iDAN

27 Mei 2009

Kami lebih risau kelibat Rooney: Pique (Sukan)



ROONEY keluar dari pesawat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino di Rome, kelmarin.

'Ronaldo tetap diawasi sepenuhnya'

ROME: Barcelona akur bahawa Wayne Rooney adalah pemain Manchester United yang paling digeruni mereka menjelang final Liga Juara-Juara Eropah, hari ini (awal pagi Khamis waktu Malaysia).

"Apabila dia memberi tumpuan kepada permainan, dia adalah penyerang yang sukar dikekang," kata pemain pertahanan, Gerard Pique mengenai bekas rakan sepasukannya itu.

"Saya belum pernah menyaksikan seorang pemain yang mantap seperti Rooney cara dia melepasi kepungan lawan, kekuatan permainannya serta larian dilakukan pada minit pertama sehingga ke wisel penamat.

"Dia juga memiliki rembatan padu yang bertaraf dunia."



Firasat Pique itu turut dikongsi bersama pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta yang bersama Thierry Henry kini tampak akan berada dalam kesebelasan pasukan di Rome nanti.

"Rooney beraksi dengan corak permainan keras. Dia memberi kami banyak masalah dalam separuh akhir, tahun lalu.

"Kami tidak boleh melakukan kesilapan kerana mereka memiliki gempuran berbisa di depan," kata Iniesta.

Apapun, kepulangan Iniesta dan Henry harus memberi kelab dari Catalan itu satu suntikan semangat baru untuk berdepan barisan didik Alex Ferguson yang nyata mantap pada setiap sudut permainan mereka, musim ini.

"Mereka tampak mantap dan selesa sejak musim bermula. Kini kami akan mendapatkan semula khidmat mereka dan harap tiada apa-apa akan menghalang mereka nanti," kata pemain tengah, Xavi. � Agensi

Tersalah langkah buruk padahnya

TONGGAK United, Cristiano Ronaldo tiba bersama pasukannya di hotel penginapan di tengah kota Rome terpaksa diberi kawalan ketat elak diserbu peminat.

Pertahanan United, Barcelona dibebani tugas kekang serangan Ronaldo, Messi

ROME: Apabila dua pemain terbaik di dunia bertembung dalam final Liga Juara-juara Eropah, hari ini (awal pagi Khamis waktu Malaysia), pemain yang diberi tanggungjawab mengekang Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi harus sedar tidak berlaku sebarang kesilapan yang boleh membawa padah.

Juara bertahan, Manchester United akan melangkah ke Stadium Olimpik, Rome bagi pertarungan akhir untuk berdepan Barcelona yang sudah pun mengaibkan gergasi Eropah, Bayern Munich dan Real Madrid, musim ini.

Ia menjanjikan satu pertarungan menarik antara dua pasukan yang berada pada kemuncak prestasi masing-masing dan turut membabitkan pertentangan peribadi di antara dua penyerang terbaik dunia yang mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Bintang United, Ronaldo ketika ini mempunyai kelebihan berdasarkan kejayaan memenangi anugerah pemain terbaik dunia dan Ballon d'Or pada 2008 ketika pasukannya mensasarkan untuk mempertahankan trofi Liga Juara-juara dengan mengalahkan skuad Messi, Barcelona.

Pakar sepakan percuma, Ronaldo meledakkan sejumlah 42 gol dalam semua pertandingan musim lalu, tetapi jaringan kemenangan ke atas Porto di tempat lawan dan dua ketika berdepan Arsenal dalam kancah Liga Juara-juara musim ini berjaya menjawab kritikan yang lemparkan mengenai kematangannya dalam menghadapi perlawanan besar.

Bek tengah Barcelona, Yaya Toure mengakui skuad Sepanyol itu tidak boleh membenarkan Ronaldo bebas untuk mengawal bahagian tengah seandainya mereka mahu memenuhi cita-cita memenangi pertandingan yang kali terakhir dijulang pada 2006.

"Mereka sangat kuat dari segi fizikal dan memiliki pemain bola sepak ternama dalam diri Cristiano Ronaldo serta memenangi Liga Juara-juara tahun lalu. Kami tahu ia satu pertarungan sukar," kata pemain antarabangsa Ivory Coast berusia 26 tahun itu.

"Ia pasti perlawanan hebat dan penting bagi kami bermain pada tahap 100 peratus kerana kurang daripada itu anda tidak boleh mengalahkan pasukan ini."

Tatkala Ronaldo boleh menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana penjaga gol dengan sepakan percumanya, Messi pula boleh memberikan pertahanan mimpi ngeri dengan keupayaannya untuk mengalahkan lawan dengan sentuhan lembut menggunakan kaki kirinya.

Pertahanan United, Patrice Evra, 28, menegaskan tidak akan ada sebarang persediaan istimewa untuk menangani pemain sayap Argentina ini, tetapi berdepan pemain seperti Ronaldo dan Wayne Rooney setiap hari dalam latihan sudah mencukupi. � AFP

'Barca berhak jadi juara'

BARCELONA: Berpandu kepada kualiti dimiliki pemain serta corak permainan bola sepaknya, Barcelona seharusnya berhak menjulang trofi Liga Juara-juara Eropah, hari ini, menurut bintang tengahnya, Xavi Hernandez.

Kelab Catalan itu mendapat pujian di seluruh Eropah bagi cara mereka melakarkan kejayaan berganda liga dan piala domestik dengan kekal kepada tradisi mereka itu bermain corak bola sepak terbuka dan menyerang.

Pep Guardiola mengambil alih daripada Frank Rijkaard pada musim panas lalu dan mengubah nasib skuad ini yang berada dalam kemerosotan sejak memenangi Liga Juara-juara pada 2006.

Dengan Ronaldinho dan Deco dijual, Guardiola berjaya mengembalikan semula motivasi ke dalam skuad ini diketuai bintang kelahiran tempatan, Xavi Hernandez dan Andres Iniesta di bahagian tengah dan Lionel Messi di jentera serangan, yang mengukuhkan dakwaan bahawa dia adalah pemain terbaik di dunia.

"Ini adalah final antara dua pasukan yang gemar bermain bola sepak dan pasukan yang berjaya mendominasi permainan akan menang," kata Xavi.

"Saya tidak dapat nyatakan bagaimana (Alex) Ferguson akan memilih untuk bermain permainan ini tetapi kami mempunyai falsafah jelas dan kami akan turun untuk mencari kemenangan.

"Adalah penting kepada kami untuk menang permainan ini bagi falsafah kami dan kami mempunyai pemain terbaik yang boleh melakukannya," kata Xavi, yang mengakui terdapat ramuan tambahan kepada pertarungan ini selepas kekalahan kepada Manchester United pada separuh akhir tahun lalu.

"Ia kekecewaan besar dan sudah tentu bola sepak adalah mengenai pembalasan tetapi ia juga adalah perlawanan akhir dan memenangi trofi ini menjadi kuncinya." � AFP

Tiada ulasan: