iDAN

23 Mac 2008

Jejak mirip Awi (Ceritera)

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak mirip Mohammad Asmawi Jalaluddin atau Awi, 11, didakwa berkeliaran di pusat beli-belah Bangsar Village di sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, usaha polis mencari kanak-kanak yang mendapat liputan meluas selepas berita kehilangannya dilaporkan itu gagal kerana kanak-kanak seperti dilaporkan itu tidak berjaya dikesan.

Seorang warga kota yang mendakwa melihat kelibat kanak-kanak berkenaan di pusat beli-belah itu terus menghubungi pihak polis.

Berikutan itu, sepasukan polis bergegas ke sana untuk melakukan siasatan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata selepas beberapa jam melakukan pemeriksaan di pusat beli-belah itu, kanak-kanak berkenaan, bagaimanapun tidak ditemui.

“Kami ada bertanyakan orang ramai dengan menunjukkan gambar mangsa, namun mereka tidak perasan kewujudan kanak-kanak itu di situ,” katanya.

Beliau berkata, polis menghargai sikap prihatin orang ramai yang menghulurkan maklumat selepas melihat kelibat kanak-kanak itu.

“Kami mengharapkan kerjasama daripada orang ramai yang prihatin dan pada masa sama mereka diminta memberi maklumat yang tepat.

“Mereka diminta meninggalkan nama dan identiti bagi memudahkan pihak polis jika memerlukan maklumat tambahan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, polis tidak menerima sebarang maklumat palsu atau ugutan selepas tangkapan ke atas seorang remaja di Sabah.

Katanya, polis tidak akan berputus asa dan akan terus melakukan gerakan mencari kanak-kanak berkenaan

Harian Metro

Tiada ulasan: