iDAN

01 Oktober 2009

Saling bergantung Siri Raya ooo Raya 6 (Singgahsana)


Semasa bercinta rasa hati ingin sangat bersua dengan kekasih. Jika boleh kekasih mahu ada di depan mata selalu. Saat paling indah ialah dapat ketemu kekasih, berbual mesra, saling merancang & memadu janji. Ewah!

Jika terlalu lama tidak berjumpa, dapat tenguk bumbung rumah kekasih pun telah rasa reda kerinduannya. Amat indah ketika dilamun cinta. Bilamana ada laguan merayu di radio berkait dengan asmaradana, rasa hati bagaikan luruh tak puas diulit kesyahduan. Asyiknya.

Kekasih juga mendorong kita menyukai sesuatu minat. Jika minat telah serupa, itu yang dinamakan sehati & sejiwa. Maka itu kita kena selidik apa minat kekasih kita. Agar mudah mengambil hatinya.

Yang nyata aku sendirian melayan anak-anak di Jenaris. Khayalan apa pula yang kukumpul ini?.

"Ayah boleh tolong temankan Afiz tak?" Tetiba Afiz muncul di depan pintu. Sepatutnya dia masih praktikal di Al Jabbar. Ofis Al-Jabbar sekitar 500 ratus meter sahaja dari rumahku.

"Temankan Afiz ke cawangan Al-Jabbar di Cheras, Bangi & Puchong..."

"Emmm! jauh tu, Bangi & Puchong tu ada tak plannya?"

"Ada alamat sahaja ayah!, kita cari di Google Earthlah ayah!" Amboi!.

"Ngapa pula Afiz sanggup sahaja, cakaplah tak mahir dengan kawasan Puchong tu!" Afiz hanya pakai kapcai, bahaya itu kalau sendirian mencari tempat yang tak pernah sampai.

"Serba salah ayah!, kita ni praktikal kalau tolak arahan tu, apa pula katanya...!"

Afiz tak ada lesen kereta, kalau tidak boleh guna kereta kompeni. Tak kan Al-Jabbar itu tak ada pemandu. tak apalah, aku terpaksa berkorban untuk Afiz.

Aku keluar rumah sekitar jam 11:00 pagi. Hampir setengah jam juga aku mencari lokasi di internet melalui alamat yang Afiz berikan. Baik Google Earth mahu pun Wikimapia, angkara si gerladangan si KJ & geng banyak amat tempat tidak bertanda bagai dulu. Aku sekadar berpandu kepada nama jalan sahaja. Selebihnya memang samar-samar. Cawangan Al-Jabbar Bangi aku perasan tak sukar sangat dituju. Al-Jabbar di Puchong itu agak terpencil. Di Cheras sememangnya Afiz kerap ke sana. Dalam bulan puasa lalu dia memang praktikal di sana.

Pusing punya pusing dekatlah 100 km aku bertugas tanpa gaji bersama Afiz. Nasiblah Avanza sememangnya amat jimat minyaknya. Kalau aku pakai kereta perangku, mahu tersadai di jalan. Semasa di Taman Putra Perdana, Puchong aku terlupa isi minyak, tak jumpa pun petrol pam di taman tersebut.

Jam 2:30 petang barulah aku sampai semula di Jenaris. Untuk mengejar masa aku mengajak anak-anak makan di Gerai Hijrah Siam. Sebelum ini aku memang rajin makan di Gerai Pindah Siam ini. Aku suka sangat Tomyamnya tapi gerai ini tak selalu ada. Selalunya kumpulan Siam ini berhijrah ke satu lokasi ke satu lokasi. Terkadang sebulan dua sahaja mereka berada di lokasi yang mereka sewa. Sebelum ini lokasi yang sama di parkir Giant lama juga mereka berniaga. Ada Sijil Kelulusan Halal Agama Islam tempatan jadi tidaklah aku ragu-ragu makan masakan mereka. Aku perasan semasa bulan Ramadan lalu aku lihat kumpulan Siam yang lain pula datang.

"Bagaimana rasanya Tomyam ini Afiz!"

"Biasa!.." Afiz nampak berselera makan bersama adik-adiknya.

"Haa ahh! ayah pun rasa kurang enak berbanding kumpulan yang lalu."

Memang aku agak kecewa tak dapat rasa aroma tomyam sebelum ini, memang sedap; yang ini agak kurang pekat perencahnya. Hendak cuba Laksa Siam pun hanya posternya sahaja yang ada. Akhirnya aku cuba Nasi Goreng Thai berkongsi dengan Azim yang awalnya sekadar buat pesanan ABC sahaja.

Sebelah petang bos Afiz kasi rehat di rumah, lepas praktikal Afiz akan kerja di KFC. Pengurus KFC itu sayang amat akan Afiz, kerja empat jam pun tak kisah, janji Afiz datang kerja. Dia masuk kerja jam 7:00 malam & balik jam 12:00 tengah malam. Aku yang banyak kasi motivasi agar jangan membantah cakap bos, buat sahaja apa terdaya. Jujur & jangan sesekali panjang tangan ketika berkerja. Sekali kita buat salah memang payah menyakinkan hati majikan kita. Kedatangan mestilah tepat.

Aku bertolak kembali ke Meru sekitar jam 4:15 petang. Sebab janji dengan Mila akan beraya lagi di dua buah rumah lagi. Afiz biasalah ada kesempatan kalau tak klik komputer akan tidur. Aziq, Anif & Azim masing-masing pakai baju baru, tak sabar nak beraya sakan.


Orang bercinta kalau ke mana jua mahu berkepik dengan kekasihnya. Sanggup batalkan perjalanan ke mana-mana jika kekasihnya ada masalah tidak turut serta. Apa lagi jika berjanji; amat kecewa bilamana kekasih mungkir janji. Akan timbul pelbagai dilemma jika pasangan mungkin janji. Boleh sampaikan merajuk.

Azim duduk sebelahku di bangku hadapan. Aziq dengan SMSnya di bangku tengah. Anif pula tidur di bangku belakang Avanza. Aku memasang Modulator MP3 yang semalam tetiba meragam. tak dapat buka data di Pemacu Kilat USB. Mila tiada seyogia bolehlah aku melayan selera muzikku. Di Pemacu kilat USB kepunyaanku banyak tersimpan lagu Hindustan, Melayu Klasik juga Sariosa Jepun. Mila akan cepat naik angin dengar lagu Hindustan & lagu Sariosa Jepunku.

"Azim agak kan.., ibu telah siap barangan untuk balik ke Jenaris ke tidak?"

"Entahlah ayah! rasanya mungkin tidak!, ibu bukankah bila sudah balik Meru akan payah mahu cepat balik ke Jenaris!"

"Tak apalah, kalau ibu nak beraya sampai Sabtu atau Ahad, ayah tak kisah!; tapi ayah tak bawa ubat, Azim pun tak ingatkan ubat ayah!. Ayah kena balik juga, lagi pun Along asyik tanya bila ibu nak balik!" Mungkin Afiz terasa sepi amat di rumah tak ada siapa, lagi pun siapa nak jaga makan minum dia. KFC itu kalau tak kerja selama 8 jam memang tak akan dikasi makanan. Kami telah sampai ke Shah Alam.

"Teringat ulam ayah di rumah Nyaie, terasa laparlah pula... "

"Ayah tu memang tak habis-habis ingat makan!"

"Orang sakit kronik macam ayah ini memang asyik teringat makan sahaja."

Memang betul jika kena diabetes & darah tinggi memang tak boleh rasa lapar, sindromnya menggigil, tangan pun akan menggeletar. Selera makan memang tinggilah amat.

Sampai di Meru Mila tiada, katanya beraya dengan adik-adiknya. Aku ke dapur mencari makanan. Tak nampak mana perginya Pucuk Mengkudu. Suruh Aziq telefon ibunya tidak berjawab. SMS juga tidak berbalas. Andaian aku telah dibuang tentunya. Aku cari Belacan Ali. Pun tak jumpa. Kalau di Meru sebut belacan semua akan cari Belacan Ali memang sedap. Buat sambal ini kalau belacannya tak sedap memang tak akan mengancam rasanya. Tanya Maman Ifi, dia lagilah tak tahu memang jarang ke dapur. Akhirnya Azim yang jumpa.

Aku makanlah seadanya. Ada sayur kacang dalam peti sejuk penganti Ulam Pucuk Mengkudu, gigit cili padi (Orang Perak panggil Cabai Burung) dengan belacan. Memang terbiasa begitu kalau malas nak tumbuk sambal.

Sementara tunggu Mila balik aku terlelap, top-top telah magrib. Sekitar jam 8:00 malam baru muncul Milanya. Raya sakan betul dia. Biasalah Mila kalau sembahyang magrib akan duduk di sejadah sampai ke waktu Isya.

"Ayah tak nak makan ke?" Tetiba Mila mengejutkan aku.

"Sudah makan tadi... kenyang lagi, Pucuk Mengkudu semalam kat mana iyer?"

"Ada bawah meja makan tu.."

"Lor! semalaman ulam tu! bawah meja makan Jepun bukankah tempat lipas bercengkerama, habuk pelbagai.. adoi! penatnya nak dapat pucuk tu.." Keluh aku dalam hati.

"Pukul berapa nak balik ke Jenaris ini?"

"Hah? nak balik ke Jenaris malam ini juga ke?, nak buat apa kat Jenaris itu!"

Huh! lain pula perancangan Mila ini. Memang benar apa telahan Azim anak aku yang bungsu. Aku pun tak mahu gaduh-gaduh bab beraya di Meru. Lagipun aku ini anak yatim piatu. (Tua) Masalahnya bagaimana dengan ubatanku. Aku pun satu mengapa percaya amat janji Mila nak balik hari ini.

"Tak apalah kalau Mila nak beraya sampai hari Ahad, tapi ayah kena balik ke Jenaris..!" Sakit aku bukan sakit dibuat-buat. Biarlah aku berehat di Jenaris.

"Iyerlah mengabiskan minyak kereta Mila... minyak percuma! katakan..."

"Tolong sikit iyer!, ayah sudah isi minyak, bayar tol pelbagai, sudah boleh sampai ke Perak..!" Mila terdiam.

Jam hampir 10:00 malam. Aku pun menghidupkan enjin kereta, tanya anak-anak kalau-kalau mahu ikut ayahnya. Dalam hatiku berkata, kalau tak balik ke Jenaris pun aku nak pergi tenguk wayang. Cerita Tamil pun tak kisah. Kalau ada Afiz memang dia perasan perubahan drastik ayahnya. Tak mampu lagi nak ambil hati tentang sikap Mila.

Melayan kerenah isteri ini memang tambah menaikkan tekanan darah tinggi nanti. Baik cari jalan jangan sampai berbalahan. Buruk ipar, biras tenguk sudah tua-tua masih berselisih faham.

Kalau baru kahwin dulu memang pernah baran, Arwah Pak Mertua pun tak benani nak masuk campur. Sementelah jam 10:00 malam Hari Raya keempat masih di Meru, asyik tiba di kampungku Kota Bharu Perak jam 1:00 ke 2:00 pagi. Kasihan kejutkan Wan Bi (Mila panggil Mak Bi, emak tiri bungsuku) tengah lena dibuai mimpi. Makanan di tudung saji pun sudah sejuk lesi. Memang itu rutin & agenda pelik Mila tiap kali hari raya sering menguji kesabaranku. Sejak zaman dedulu lagi, sesekali berulang lagi agenda yang sama. Sekarang telah aku anggap ianya rutin biasa. Beralahlah sekadar terdaya. Aku terbayang wajah Arwah Emak & Apakku.

Nota: Aku baru sahaja berkunjung ke rumah Eris, dia & Maria (Adik angkatku) akan merantau jauh ke Australia untuk buat PhD. Sekitar 3 tahun di negara orang. Ijazah Eris pun dia buat di UK. Eris antara rakan rapatku. Tentunya aku terasa kehilangan tanpa dia di tanah air. Agar Eris & Maria berjaya mengejar cita-cita di rantau orang. Jika umur aku panjang pastinya kita ketemu lagi. Dia sibuk suruh aku aktifkan Facebook. Aku suka klik Tagged sahaja.

5 ulasan:

Cetusan berkata...

teman semua segibicara..teman keluhkesah..cerita cerita..

asilahmuhajer berkata...

bestnya makan. tiba2 teringin nak makan tomyam gak.

iDAN berkata...

Isteri adalah kekasih kita,

Jika kita berselisih faham itu namanya kasih sayang; jangan ambil hati sangat.

Tenguk marah ingatkan apa yang baik-baik ujud di diri isteri kita.

iDAN berkata...

Cikgu!,

Tomyam masakan Siam asli ini memang berbeda dengan Tomyam yang kita buat. Yang membuatkan ianya sedap adalah kerana rempah & bahan yang digunakan.

Di sebelah utara banyak terdapat pati Tomyam dari Siam. Maka itu kalau ada kumpulan ini berkhemah cubalah rasa. Pastikan dulu mereka ini punyai Sijil Halal dari Majlis Agama kita. Biasanya mereka gantung sijil ini di Gerai Hijrah mereka ini.

Unknown berkata...

Tak tahulah kenapa..
Kalau baca blog Che Idan ni, mesti mengidam nak makan macam2 hehehe