iDAN

29 Ogos 2009

Raja mengeluarkan Melayu dari agama hindu-malaysiakini

Raja Mengeluarkan Melayu Daripada Hindu!

Zaman Prasejarah Malaysia dapat dijejaki seawal 200,000 tahun yang lalu berikutan penemuan alatan-alatan yang diperbuat daripada batu dan dijumpai di tapak arkeologi Kota Tampan, Lenggong. Rangka manusia terawal, Perak Man yang berusia 11,000 tahun dan Perak Woman yang berusia 8,000 tahun juga turut dijumpai di Lenggong.

Gangga Negara (abad ke-2-11) dipercayai merupakan kerajaan Melayu Hindu yang hilang dan ada disebut dalam Sejarah Melayu yang kini merangkumi Beruas, Dinding dan Manjung masa kini dalam negeri Perak, Malaysia dengan Raja Gangga Shah Johan sebagai salah seorang rajanya. Penyelidik percaya bahawa kerajaan ini berpusat di Beruas dan ia runtuh selepas serangan oleh Raja Rajendra Chola I dari Coromandel, India Selatan, antara 1025 dan 1026.

Kejatuhan Sultan Mahmud Shah dan Melaka pada 1511 di tangan Portugis telah menyebabkan baginda berkubu di Bentan. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra di mana beliau mangkat. Baginda meninggalkan dua orang putera iaitu Tengku Muzaffar Shah dan Tengku Alauddin Riayat Shah.

Muzaffar Shah seterusnya menjadi Sultan Perak manakala Alauddin Riayat Shah menjadi sultan Johor yang pertama. Kesultanan Johor juga dikenali sebagai “Kesultanan Johor-Riau-Lingga”. Oleh itu kesultanan Perak hari ini mempunyai jurai keturunan dengan kesultanan Melaka.

Hari ini, negeri yang mempunyai sejarah tertua di Malaysia sedang dilanda gelombang dan badai. Sultan yang mempunyai jurai keturunan daripada kesultanan Melaka itu sedang dihina dan diinjak oleh segelintir orang Melayu dan penduduk yang asalnya bukannya penduduk asal negara ini.

Saya ingin mengingatkan kepada Orang Melayu, Walaupun DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong itu adalah pelindung kepada semua rakyat Malaysia dan Raja-Raja Melayu di negeri-negeri itu adalah pelindung kepada seluruh rakyatnya tetapi bukan Melayu memang tidak akan faham tentang sejarah bangsa kita.

Sebab itu lahirlah sebuah puisi baru-baru ini, bertajuk Kingdom of Purplaya dikarang oleh orang yang bernama Cecil Rajendra dan diterbitkan dalam majalah Aliran, menghina orang Melayu dengan berkata bahawa orang Melayu yang berada di negara yang disebut `Tanah Melayu’ itu bukan penduduk asal kawasan ini. Orang Melayu adalah kaum pendatang. Mereka datang merantau dari kawasan-kawasan lain, terutama dari Sumatera, lalu mendakwa inilah `tanah asal’ mereka. Maka dikatakan bahawa orang Melayu itu mula menuntut hak sebagai kaum bumiputera Persekutuan Tanah Melayu, lalu akhirnya mereka menggubal perlembagaan yang menetapkan beberapa hak mereka.

Menurut puisi itu, orang Melayu menetapkan, dalam perlembagaan itu bahawa raja di negara ini ialah raja Melayu, agama rasminya ialah agama Islam, bahasa rasminya ialah Bahasa Melayu. Selain ini, orang Melayu yang dianggap kaum pendatang ini, menuntut hak-hak istimewa yang lain lagi, misalnya dalam bidang pendidikan, dalam bidang ekonomi, dalam bidang pentadbiran, dan sebagainya (dipetik daripada rencana DATUK DR. HASSAN AHMAD, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan)

Bagi orang Melayu, Sultan-sultan Melayu adalah pelindung kepada orang Melayu.TITAH Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika merasmikan sidang Parlimen bagi penggal kedua kelmarin supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan wajar mendapat perhatian semua pihak.

Yang di-Pertuan Agong antara lain menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tubuh dan tertinggi di negara ini yang telah dipersetujui oleh semua pihak semasa negara mencapai kemerdekaan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah turut melahirkan rasa kecewa kerana sikap biadab sesetengah pihak terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Walaupun kenyataan itu bersifat peribadi dan tidak mewakili mana-mana sultan negeri lain, namun ia sudah cukup untuk melambangkan betapa tercalarnya peranan sultan Melayu pada pandangan masyarakat.

Sememangnya pihak istana mempunyai sebab untuk berasa kecewa dengan sikap pakatan pembangkang mencabar Sultan Perak sehingga tergamak menyaman baginda tidak bertindak demokratik.

Akhir sekali, sewaktu saya masih bersekolah, cikgu sejarah saya pernah berkata, apakah sumbangan terbesar Raja-Raja Melayu kepada orang Melayu. Katanya’ Jikalau Parameswara tidak memeluk Islam pada tahun 1414 melalui perkahwinannya dengan puteri Pasai, Indonesia dan menukarkan nama beliau kepada “Raja Megat Iskandar Shah”, Melayu pada hari ini masih lagi berugama Hindu. Sebelumnya Parameswara beragama Hindu.

Ini kerana pada masa itu orang Melayu menganggap Raja itu Bayangan Tuhan, dipercayai memiliki kesaktian, bertujuan memperkuatkan status / kedudukan raja, mitos dan lagenda memperkuatkan kedudukan raja, bertujuan untuk membezakan kedudukan raja dengan golongan yang diperintah, konsep orde kosmos/ menjadi raja terulung dan berkuasa terhadap seluruh alam semesta. Sebab itulah jika seorang Raja itu memeluk Islam maka sudah diwajibkan seluruh rakyat jelata mengikutnya.

Apa pun jua tujuannya, Raja-Raja Melayu telah memberikan jasa terbesar kepada Melayu iaitu dengan memilih ISLAM itu sebagai agama baginda.

Amir Hamzah
Batu Pahat
http://amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

2 ulasan:

abuyon berkata...

Tajam keris raja, tajam
lagi pena pujangga

Usman Awang

Raja, selagi berpegang
syarak, disembah
Kalau zalim,
disanggah

Zaman sekarang, raja macam-macam
Raja bukan sultan Melayu saja
Sesiapa yang berkuasa, dialah
raja

iDAN berkata...

Dalam rumah tangga pun
ada raja yang makin tiada kuasa
lantaran wang ringgit
nafsu & ikutan duniawi

lalu patah kata bagaikan
bagaikan sekatan hati
teguran menjadi kesangsian
lalu hati bertutur sendiri

entah mana hujungnya dukalara
timbangtara & resah akan berakhir
namun cinta tetap disirami
kesetiaan ketabahan..