23 Mac 2008

Lelaki Pakistan kirim SMS ugutan ditahan (Ceritera)

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga Pakistan bagi membantu siasatan selepas dia disyaki menghantar SMS berbentuk ugutan berkaitan kes kehilangan Sharlinie Mohd Nashar, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang pakar teknologi maklumat itu ditahan selepas siasatan mengesyaki dia menghantar SMS kepada seorang individu mendakwa Sharlinie berada di bawah jagaannya di Sabah.

SMS yang dihantar dalam bahasa Inggeris itu turut menuntut wang tebusan RM25,000 jika mahu kanak-kanak itu dikembalikan kepada jagaannya.

Berikutan itu, individu terbabit kemudian memaklumkan kepada polis berhubung penerimaan SMS itu sebelum polis menahan suspek di Kajang kira-kira jam 2 petang, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Mazlan Mansor, berkata lelaki terbabit adalah individu ketiga yang ditahan kerana terbabit dalam penghantaran SMS palsu sejak Sharlinie hilang pada 9 Januari lalu.


“Siasatan polis mendapati lelaki itu memasuki negara ini secara sah pada 29 Januari lalu,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: