iDAN

07 Julai 2009

Lambaian Kampung Durian Guling... Candat Sotong 9 (Singgahsana)

~

Durian Guling 8

Unjam kedua mendatangkan rezeki, Syukria amat teruja & tersenyum gembira dengan tangkapannya pertama. Di menggunakan kekili & bermata dua. Agak besar sotong yang dia naikkan. Pancutan dakwat hitamnya jatuh ke lantai bot. Afiz sebelahnya tambah semangat.

Aku di belakang bot masih gusar, gelora laut masih tidak berubah, langit aku tatap masih gelap gelita, jauh sekali nampak kerdipan bintang-bintang. Sang rang bulan yang sepatutnya mengambang tidak pun melihatkan senyumnya. Hanya cahaya neon dari lampu bot kami sahaja yang menggamit sotong.

Setelah Syukria mendapat tangkapan pertama, Nuzul pula mendapat lesennya Pastinya itu satu petanda rezeki kami mula memutik. Di ikuti oleh Pak Ya & awak-awak ramah. Aku sekeluarga langsung tak jumpa, bair pun misai si sotong lekat di mata candat. Memang memenatkan, bayangkan sejak magrib sampai hampir ke jam 11:00 malam kini. Tiada sebarang tangkapan. Aziq kian mengalah, aku lihat dia mula diserang mabuk laut. Tangan aku sendiri kelenguhan.

Angin basah datang dari setiap penjuru, diikuti kilat sambung menyambung. Tak lama selepas itu gerimis mula menyirami kami.

"Aziq jika rasa pening pergi ke pondok baring rihatkan badan...!"

"Ayah ada ubat mabuk lagikah..?"

"Entah! ayah tak perasan mana ayah letak, rasanya ayah sudah kasi Syukria.."

Dari gerimis menjadi lebat, tiada jalan lain semua kami mengangkat mata candat & beralih kawasan lebih terlindung di perairan Pulau Kapas, berlindung di sebalik pulau. Jika ribut melanda memang payah, aku mengetatkan ikatan pelampong di dadaku. Pondok hanya muat sekitar bertiga, seorang awak-awak sejak sebermula perjalanan aku lihat terbaring di dalamnya, Aziq juga tak boleh bangun lagi, Nuzul di sebelah Aziq, aku terpaksa duduk sahaja di sisi pondok. Aku tak pasti mana Anif, Syukria & Pak Ya duduk ketika hujan begitu lebat. Bau minyak disel terusan menyucuk otakku. Aku juga bagaikan mahu mabuk laut.


Tiada pilihan lain aku berhujan sahaja, sambil mencandat di unjam ke tiga. Menggunakan kekili & batu saiz 12. Nasiblah seluar yang aku pakai kalis air, biarlah baju sahaja yang basah. Rambut memang tertutup kemas dengan topi. Tak boleh langsung berdiri, terlalu kuat lambungan ombak. Aku terduduk penyengkang kakiku di celahan alang-alang di lantai bot, takut terpelanting. Memang kuat ombaknya. Sesekali air laut menyimbah masuk ke dalam bot. Aku pernah dipukul ribut sebegini semasa di Penyabong tetapi masa itu masih cerah cuaca, baru beransur mahu ke magrib. Ini hampir tengah malam waktu jin sedang berpesta.

Tetiba aku rasa tali candatku teramat berat, sangkut sesuatu, boleh ditarik talinya, bagaikan ada raksaksa tersangkut di matanya. Aku tak sabar mahu mengetahui apakah gerangannya yang sangkut di mata candatku. Semakin lama semakin berat. Baru sahaja aku nampak bayang-bayangnya... putih; tali candatku terputus. Huh! pastinya mambang sotong putih. Atau sotong gergasi menyakat aku dalam ribut yang seganas kini. Laut memang menjanjikan perbagai misteri. Aku terduduk kaku di bucu bot.

Di langit cuma nampak sinaran kilat, perbagai bentuk cakarannya, bagaikan tali belati elekrik sedang memalu keangkuhan syaitan. Memang amat seramnya. Inilah bahayanya ke laut, mana tahu jika ribut akan melanda. Nelayan tanpa gaji seperti kami menyerah sahaja. Memang tak sangka pengalaman pertama Aziq & Afiz ke laut disakat oleh ribut gamat & sederas ini. Nasiblah Aziq terlelap lena amat, tidur bagaikan dibual buaian jika tidak pasti dia akan seram tetapi Afiz aku tak pasti bagaimana perasaannya di hadapan bot. Masih bertahan tak nampak dia muntah-muntah. Rasanya Nuzul juga telah tewas, lena di sebelah Aziq.

Sekitar jam 12:30 malam barulah hujan & ribut agak tenang. Kembali gerimis namun awan masih pekat hitam. Aku tidak pasti telah berapa kali kami bertukar lubuk untuk menjejaki gerombolan si sotong. Tetiba aku rasa mata candatku disangkuti sesuatu, aku yakin si sotong telah mengena. Telahan aku memang tepat, telah tengah malam malam barulah aku dapat lesen; tangkapan pertama, agak besar juga. Sepanjang sekaki lebih. Beberapa detik yang sama Afiz juga mendapat lesen, serentak anak beranak mendapat tangkapan sotong. Mungkin dah lemah sotong ini kena kejutan karan elektrik sang kilat, barulah mahu sangkut di mata candat aku & Afiz.

Sesekali ombak masih mengganas, aku lihat Nuzul kembali bangun, gerimis tidak pernah berhenti, sesekali titisan hujan tetap tajam menyucuk muka kami. Afiz nampak bersemangat & dapat seekor demi seekor sotong, sesekali dapat dua ekor sekali. Petanda baik. Syukria, PakYa & Nuzul nampaknya tak kurang tangkapannya. Aku sendiri pun telah pun menangkap ke belasan ekor sotong.

Sementelah tangkapan nampak sunyi sahaja tekong beralih ke unjam atau mencari lubuk lain. Itu bagusnya tekong kami, tak henti mencari lusuk yang banyak sotong. Telah lupa aku unjam@lubuk ke berapa. Tetapi ombak & bau disel memerangkap kami, Afiz aku lihat telah muntah-muntah. Diikuti Pak Ya. Cuma aku & Syukria sahaja terselamat tapi badanku tidak berdaya lagi. Sekitar jam 2:00 pagi Aziq terjaga, dia bertanya bagaimana nak kencing di bot. Aku cepat-cepat membuatkan dia tandas buang dari tin minuman saiz besar.

"Sudah kencing buang! tak nak mencandat lagi"

"Kejap!.." Dia muntah lagi & kembali ke pondok, kasihan Aziq. Mungkin dalam mimpi sahaja kot dia terjaga kejap sebab mahu buang air kecil. Aku suruh dia minum air isotonik pun dia tak mahu.

Aku terfikir juga ingin memancing menggunakan umpan sotong segar sebagaimana aku mendapat banyak ikan semasa di Penyabong dulu. Berdiri tetap pun tak mampu dengan bot yag tak pernah mahu tenang, mahu mengganti mata pancing pun aku tak larat lagi. Aku tawakal sahaja dengan menggunakan koyan yang masih ada kepunyaan pemilik bot yang disediakan awak-awak ramah.

Sesekali aku lihat banyak ular laut mendekati bot kami. Berbagai saiz, aneh ular laut ini terkadang dia berenang terkadang ia berlagak orang menari akrobatik berputar-putar bulat bagaikan membuat persembahan kepadaku. Aku takut benar takut sang ular merentap tali koyanku. Cepat-cepat aku tarik tali koyanku.

Aku tak nampak Afiz lagi, tentunya dia terlelap dalam hujan di depan bot. Pa Ya pun sama terkadang aku nampak dia berjalan tepi bot terkadang lenyap, Syukria juga telah tersandar di dinding pondok bot sebelah tekong.
Sekitar jam 4:00 pagi hujan kembali lebat. Aku mandi hujan jam 4:00 pagi. Huh! masa kecil payah nak dapat mandi hujan takut emak marah, dah tua-tua ini belasahlah. Tapi hujan di laut tak lama, mungkin lantaran angin kencang membawa hujan lalu. Awan mendung semakin kurang mungkin tak larat lagi mengandungkan hujan. Barulah nampak senyum rang bulan di celah awan.

Setelah hujan berhenti & ada pula sinaran bulan aku lihat di dasar laut. Alamak! putih seputih-putihnya segerombolan sotong sekeliling botku. Bukan puluhan ekor, ratusan... mungkin ribuan jumlahnya bagaikan mahu menyerang kami. Aku baling candat kumpulan si sotong macam nampak tak nampak sahaja. Pandai pulak mengelak. Tak ambil tahu pun akan candat aku. Sekejap sahaja ia hilang. Selang beberapa minit segerombolan sotong ini datang lagi, putih permukaaan laut, bagaikan satu pesta keraian sedang berlangsung. Baik tekong, baik awak-awak & geng Syukria semuanya tengah lena dibuai mimpi. Aku sendirian melihat gelagat warga laut yang lembut ini. Menari-nari tarian India. Aku memandang sahaja gelagat riang si sotong. Sanyapnya bagaikan melambai-lambai aku. Misainya bagaikan menggamit aku. Berenang seiring. Putih satu lautan. Aku baling candat semua mereka mengelak & tersenyum kepadaku. Memang banyak amat sotong di perairan Pulau Kapas ini. Tapi nampaknya bukan semuanya rezeki kami.

Aku kembali leka melihat persembahan sang ular di laut jernih, berlengkar-lengkar berpusing-pusing. Macam Inol berdangdut gerudi. Asyik. Aku telah terkesima melihat persembahan sang ular & tidak takut lagi. Sesekali kumpuan sotong dengan gendang, tabla berbagai menghalau sang ular tadi. Memang misteri penghuni laut ini. Aku beruntung tiap kali ke laut dapat berjumpa dengan warga laut yang memang kreatif ini. Persembahan yang asli lagi menarik. Rasa bagaikan tak mahu balik ke daratan bilamana dibuai ketenangan sebegini. Aku bersyukur & bersolat di dalam hujan. Betapa rahmatmu Ilahi dunia-Mu memang banyak menyimpan keindahan tersembunyi.

Hujan telah berhenti, Syukria telah terbangun, laut telah tenang setenang-tenangnya. Badanku telah basah-sebasahnya. Seluar yang kalis air pun telah mengalah dipukul ribut tadi.

"Macam mana abg iDAN ... jom! kita balik"

Aku diam sahaja. Rasa lesu mula menyerang badan. Aku ke depan bot mengejutkan Afiz yang lelap bermimpi. Betul-betul di sebelah tali sauh bot. Tidur dalam hujan si teruna ini. Awak-awak sasa yang asyik tidur menaikkan sauh ke bot, kami pun menuju ke jeti.

Di jeti, oleh kerana tangkapan kami tidak sebanyak mana, kami membahagikan kepada empat bahagian sahaja. Jika di bahagi enam tinggal banyak mana. Aku bersalaman dengan semua anggota bot & melangkah pulang dengan ke calet berjalan kaki. Malas mahu menyusahkan Syukria kerana dia pun cuma berjalan kaki balik rumahnya.

"Afiz banyak juga dapat sotong tadi kan..."

"Dua puluh ekor lebih ada kot!.." Nampak kepuasan di wajahnya.

"Samalah macam ayah!, tak banyak mana kita dapat; tak murah rezeki, ayah perasan dah nak subuh baru sotong itu keluar...! masing-masing dah penat"

"Ini yang Aziq tak puas hati ini, tak seekor pun Aziq dapat...!" Aziq rasa terkilan. Biasalah orang mabuk laut, jejak bumi sahaja segarlah dia.

"Esok-esok kita pergi lagi, tahun depan ada rezeki kita mencandat lagi! mungkin akan datang rezeki Aziq pula!"

"Kalau ada Pakcik Fairus & adiknya bukankah bagus!, mesti Aziq dapat banyak sotong tumpang badinya.." Aku teringat Fairus & Fareez. Fairuz mungkin tidur bila hujan-hujan begini tapi dia rajin buat air berbagai. Fareez mesti banyak akan dapat memancing ikan dasar jika malam-malam begini. Dia memang rajin mencuba berbagai taktik memancing ketika malam.

Tiba sahaja kami di tangga bukit calet, azan subuh pun berkumandang. Di akhbar esoknya terpampang ada ramai ahli rombongan mencandat sotong kena panahan petir, ada mangsa yang parah.

Titik.

2 ulasan:

iDAN berkata...

Syukria.. jika terbaca nota ini kirimkan gambar ketika kita di sana; teringin banget nak tenguk gambar yang Syukria ambil.

Unknown berkata...

Penat jugak nak mengikut semua sambungan cerita ni...
tapi tak sepenat tuan empunyer cerita