iDAN

16 Ogos 2009

India minta penjelasan AS (Hiburan)


Shah Rukh Khan

BIKANER - Pemerintah India akan menuntut jawapan berhubung isu penahanan pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan (gambar) di sebuah lapangan terbang di Newark, Amerika Syarikat (AS) kepada pentadbiran AS, kata Menteri Penerbangan Awam, Praful Patel semalam.

Menurutnya, insiden penahanan Shah Rukh oleh pegawai-pegawai imigresen AS untuk disoal siasat kerana mempunyai nama bercirikan Islam itu tidak wajar berlaku.

"Kami akan mengemukakan isu itu kepada pemerintah AS.

"Insiden yang melibatkan rakyat India berhubung agama atau kewarganegaraan mereka tidak sepatutnya berlaku.


SEORANG peminat Shah Rukh menjerit slogan anti-Amerika Syarikat di Allahabad, India semalam.

"Kami tidak dapat menerimanya," katanya.

Campur tangan menteri itu berlaku selepas beberapa buah akhbar di India memprotes layanan yang diberikan terhadap Shah Rukh di AS.

Sebuah akhbar berbahasa Hindi, Dainik Jagran menyiarkan tajuk muka depan yang menyatakan kemarahan kerana Shah Rukh diaibkan.

Sebuah akhbar di negara itu, Mail Today turut mengisytiharkan penghinaan agama yang dialami bintang Bollywood tersebut sebagai mengejutkan India.

Bagaimanapun, beberapa pegawai AS menyatakan Shah Rukh menjalani pemeriksaan rutin ketika dia tiba di AS pada Jumaat lalu.


BEBERAPA peminat Shah Rukh membakar bendera Amerika Syarikat di Allahabad, India semalam.

Pelakon terkenal yang mempunyai ramai peminat itu ditahan selama dua jam di lapangan terbang itu kerana nama Khan yang digunakannya terdapat dalam senarai orang yang perlu diperiksa.

Agensi berita Press Trust of India melaporkan patung Presiden AS, Barack Obama dibakar di bandar raya Allahabad bagi membantah penahanan Shah Rukh.

Duta AS ke India, Timothy Roemer bertindak menenangkan keadaan apabila mengeluarkan satu kenyataan kelmarin dengan menganggap Shah Rukh sebagai ikon global dan kedatangannya dialu-alukan di AS. - Agensi

Tiada ulasan: