Teringat aku pernah sekali pergi memancing di laut dalam bersama Pak Wahid & keluarga serta waris Pengail Sejati. Bila tiba di tengah laut tetiba Tekong yang hanya bersendirian tanpa awak-awak bertanyakan tentang beras. Pastinya kami terkejut sebab dalam perjanjian dia yang menyediakan semua barangan makanan untuk bermalam. Sudahlah janji jam 5:00 pagi bertolak ke laut dalam dimungkiri; jam 9:00 pagi botnya masih tersadai di daratan; terpaksa tunggu air pasang baru boleh bergerak. Akhirnya ketua rombongan memancing kami buat keputusan berpatah balik. Sementelah botnya pun tak punya sebarang kelengkapan GPS atau Sona pengesan batu karang atau ikan. Nahas nanti. Memang nampak pada gelagat tekong ini dia agak Lalok. Tekong Lalok.
2. Pulau sekitar perjalanan ke Pulau Tioman nampak seakan sama kami berlindung dari ribut bersama Tekong Lalok ini. Pulau sekadar batu yang tumbuh rumput & banyak burung bersarang. Ada banyak pulau-pulau kecil yang cantik sepanjang perjalanan ke Pulau Tioman. Jika dapat singgah memancing di pulau kecil ini pasti menarik.
3. Di belakang bot cuma ada seorang pelancong luar negara; hampir sebayaku. Dia nampaknya tak merokok & tak kisah kami yang merokok putus berhubung. Ustaz Rashid pun numpang sekaki lepak di belakang bot yang memang sempit. Lebarnya sekadar dua meter. Ada satu pasangan kaum India macam sedang bercinta sibuk dengan galaxynya. Yang lain simamat yang masih remaja dengan sigarnya.
4. Pulau Tioman adalah pulau impianku sejak remaja. Ianya sedari dulu menjadi antara pulau yang ingin aku lawati. Aku membayangkan pulau ini cukup indah dengan ramai pelancong luar negara. Yang nyata dalam bot tak sampai 20% pelancong luar negara; kebanyakannya adalah pelancong tempatan ramai orang kita Melayu; sedikit kaum cina & beberapa orang sahaja kaum india.
5. Abang Rahman nampak penat kena desah angin laut & minta diri kembali ke tempat duduk; aku pun mengikut belakang dia. Duduk kembali ke ruang hadapan bot. Mila masih tidur-tidur ayam; Azim celik mata tapi tak betah berceritera. Telah lebih sejam empat puluh lima minit meninggalkan daratan.
6. Pertama kali nampak dekat dengan Pulau Tioman ianya nampak cantik amat dengan sebuah gunung yang memang unik puncaknya. Dari agakanku pastinya ianya Pantai Kampung Mukut. Mungkin dua puncak gunung yang menujah ke langit itu Gunung Nenek SiMukut. Bot tak berlabuh di jeti Kampung Mukut. Ianya hanya berlabuh di jeti pertama pantai Kampung Genting destinasi rombongan kami bermalam.
- Bersambung
-bersambung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan