amar@hmetro.com.my
SELEPAS diperkenalkan pada 2003, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), akhirnya dimansuhkan, semalam.
Dalam tempoh enam tahun berkenaan, terutama sejak awal tahun ini, banyak pihak membantah pelaksanaan dasar itu dengan pelbagai dakwaan hanya merendahkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan apabila bahasa Inggeris mengambil alih peranan dalam dua subjek berkenaan.
Kesukaran pelajar terutama di luar bandar menguasai kedua-dua subjek itu juga dijadikan antara alasan konkrit berikutan penguasaan bahasa Inggeris mereka berada pada tahap amat rendah.
Adakah keputusan itu bermotifkan politik? Atau adakah PPSMI yang dilaksanakan itu hanya membazirkan wang rakyat?
Ikuti soal jawab dalam sidang media antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengumumkan keputusan kerajaan mengenai PPSMI pada sidang media di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam.
MUHYIDDIN: Kita menyedari (kelemahan) lebih awal, tetapi kita tidak boleh menukarnya kerana pada peringkat itu masih awal...baru setengah pusingan, jika kita berada dalam keadaan itu, kita akan keliru.
Jadi, kerajaan perlu bertindak wajar dan kita perlu menghabiskan pusingan (enam tahun) dan membuat keputusan yang betul. Kita memerlukan masa.
Apabila PPSMI dilaksanakan pada 2003 tidak banyak persediaan yang dibuat dan hari ini, kita berdepan masalah.
WARTAWAN: Adakah PPSMI ini satu kegagalan?
MUHYIDDIN: Ia bukan satu kegagalan sepenuhnya. Ia tidak mencapai keputusan seperti yang kita hasratkan.
Ia adalah satu proses yang perlahan untuk mencapai matlamat yang sepatutnya dicapai dan bagi bidang pendidikan, ia tidak bagus.
PPSMI tidak mencapai tujuannya kerana peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pelajar adalah sangat rendah.
Saya juga seorang bapa dan juga ingin melihat anak saya menguasai bahasa Inggeris.
Tetapi, dengan sistem pelajaran baru yang diperkenalkan ini, ia memberi ruang bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Inggeris, tetapi pada masa yang sama mendaulatkan bahasa Malaysia.
WARTAWAN: Tan Sri, adakah keputusan ini bercanggah dengan aspirasi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memperkenalkan dasar ini?
MUHYIDDIN: Saya dan Ketua Pengarah Pelajaran (Tan Sri Alimuddin Mohd Dom) serta pegawai kanan kementerian memberi taklimat mengenai perkara ini kepada Tun di kediamannya kira-kira tiga jam.
Dalam pertemuan itu, kami menerangkan segala-galanya kepada beliau mengenai keputusan ini.
Kami terangkan kepadanya mengenai perkembangan dan masalah yang dihadapi jika dasar ini diteruskan.
Kami memaklumkan kepadanya jurang pencapaian antara murid di bandar dan luar bandar. Kita juga berdepan masalah besar apabila kebanyakan guru tidak berupaya mengajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.
Jika kita teruskan juga, ia akan memberi kesan negatif.
Tun umumnya menerima hakikat ini dan beliau juga menjelaskan sebab beliau memperkenalkan PPSMI.
Beliau mahukan semua rakyat Malaysia menguasai dwibahasa.
Dalam hal ini, saya jelaskan juga aspirasi kita, bukan setakat nak teruskan PPSMI, tetapi yang penting apa langkah kita buat untuk pastikan penguasaan bahasa Inggeris dapat dipertingkatkan.
Saya memaklumkan kepada beliau, cadangan kita seperti menambah jadual waktu, tambah guru bahasa Inggeris. Ini komitmen kita.
WARTAWAN: Adakah kerajaan membazirkan wang dengan memansuhkan PPSMI ini selepas dilaksanakan selama enam tahun?
MUHYIDDIN: Kalau kita teruskan, kena belanja juga. Tak ada yang percuma dalam sistem pelajaran.
Cuma, kita tak mahu sistem yang tidak berkesan diteruskan. Belanja satu hal, matlamat tak capai, nanti jadi kegagalan berganda. Lebih baik kita ambil langkah berani dan buat keputusan.
Pelaburan infrastruktur yang kita buat seperti komputer, boleh digunakan lagi dan hanya tukar perisiannya saja.
WARTAWAN: Tan Sri, adakah keputusan ini bermotifkan politik terutama bagi hadapi pilihan raya kecil Manek Urai?
MUHYIDDIN: Ini bukan soal politik...saya tidak mahu mendapatkan keuntungan politik. Ia (politik) langsung tidak menjadi pertimbangan.
Apalah Manek Urai, jika dibandingkan masa depan rakyat dan negara.
Soal ini, soal masa depan anak kita dan kita mengambil keputusan secara objektif bukan kerana politik walaupun pembangkang kata kita membuat keputusan ini kerana mereka.
WARTAWAN: Adakah pelajar perlu lulus bahasa Inggeris untuk dapatkan sijil?
MUHYIDDIN: Itu adalah suatu perkara yang perlu kita teliti kerana saya tidak fikir ini adalah masa yang sesuai berbuat demikian.
Apabila saya mengetengahkan pandangan ini, reaksi yang diterima begitu menggalakkan.
Mereka mahukan supaya ia dilaksanakan segera dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai salah satu syarat wajib lulus.
Jika kita percaya sistem ini meletakkan kita pada kedudukan yang baik pada 2012 nanti, mungkin sudah sampai masanya kita menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek yang wajib lulus.
Itu adalah antara perkara yang akan kita tentukan nanti, tetapi saya terlebih dulu perlu pastikan semuanya berada pada landasan yang betul
Harian Metro
iDAN : Aku sering juga menulis isu bahasa ini. Seharusnya kerajaan kena menubuhkan satu badan atau organisasi penterjemah bahan ilmuan; bahan bahasa asing ke Bahasa Melayu. Jangan berharap kepada DBP sahaja. Kita kena buktikan kepada dunia yang Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu bukan hanya orang Melayu pandai berbangsawan & bersastera sahaja.
Negara maju seperti Jepun membuat langkah ini, maka itu mereka maju amat cepat setelah Perang Dunia Yang ke 2 yang menghancurkan negara mereka. Seminggu dua bahan bahasa ilmuan asing terbit mereka telah terjemahkan ke bahasa mereka. Jadi bangsa mereka akan celik ilmu begitu cepat. Dalam masa yang sama mereka mendaulatkan & memperkayakan Bahasa Jepun itu sendiri. Maka itu mereka mengujudkan tulisan Katakana untuk membedakan bahasa moden atau bahasa asing digunakan pakai untuk Bahasa Jepun. Mereka menggunakan tiga ragam tulisan, Hiragana, Katakana & Kanji.
Bila pelajar perlu menggunakan semula Bahasa Melayu untuk pelajaran Sains & Matematik tentulah kita perlukan semula bahan rujukan dalam Bahasa Melayu. Terutama pakar penyelidik tentunya terpaksa mencari bahan yang terkini dalam Bahasa Melayu. Jika memang kita telah bergerak dari awal memterjemahkan semua bahan ilmuan ini ke Bahasa Melayu tentunya tidak akan ruginya kita. Bahan terjemahan ini di samping menjadi khazanah ilmuan yang berguna ianya juga akan memperkayakan kita tentang istilah & tata bahasa kita. Contohnya ramai tak pasti ejaan & perkataan nilon atau nailon ianya kita ambil dari Bahasa Inggeris. Bahasa sebenar ialah nilon. Jika kita tak dedahkan selalu agak ganjil ejaan nilon ini.
Di samping itu janganlah kita terlalu tamak bahasa hingga suka sangat menggunakan situasi padahal bahasa kita lebih sedap & mantap disebut suasana. Famili sedangkan kita telah keluarga. Internasional... antarabangsa rasanya lagi sedap. Produksi... hasil pun ada istilah pengeluaran, bukankah tambah pening nak banyak sangat sinonimnya... ish! apa benda sinonim ini.. sama erti, seerti; kita sendiri yang menyusahkan Bahasa Melayu kita. Tamaklah namanya itu. Lah! jangan guna ler! pula, jadi bahasa pasar Bahasa Melayu kita.
Kasihan Anif gara-gara Sains dalam Bahasa Inggeris dia dapat B dalam UPSRnya. Kalau tidak mungkin lima A; fakta atau buktinya bila aku tanya dia kenapa Sains tak dapat A. Dia jawab yang dia tak pandai Bahasa Inggeris. Sedangkan Bahasa Inggerisnya dia dapat A. Mungkin malas membaca kot. Bukan tak reti Bahasa Inggeris. Mungkin juga bahasa ilmuan masih kurang kita dedahkan.
Bahasa ilmuan selalunya memang amat payah kita fahami, apatah lagi untuk menyebut cara betul dalam Bahasa Inggeris. Atorvastatin as crytalline atorvastatin calcium Bahasa Melayunya aku pun tak tahu ini tertulis di kotak ubat darah tinggi yang aku makan seharian. Patutnya kita dah biasa dengan bahasa ilmuan ini, pergi sahaja ke Kedai Ubat sebut sahaja Atorvastatin kalsium, tak pelik tak payah amat menyebutnya tak pun taukey kedai itu terpinga-pinga mendengarnya; Sebab Apek itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan. Memang sejak merdeka lagi kita guna Bahasa Melayu untuk mata pelajaran Sains. Jika memang sering kita dedahkan bahasa ilmuan ini.
Prestasi merosot punca bahasa ibunda diguna semula
|
|
PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuat kuasa pada 2012.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda mereka.
Muhyiddin berkata, Kabinet juga meluluskan cadangan memartabatkan Bahasa Malaysia dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.
"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak ia dimulakan pada 2003,'' katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.
Kosmos
Tiada ulasan:
Catat Ulasan