Editor 'ditembak' dengan soalan pilih kasih dalam pemilihan karya
MESKIPUN kehadiran pada Dialog Orang Muda: Media Massa dan Sastera kecil, ekoran perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah Celsea-Bayern Munich dan Piala FA Kelantan-Sime Darby malam sebelum program, tetapi sesi hampir dua jam tetap 'panas'.
Penulis Muda, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) diasak soalan dengan maksud tersirat dan meskipun dijawab panel, tetapi dapat disimpulkan beberapa penulis yang melontarkan soalan ‘sensitif’ tidak berpuas hati dengan jawapan panel.
Saya tidak nafikan ada karya indie bermutu, tetapi sesuai dengan kedudukan Dewan Sastera dengan citra yang dibawanya selama ini, adalah tidak wajar untuk majalah ini menyiarkan karya penulis yang baru pertama kali menghasilkan karya, sekalipun karyanya bermutu. - Padilah Ali, Ketua Editor Bahagian Majalah DBPKetua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Padilah Ali, menjadi ‘sasaran’ penulis muda dan mapan melepaskan rasa tidak puas hati mereka berhubung pemilihan cerpen mutakhir ini dalam majalah sastera berprestij, Dewan Sastera.
Dewan Sastera menjadi dambaan hampir semua penulis kreatif negara ini, baik muda apalagi veteran untuk melihat karya mereka mendapat tempat kerana dianggap sebagai kayu aras bagi mengukur ‘kehebatan’ seseorang pengarang kreatif negara ini.
Penulis mapan, Zainal Rashid Ahmad meluahkan rasa tidak puas berhubung pemilihan cerpen dalam Dewan Sastera sejak 10 tahun kebelakangan ini kerana tidak melahirkan penulis besar seperti yang pernah terjadi sebelum ini.
“Saya tidak melihat citra Dewan Sastera seperti yang pernah dinikmatinya dulu. Saya dapati karya penulis indie yang banyak aliran pemikiran baru begitu sukar menembusi Dewan Sastera sedangkan sesetengah daripada karya ini hebat dan wajar diketengahkan.
“Saya mengambil inisiatif mengumpul karya penulis indie untuk dibukukan dan dikongsi dengan rakan seperjuangan dari Indonesia untuk diketengahkan kepada pembaca sastera kerana berasa amat rugi jika dibiarkan begitu saja,” katanya juga Pengurus Besar, Bahagian Majalah dan Dokumentasi TV Al-Hijrah.
Zainal Rashid turut meluahkan rasa tidak puas hati berhubung program anjuran DBP, Minggu Penulis Remaja (MPR) yang sebelum ini melahirkan ramai penulis berbakat besar, tetapi kini tidak lagi melahirkan penulis pelapis yang mampu menghasilkan karya hebat.
Dialog bertambah panas panas apabila penulis muda yang juga produk MPR, Aidil Khalid, turut mempersoalkan kewibawaan Dewan Sastera sebagai majalah yang menerbitkan karya berprestij di negara ini, tidak lagi berada di landasan terbabit.
“Saya berasa cukup terganggu apabila cerpen yang dihantar seorang penulis tidak mendapat tempat dalam Dewan Sastera, tetapi dipilih sebuah akhbar perdana negara ini dan memenangi hadiah sastera syarikat terbabit,” ujarnya.
Padilah ketika menjawab persoalan itu menjelaskan, pemilihan karya bukan saja bergantung kepada tema, pendekatan, penstrukturan dan penceritaan, tetapi panel editor turut terikat kepada dasar penerbitan yang menyekat penyiaran karya yang menyentuh sensitiviti kelompok dan hal tertentu.
“Saya tidak nafikan ada karya indie bermutu, tetapi sesuai dengan kedudukan Dewan Sastera dengan citra yang dibawanya selama ini, adalah tidak wajar untuk majalah ini menyiarkan karya penulis yang baru pertama kali menghasilkan karya, sekalipun karyanya bermutu.
“Tidak semestinya penulis yang karya mereka tidak disiarkan dalam Dewan Sastera tidak bermutu. Tidak bermakna bila karya mereka pernah disiarkan dalam Dewan Sastera, karya mereka tidak boleh disiarkan dalam Tunas Cipta.
“Kami di Dewan Sastera dan Tunas Cipta mempunyai garis panduan pemilihan karya yang sesuai untuk kedua-dua majalah berkenaan. Pemilihan karya diputuskan secara bersama oleh sidang editor dan saya terbabit sama.
“Saya tidak menafikan ada karya yang cepat disiarkan kerana mutunya menyerlah berbanding sesetengah karya yang terpaksa menanti giliran, tetapi ini tidak bermakna karya yang disiarkan baik semua sepanjang bulan.
“Penulis muda dan baru saya galakkan agar cuba menembusi Tunas Cipta terlebih dulu kerana persaingan pemilihan tidaklah terlalu sengit berbanding Dewan Sastera. Saya suka memberi nasihat kepada penulis jika karya pertama bermutu, tidak bermakna karya seterusnya juga demikian,” katanya berterus-terang.
Bagi Padilah, beliau berkata demikian bukan kerana enggan menerima kritikan, tetapi bagi membolehkan semua penulis faham situasi editor yang ada kalanya tersepit dalam situasi penulis muda dan mapan serta akan berusaha membaiki kelemahan demi kebaikan semua pihak.
akui, kadang kala editor tersepit sebegini dan mengharapkan penulis muda bersabar kerana masih ramai penulis mapan yang masih menunggu giliran karya mereka disiarkan.
Padilah turut mencadangkan penulis kreatif agar bersikap lebih terbuka kerana DBP bukan saja menyedia Dewan Sastera dan Tunas Cipta, sebagai gelanggang berkarya kerana sebenarnya mereka turut boleh mengirimkannya ke Dewan Budaya.
Menjawab persoalan editor ‘pilih bulu’, Editor Sastera, Berita Harian (BH), Salbiah Ani, menegaskan ruangan Sastera BH sentiasa mengamalkan sifat terbuka dan memberi peluang kepada semua penulis baik mapan mahupun muda kerana yang diutamakan ialah mutu karya.
“Sebagai orang surat khabar yang menjadi keutamaan adalah isu semasa, perkara berkaitan bahasa dan bangsa Melayu, tetapi ini tidak bermakna karya bentuk lain tidak dipertimbangkan. Jika menulis mengenai isu pula janganlah mengulangi apa yang sudah disiarkan dalam berita dan rencana,” katanya.
Beliau turut mengingatkan khalayak Dialog Orang Muda bahawa akhbar dan majalah mengamalkan pendekatan sedikit berbeza kerana batasan halaman memaksanya membahagikan peluang kepada karya yang lebih dekat dengan pembaca yang bukan saja orang sastera, tetapi juga biasa.
“Sebagai editor sastera di akhbar saya juga turut dipersoalkan pengurusan kanan berhubung berapa banyak naskhah, pembaca dan nilai iklan yang berjaya dijana daripada halaman Sastera kerana syarikat bergerak atas dasar keuntungan.
“Saya tidak akan membuka sebarang pintu polemik kerana pengalaman lalu, Berita Harian terpaksa mengorbankan RM80,000 untuk membayar seorang sasterawan hanya kerana serangan peribadi seorang pengkritik terhadapnya disiarkan dalam Berita Harian.
“Segala aspek yang saya terangkan ini menjadi sebahagian daripada ciri dalam penilaian Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk diri saya selaku editor dan juga semua wartawan di bawah jagaan saya,” katanya.
Beliau menutup Dialog Orang Muda dengan peringatan agar tidak menjadikan kemenangan karya dalam sesebuah hadiah sastera sebagai pengukur kerana mutu kerana pemilihan pemenang banyak dipengaruhi panel yang mengadilinya.
iDAN: ha³ 3 tahun lebih gua hantar karya puisi ke BH tak satu pun tersiar; DS baru hantar nampaknya lebih ADIL & saksama... paling tidak dibalas dengan e-mel kata rangsangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan