2012/05/08
PUTRAJAYA: CUEPACS berharap supaya Suruhanjaya Khas bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara, dapat ditubuhkan dalam bulan ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata sehingga kini kerajaan masih belum mengumumkan senarai anggota suruhanjaya itu, ketika pihaknya menerima pelbagai pertanyaan daripada anggota gabungan mengenainya.
"Harapnya dalam tempoh terdekat ini, sebelum bulan sambutan Hari Pekerja ini berlalu, mohon jasa baik kerajaan supaya dapat umumkan senarai nama anggota suruhanjaya itu," katanya dalam sidang media di pejabat Kepertama, Universiti Putra Malaysia di sini.
Beliau berkata, kebanyakan anggota gabungan yang membuat pertanyaan adalah dari kalangan 23 kesatuan sekerja.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lalu dan semasa acara itu Najib turut mengumumkan pembatalan Sistem Saraan Baru perkhidmatan Awam (SBPA) dan pelaksanaan semula Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.
Omar berkata, beliau difahamkan suruhanjaya itu nanti akan mencadangkan penampilan sistem gaji bagi menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan seperti gaji maksimum, kekananan pegawai, kenaikan pangkat, dan sebagainya.
- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan