak yang cemerlang. Yang penting minat atau ketekunan pelajar itu sendiri ingin belajar. Tak mungkin boleh dipaksa anak-anak kita belajar. Yang lebih utama kesedaran mahu belajar. Peluang belajar bukan sering kita temui. Seperti kes Anif nan terbelenggu kini: STTJ adalah sekolah yang tersohor. Melahirkan ramai pelajar cemerlang. Sayang amat jika dia tak ambil peluang belajar di STTJ. Kami sekeluarga tengah berdoa agar Anif damai di sana. Agar jangan ada anasir jahat terus menganggu dia. Agar cikgu di sana dapat memantau masalah ini sebaiknya. Ini masa depan anak-anak bangsa kita.

Agar Allah Azzawajalla dapat menunjukkan jalan terbaik buat Anif anak kami.

Tiada ulasan: