iDAN

11 Ogos 2009

Keluarga tak yakin lelaki ditembak Noordin (Ceritera)


DUA anggota polis mengawal seorang lelaki yang menutup kepala disyaki mempunyai kaitan dengan Noordin di sebuah pejabat polis di Jakarta semalam.


JAKARTA - Keluarga Noordin Mohammad Top yang berada di Johor tidak yakin lelaki yang mati ditembak polis Indonesia di sebuah rumah di Temanggung, Jawa Tengah pada 8 Ogos ialah Noordin, lelaki paling dikehendaki di Indonesia.

Setelah melihat foto yang disebar oleh pihak berkuasa, keluarga Noordin bertambah yakin bahawa lelaki yang mati ditembak selepas 17 jam dikepung itu bukan Noordin.

"Menurut keterangan dari keluarga, mereka yakin yang ia bukan gambar Noordin," kata Badarudin Ismail, lelaki yang dipetik oleh laman web detik.com sebagai jurucakap keluarga Noordin.

Katanya isteri Noordin, yang hanya dikenali sebagai Rahmah, yakin lelaki yang ditembak itu bukan suaminya kerana struktur wajahnya berbeza sama sekali dengan Noordin.

Sabtu lepas, polis Indonesia menembak mati seorang lelaki yang sehingga kini masih belum dapat dipastikan sekiranya dia adalah Noordin, lelaki paling dikehendaki di Indonesia kerana dikatakan menjadi dalang dan pakar bom yang disyaki terbabit dalam kejadian pengeboman Hotel JW Marriott dan Ritz Carlton di sini pada 17 Julai lepas.

Sementara itu sehingga malam ini polis belum mengeluarkan kenyataan mengenai sejauh mana proses pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) jenazah lelaki itu sudah dijalankan.

Laman web itu melaporkan yang polis akan membandingkan DNA jenazah lelaki yang mati ditembak itu dengan DNA dari air liur anak lelaki Noordin yang sudah diambil polis Indonesia di Johor baru-baru ini.

"Jika DNA jenazah dengan DNA air liur itu padan, nanti isteri dan ketiga-tiga anak Noordin akan ke Indonesia," kata Badarudin yang enggan menyatakan hubungannya dengan keluarga Noordin. - Bernama

Tiada ulasan: