Editor Penahalaqah
Biawak Dhab atau sesetengah negara panggil “Dhaba” merupakan sejenis biawak padang pasir yang merupakan haiwan reptilia yang berdarah sejuk, mereka membiak secara bertelur, dan mempunyai kulit bersisik serta tebal.Panjang seekor dhab lebih kurang dari 14 inci ke 36 inci atau lebih.
Nama Inggerisnya Egyptian Mastigure atau Egyptian dab lizard atau Egyptian spiny-tailed lizard manakala nama sainsnya pula : Uromastyx aegyptius microlepis. Ekornya berbeza dgn biawak di negara kita. Biawak dhab merupakan spesis haiwan bukan pemangsa. Ia hanya makan tumbuh-tumbuhan dan bersembunyi di dalam lubang lubang atau di celah-celah batu gurun.
Keterangan daripada Hadis Muslim:
Biasanya ia menjadi makanan orang Arab Badwi dan ia halal dimakan oleh orang Islam dan hadis ada menyatakan daripada hadis khalid bin al walid ra;
''Sesungguhnya beliau dan rasulullah saw masuk ke dalam rumah Maimunah isteri rasulullah saw yang juga emak saudaranya (khalid ) dan Ibnu Abbas. Di rumah Maimunah terdapat daging dhab yang dipanggang telah disediakan oleh saudaranya yang bernama Hufaidah binti Al Harith dari Najd. Daging itu kemudiannnya dihulurkan kepada rasulullah saw dan jarang sekali dihulurkan kepada baginda tanpa memberitahu terlebih dahulu tentangnya. Rasululah saw lalu menghulurkan tangan pada dhab tersebut. Seorang wanita yang bertamu di situ juga berkata, beritahulah kepada Rasulullah saw tentang apa yang kamu hidangkan itu. Mereka lalu mengatakan, itu adalah daging dhab wahai Rasulullah, Rasulullah saw menarik kembali tangannya. Kemudian khalid al Walid bertanya kepada Rasulullah kenapa haramkah dhab itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab tidak tetapi ia tiada di muka bumi kaumku lalu aku merasa jijik. Khalid mengatakan dia mengambil dan memakannya dan Rasulullah sendiri tidak melarangnya. Hadith no. 3603
Hadis Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w pernah ditanya mengenai dhab. Baginda menjawab dengan bersabda: Aku tidak memakannya tetapi aku tidak mengharamkannya. - Hadith no. 3598
Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Emak saudaraku Ummu Hufaid telah menghadiahkan kepada Rasulullah s.a.w minyak sapi, keju dan daging dhab. Baginda memakan minyak sapi dan keju dan meninggalkan daging dhab kerana merasa jijik. Lalu hidangan yang disediakan untuk Rasulullah s.a.w telah dimakan. Sekiranya haram tentu hidangan untuk Rasulullah s.a.w itu tidak akan dimakan - Hadith no. 3604
Dalam masalah memakan Dhab, ulama’ pelbagai mazhab telah mengeluarkan tiga pendapat
Mazhab pertama dari kalangan jumhur ulama’ mengatakan bahawa harus memakannya.
Ini berdasarkan hadis Syu’bi dari Ibnu Umar katanya: Sesungguhnya sahabat Nabi Muhammad SAW memakan Dhab, salah seorang isteri Nabi Muhammad SAW memanggil mereka dan menjamu Dhab, dan Nabi Muhammad SAW berkata: “makanlah, (Dhab) ini bukan makananku..” (Dikeluarkan oleh Muslim)
Menurut riwayat lain, baginda SAW tidak memakannya dan tidak mengharamkan para sahabat memakannya. (Rujuk hadis yang dikeluarkan Ahmad dalam kitab Musnad)
Mazhab kedua dari kalangan setengah ulama’ mengatakan bahawa haiwan Dhab haram dimakan.
Manakala mazhab ketiga pula mengatakan bahawa makruh memakan haiwan Dhab. Pendapat ini menurut pandangan Abi Hanifah, Abi Yusof , Muhammad, Ali bin Abi Talib, Jabir bin Abdullah.
Kesimpulannya, pendapat rajih ialah pendapat mazhab jumhur iaitu pendapat pertama yang mengatakan bahawa memakan Dhab hukumnya harus. Ini berdasarkan hadis yang menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW tidak melarang sahabat memakan Dhab. Wallahu a’lam.
~Daripada keterangan di atas walau apapun sebaiknya kita sebagai umatnya contohilah Rasulullah saw kerana baginda sendiri tidak pernah makan daging dhob walaupun halal kerana baginda merasai jijik. Sesungguhnya perbuatan Rasulullah itu membawa seribu kebaikan kepada kesihatan diri.~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan