iDAN

16 Ogos 2009

Hanya Selepas 33 Hari (Hiburan)

Isnin, 2009 Ogos 17

Berikut kenyataan penceramah bebas, Akhil Hayy Mei lalu, mengusik wartawan membuat liputan majlis pelancaran Cafe Akhil Hayy musim ke dua ditayangkan di Astro Oasis. “Pada hari ini ana ingin mengumumkan Waheeda adalah isteri ana tetapi hanya dalam Cafe Akhil Hayy” Kini, usikan itu terbukti menjadi kenyataan. Akhil, 40 tahun dan penyanyi popular, Norwahidah Abdul Wahab, Waheeda selamat diijabkabulkan di Masjid Ar Rahimah, Kuala Kubu Baru, Selangor semalam. Akhil bernikah 33 hari selepas menceraikan isterinya, Maizawati Zainal dengan talak satu pada 15 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak. Sejak 2 tahun lalu ‘Ustaz Rock’ dan Waheeda, 30 tahun dilanda pelbagai gosip dan spekulasi. Bekas isteri Akhil sebelum ini mendakwa mengetahui hubungan cinta di antara keduanya malah Akhil dikatakan pernah meminta kebenaran Maizawati untuk menikahi Waheeda sebelum dia menghilangkan diri. Selepas itu ada pihak mendakwa Akhil dan Waheeda sudah berkahwin. Mereka kemudian menafikan berita itu dan mengaku hanya berkawan baik. Pada masa sama Maizawati menjelaskan kepada media berlaku pergolakan rumahtangga bersama Akhil dan Waheeda dikaitkan antara puncanya. Pasangan sama pernah dilihat menonton wayang bersama di One Utama, Petaling Jaya, Selangor dan gambar mereka bersama 2 anak Akhil di tepi pantai tersebar di internet. Apapun semua episod itu sudah berlalu. Berikut kenyataan Akhil selepas sah menjadi suami Waheeda pada jam 12 tengahari semalam. "Jodoh dan pertemuan adalah urusan Allah. Sebelum ini pun, terlalu ramai yang bertanya bila kami akan berkahwin. Jadi hari ini, kami buktikan dan berharap ia dapat menutup segala spekulasi. Selebihnya, terserahlah kepada masyarakat kerana manusia boleh bercakap apa saja. Apa yang boleh saya katakan, ini bukan secara kebetulan dan bukan juga satu perancangan sangat pun” Selamat pengantin baharu. Blog Mazidul

Akhil sunting Waheeda

AKHIL mencium dahi isterinya, Waheeda selepas majlis akad nikah di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Baharu semalam.

KUALA KUBU BAHARU - Sebelum ini, mereka saling menafikan ada perasaan cinta dan hanya menganggap hubungan yang sedia terjalin cuma sekadar gosip rakan artis.

Walaupun 'kemesraan' antara mereka semakin jelas, namun hubungan antara pendakwah, Akhil Hayy, 40, dan penyanyi nasyid, Waheeda, 30, semakin menjadi kontroversi sejak perceraian Akhil dengan isterinya, Maizawati Zainal, 33, pada bulan lalu.

Namun semalam, selepas genap sebulan Akhil dan Maizawati disahkan bercerai, akhirnya Akhil yang juga dikenali sebagai 'Ustaz Rock' menamatkan spekulasi dengan menyunting Waheeda sebagai isteri yang sah.

Pasangan itu selamat dinikahkan dengan sekali lafaz di hadapan Pendaftar Nikah Rujuk Dan Cerai, Hulu Selangor, Ustaz Zulkhairi Jaid di Masjid Jamek Al-Rahimah di sini tepat pukul 12 tengah hari.

"Ini adalah penutup spekulasi kami selain bukti kami belum pernah bernikah sebelum ini. Ini adalah pernikahan sebenar," ujar Akhil ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.

Akhil yang kelihatan ceria hadir ditemani dua daripada empat anaknya, Siti Nurmaisarah, 12, dan Muhd. Sharif Hidayatullah, 11, dan beberapa ahli keluarganya dari Gopeng, Perak. Majlis itu dihadiri kira-kira 200 orang.

Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab yang hadir dengan ditemani beberapa ahli keluarganya termasuk ibunya, Hajah Asri Othman, 58, dan bapanya Abdul Wahab Yusof, 58 pula berkata: "Saya percaya setiap dugaan yang besar ada hikmahnya. Pernikahan ini adalah ganjaran dugaan saya."

Cinta Akhil, Waheeda datang sendiri

Akhil dan Waheeda berharap pernikahan mereka mampu menoktahkan nista khalayak sebelum ini.

PASANGAN pengantin baru tersenyum manis selepas sah bergelar suami isteri.

Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila penceramah bebas dan hos saluran Oasis, Akhil Hayy akhirnya bernikah dengan penyanyi dan pelakon Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab.

Hubungan mereka sudah lama dihidu media dan khalayak. Apa lagi gosip cinta mereka tidak pernah surut sejak setahun lalu. Mereka bukan sekadar dikatakan bercinta malah sempat didakwa sudah berkahwin. Namun, kedua-duanya tegas menafikan khabar angin tersebut.

Sehinggalah bekas isteri Akhil, Maizawati Zainal, 33, tampil ke hadapan bercerita tentang kepincangan rumah tangganya pada tanggal 16 Julai, perkahwinan Akhil dan Waheeda adalah berita yang ditunggu-tunggu banyak pihak yang mahu melihat kesudahan telenovela mereka.

Ironinya, Akhil berkahwin baru dalam tempoh genap sebulan bergelar duda. Perkahwinan dia dan Waheeda juga seperti mengesahkan bahawa mereka memang punya hubungan luar biasa sebelum ini. Jika tidak, masakan Akhil boleh terus memilih Waheeda untuk berkahwin semula dalam jangka waktu yang singkat.

"Ini soal jodoh. Kita tidak boleh hendak cakap singkat atau lambat jangka waktu saya menduda. Ada juga orang yang baru bercerai hari ini, sudah berkahwin baru pada keesokan harinya," katanya yang turut memberitahu perkahwinan mereka adalah doa daripada semua pihak yang selama ini mengikuti kontroversi mereka.

Tambah Akhil, penyatuan mereka hanya berpandukan senaskhah al-Quran sebagai pegangan hidup yang menutup spekulasi yang menjalar sejak lebih setahun lalu. Ia juga bukti mereka tidak pernah berkahwin.

Akhil yang hanya membuat perancangan seminggu untuk bernikah berkata: "Hari ini adalah bukti kami tidak pernah berkahwin. Saya harap ia juga penutup spekulasi hubungan kami yang digembar-gemburkan banyak pihak selama ini."

Tidak lagi berdolak-dalik seperti sebelum ini, Akhil yang segak berbaju Melayu putih juga membuka kisah cinta mereka secara kiasan.

Pertama sekali, tegas Akhil, sejak dahulu, dia memang tidak pernah menafikan mempunyai hubungan yang baik dengan penyanyi yang hit dengan lagu Wassini itu sebaliknya dia menafikan bercinta dengan gadis itu.

Beritahu Akhil, dia mula rapat dengan Waheeda sejak dua tahun lalu. Sejak itu mereka berkawan baik.

Jelasnya: "Selama ini pun saya tidak pernah menafikan saya selesa berkawan dengan Waheeda tetapi saya nafikan kami bercinta. Allah yang menggerakkan perasaan kasih saya ke arah ini (perkahwinan) dan saya mengikut petunjuk Allah untuk mengambil Waheeda sebagai isteri saya."

Dijolok soalan tentang bibit cinta antara mereka, Akhil hanya mengulas ringkas. Katanya, mustahil dia berkahwin dengan Waheeda tanpa ada bibit cinta.

"Ia didorong perasaan cinta kepada wanita ini selepas Allah membuka pintu hati untuk menerima anugerah yang besar daripada Allah.

"Saya akan mencuba sedaya upaya untuk membimbing keluarga saya," katanya yang menerima ketentuan Ilahi itu dengan tangan terbuka.

Sementara bagi Waheeda yang kelihatan gembira dengan perkahwinan itu berkata, penyatuan mereka adalah hikmah terbesar dalam dugaan yang mereka tempuhi selama ini.

Malah, dia juga tidak peduli dengan nista yang sudah dan bakal melanda lagi selepas dia akhirnya berkahwin dengan bekas suami orang ini.

"Lantaklah orang hendak kata apa. Banyak benda yang lebih penting harus kita fikirkan daripada memikirkan tentang cakap-cakap orang.

"Apa yang penting saya memegang kata-kata daripada Dr. Fadzilah Kamsah bahawa ada hikmah yang besar menanti di sebalik dugaan yang saya lalui. Alhamdulillah, hari ini saya mendapat ganjaran tersebut," katanya.

Kejar rahmat Ramadan

Dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Rujuk dan Cerai Hulu Selangor, Ustaz Zulkhairi Jaid di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Baharu, Selangor, dengan hanya sekali lafaz, Akhil memberitahu pernikahan yang dijalankan di kawasan desa itu bukan diadakan dengan tujuan untuk mengelak daripada media. Sebaliknya dia bersetuju untuk dinikahkan oleh Zulkhairi yang merupakan teman baiknya di masjid itu.

Ditanya tentang pemilihan tarikh nikah, kata Akhil, tiada signifikan pada tarikh 16 Ogos sebagai tarikh ijab kabul mereka. Tarikh tersebut dipilih kerana mereka mengejar rahmat Ramadan dan mahu menikmati rahmat tersebut sebagai pasangan suami isteri.

"Pada mulanya kami merancang untuk bernikah pada 21 Ogos iaitu sehari sebelum Ramadan. Saya mahu mengambil keberkatan malam Ramadan pertama.

"Bagaimanapun, selepas berbincang, kami awalkan seminggu pernikahan ini. Apa yang penting adalah kami mengejar rahmat Ramadan dalam sebuah keluarga baru," ujar Akhil.

Pernyataan tersebut disokong Waheeda dengan mengatakan: "Ia juga untuk anak-anak kami. Kami mahu anak-anak kami menyambut Ramadan dengan sebuah keluarga sempurna."

Ditanya tentang destinasi bulan madu, Waheeda memberitahu, tiada perancangan untuk meraikan cinta mereka yang akhirnya bersatu. Namun, katanya, cukup dengan kunjungan keluarga antara dia dan Akhil.

Kata Waheeda: "Kami akan mengeratkan hubungan antara dua keluarga dengan kunjungan kami nanti."

Pernikahan ini juga, kata Waheeda, menjadi penutup kepada kerjayanya. Dia mahu cuci tangan daripada bidang hiburan serta memberi komitmen sepenuh masa kepada anak-anak tirinya selain bersedia membina keluarga sendiri.

"Dengan pernikahan ini, saya sudah berhenti menjadi anak seni secara rasmi. Saya tidak mahu anak-anak dan keluarga saya terabai," katanya yang mahu membuka buku baru kehidupannya.

Semoga berbahagia

MAIZAWATI doakan kebahagiaan Akhil dan Waheeda.

Dari hujung corong telefon, bicaranya kedengaran bersahaja dan tenang. Tidak terlalu perlahan kesedihan dan tidak juga terlalu berdolak-dalik, meskipun wanita itu sudah boleh meneka soalan yang bakal diajukan kepadanya.

“Saya tahu kenapa. Tidak apalah, teruskan dengan soalan anda,” ujar Maizawati Zainal, 33, bekas isteri pendakwah selebriti dan penyanyi nasyid, Akhil Hayy ketika dihubungi Kosmo! petang semalam.

Mengakui hanya mengetahui mengenai majlis pernikahan Akhil dengan penyanyi Waheeda selepas dihujani beberapa panggilan telefon daripada wartawan pada sebelah pagi, Maizawati bersikap profesional tanpa mengelak pertanyaan media.

“Seperti yang saya katakan dahulu, peminat lebih tahu. Peminat sekarang sudah pandai, jadi tidak perlulah dinafikan sebelum ini,” ujarnya mengakui tetap mendoakan kebahagiaan Akhil dan Waheeda.

Tambah Maizawati, kalau boleh dia enggan lagi mengambil tahu tentang perjalanan bekas suaminya memandangkan mereka kini sudah berpisah.

“Biarlah, rasanya saya tidak perlu lagi mengambil tahu tentang dia (Akhil). Sejak awal tahun lagi memang dia sudah tidak memberitahu saya apa-apa,” ujarnya.

Menganggap apa yang dilaluinya hari ini sebagai takdir, Maizawati menjelaskan yang dia reda dengan ketentuan dan dugaan Yang Maha Esa.

“Saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Tidak ada manusia yang sempurna. Mungkin dia (Akhil) ada kebenaran dan kesalahannya dan begitu juga saya.

“Kehidupan terpaksa diteruskan. Sebagai ibu tunggal dan anak kepada orang tua yang memerlukan sokongan saya, maka saya perlu berusaha gigih.

“Sebab itu saya perlu mencari rezeki untuk teruskan hidup,” katanya sambil memberitahu baru-baru ini dia dilantik Yayasan Pembangunan Nur Hikmah sebagai Duta Tudung Myza.

Enggan lagi bersedih mengenang keperitan hidup yang pernah dilaluinya, Maizawati juga berusaha membuat bisnes kek coklat bersama seorang kawan. Tidak ketinggalan wanita itu turut terlibat dengan bisnes jualan jubah Abaya yang dibawakan eksklusif dari Dubai.

Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang produk yang diusahakan Maizawati sila hubungi talian faks 05-547 2235.

Kosmo!

Ana dah kahwin

Oleh Muhd Izawan Baharin, Syarifah Dayana Syed Bakri dan Md Fuzi Abd Lateh am@hmetro.com.my

KUALA KUBU BHARU: “Ana harap semua kemelut dan gosip dinoktahkan dengan ijab kabul. Ini (pernikahan) juga doa daripada kalian semua (wartawan),” kata penyanyi, pengacara dan penceramah bebas, Akhil Abdul Hai atau lebih dikenali sebagai Akhil Hayy selepas selamat diijab kabulkan dengan penyanyi Waheeda, semalam. Akhil, 40, menganggap pernikahan mereka sebagai ketentuan Allah selepas berdepan dengan pelbagai tohmahan sebelum ini. “Sebelum ini ana ada menyatakan senang dengan sikap dia (Waheeda) dan tuan punya dunia membuka pintu hati ana untuk kembali berumah tangga selepas berstatus duda. “Ana tidak boleh kata tiada perasaan cinta (kepada Waheeda) kerana Allah mencampakkan ke hati setiap manusia rasa kasih sayang dan ini satu amanah berat kepada ana, bukan saja untuk membimbing Waheeda malah keluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis akad nikah mereka di Majlis Jamek Ar-Rahimah di sini, semalam.

Pasangan itu dinikahkan Pendaftar Nikah dan Cerai Pejabat Agama Islam Hulu Selangor, Zulkhairi Jaid dan dengan sekali lafaz, Akhil dan Waheeda atau nama sebenar, Norwahidah Abdul Wahab, 31, sah sebagai suami isteri tepat jam 12 tengah hari.

Turut menyaksikan majlis ijab kabul itu ialah bapa Waheeda, Abdul Wahab Yusuf, 58, ibunya, Asri Othman, 58, ibu Akhil, Azizah Daud, 72, dan dua anak Akhil, Siti Nur Maisarah, 12, dan Mohd Syarif Idayatullah, 11. Pada majlis pernikahan yang dihadiri saudara terdekat itu, tiada wang hantaran diberikan, sebaliknya pihak lelaki menyediakan senaskhah al-Quran. Rombongan lelaki juga memberi tujuh dulang hantaran dan dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan. Majlis itu menjadi hiba apabila Waheeda menitiskan air mata ketika bersalaman dengan ibu bapanya selepas selamat diijab kabulkan. Akhil berkata, dia bersyukur kerana majlis itu berjalan lancar selepas banyak perkara ditempuhi, malah tidak menyangka ia dihadiri ramai saudara terdekat kerana cadangan asal mahu melaksanakannya secara kecil-kecilan. “Mulanya kami mahu melangsungkan majlis ini pada 21 Ogos bagi mendapat keberkatan Ramadan, tapi keluarga mahu ia diawalkan. “(Selepas ini) saya berharap semua peminat Waheeda dapat mendoakan kebahagiaan kami. Kami mahu menutup buku lama dan membuka buku baru,” katanya. Akhil bagaimanapun enggan memberi sebarang komen mengenai bekas isterinya, Maizawati Zainal, 33, dan terpulang kepadanya untuk berkata apa saja. Sementara itu, Waheeda pula menegaskan dia tetap meneruskan hasrat bersara dari dunia seni dan hanya akan menumpukan perhatian kepada anak serta keluarga. “Sebelum ini (pakar motivasi) Datuk Dr Mohd Fadzillah Kamsah ada menasihatkan saya bahawa dugaan yang lebih berat akan membuahkan ganjaran lebih besar daripada Allah. “Biarlah selepas ini orang nak cakap apa pun kerana banyak lagi perkara lebih penting dalam hidup ini. Saya hanya mahu menghabiskan masa dengan keluarga,” katanya. Mengenai hantaran senaskhah al-Quran, Waheeda berkata ia permintaan bapanya kerana itu pemberian paling lengkap. Mengulas penyakit yang menimpanya, Waheeda berkata, keadaannya teruk sejak tiga bulan lalu, namun ia kini beransur pulih. Pasangan itu akan mengadakan majlis persandingan pada 31 Oktober ini di Dewan Orang Ramai Bukit Jelutong, Shah Alam dan di tempat asal Akhil di Gopeng, Perak, seminggu kemudian. Kontroversi mengenai keretakan rumah tangga Akhil mendapat liputan meluas media massa akhir Mei lalu berikutan Maizawati membuat pendedahan terbuka menerusi program televisyen. Pasangan itu akhirnya bercerai pada 15 Julai lalu selepas Akhil melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak.

iDAN berkata...

Jauh di sudut hati saya, saya amat berharapkan agar Ust Akhil Hayy merujuk kembali ke Maizawati Zainal demi membimbing anak-anaknya. Namun siapa dapat menolak jodoh, dengan kehadiran Wahida sebagai isteri mudanya yang sah; tentunya semakin payah membina kembali masjid yang telah runtuh ini. Sementelah amat payah seorang isteri mahu menerima hidup bermadu. Bagaimana pun saya yakin Ustaz Akhil Hayy pasti menunaikan tanggungjawab sebagai suami & ayah dengan sempurna. Agar jodoh bersama Wahida akan kekal, aman bahagia hingga ke akhir hayat, Selamat Pengantin Baru.

Isnin, 2009 Ogos 17 08:46:00 MYT

1 ulasan:

IKA berkata...

Salam semua.Kelahiran,Kematian Jodoh pertemuan adalah ketentuan Tuhan.Bukan marah atau cemburu dengan pernikahan ini.Cuma MELUAT diatas sikap HIPOKRIT Wahida & Ustad Rock ni.

Ustat Rock sebagai pencaramah Motavsi,sepatutnya lebih bersikap matang dan terbuka dalam menyelesaikan hal rumah tangganya bersama bekas isterinya,tapi ini sebaliknya.

Sikap HIPOKRIT mereka berdua ini.Membuat orang ramai MELUAT.

wassalam

ANDI YAYANG