iDAN

09 Julai 2009

Lara isteri kedua (Ceritera)

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my


Keguguran lepas diterajang suami
KLANG: “Saya ingatkan dia boleh membimbing hidup saya, rupa-rupanya dia lebih jahil daripada orang jahil!” demikian keluhan seorang wanita yang menjadi mangsa dera bekas suami yang pernah berkongsi hidup selama setahun pada 2006.

Ibu tunggal berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Ros, 50, memberitahu dia mula didera sejurus mendapat tahu bekas suaminya bersekedudukan dengan isteri orang di kampungnya di Langkawi, Kedah.

“Setiap kali bertanyakan penjelasan, dia seolah-olah dirasuk syaitan. Saya akan ditelanjang kemudian ditendang dan ditumbuk sehingga lebam dan berdarah.

“Apa yang lebih menyedihkan, saya keguguran ketika mengandung dua bulan akibat diterajang di perut.

“Kejadian ngeri ini berlaku berulang-ulang, namun saya takut melaporkan kepada pihak berkuasa kerana bimbang dia akan bertindak lebih ganas,” katanya yang mengetahui bekas suaminya yang dikenali sebagai Haji Shuib, 57, rupa-rupanya lelaki gila seks.

Kak Ros berkata, dia bersyukur diceraikan suaminya dua tahun lalu selepas berkahwin di Songkla, Thailand dan bebas daripada cengkaman lelaki kejam itu.

Menurutnya, mereka hanya tinggal bersama selama sebulan sahaja selepas berkahwin kerana suaminya tidak tinggal bersama dipercayai tinggal bersama isteri tua,

“Walaupun sudah bercerai bekas suami masih mengganggu kerana ingin menuntut hartanya yang diperolehi daripada suami pertama.

“Penderitaan saya tidak berakhir selepas berpisah, malah berlarutan apabila bekas suami mula menuntut beberapa harta termasuk rumah, kereta dan tanah milik saya yang dibeli ketika bersama bekas suami pertama dulu.

“Dia (bekas suami) kemudian datang menyerang di restoran saya dan membelasah di depan pelanggan. Keadaan ketika itu tidak ubah seperti adegan tayangan tinju, namun tiada sesiapa berani menolong saya,” katanya.

Kejadian itu berlaku selepas setahun bercerai ketika dia menjalankan perniagaan kedai makan di Langkawi dan dia dipaksa menandatangani surat pelepasan semua harta terbabit kecuali sebidang tanah dusun.

Kak Ros mendakwa, susulan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Kuah, Langkawi, namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap bekas suaminya.

“Ketika menjadi isterinya, saya tidak dibenarkan keluar rumah walaupun hanya untuk bercakap dengan jiran. Saya menuruti saja kata-katanya kerana khuatir dituduh derhaka.

“Namun, apabila isteri pertama menuduh saya menyembunyikan suaminya itu, saya mula menyiasat gerak-geri suami bagi mendapatkan kepastian hingga akhirnya menyaksikan sendiri suami memasuki bilik hotel bersama perempuan lain,” katanya. yang menyangka suaminya pulang ke rumah isteri pertama.

“Dia seorang kontraktor dan berduit, tidak mustahil ramai yang terpedaya dan menjadi mangsanya untuk melepaskan nafsu seks yang melampau itu,” katanya yang tertipu dengan perwatakan bekas suaminya..

“Kerana sering diugut, saya meninggalkan empat anak berusia 13 hingga 29 tahun bersama ibu yang sudah tua di kampung dan menyewa sebuah bilik kecil di sini.

“Saya rindukan anak bongsu yang masih belajar, namun takut pulang ke Langkawi kerana dia mengugut akan menghantar pembunuh upahan selagi tanah itu tidak diberikan kepadanya,” katanya yang kini menetap di sebuah pekan kecil di Selangor.

Harian Metro

Tiada ulasan: