iDAN

25 November 2009

Jangan Suka Berjanji 4 Tingkah Laku (Delima Merkah)

Pernah tak semasa kita mengenali kekasih kita terserlah sikapnya yang menyinggung hati kita. Seumpamanya kita berjanji mahu menonton malam minggu nanti. Kita pun bukan main ghairah lagi mahu keluar dengan dia, siap dengan menggosok baju, keluarkan duit dari bank, beli penganan ringan, kasi tahu kawan yang mungkin malam minggu nanti lewat balik.

Tetiba penat sangat kita menunggu, telah siap berpakaian ranggi, rakan yang sama menyewa pun tinggal seorang dua di rumah sewa; berdering SMS... " yang!... tak jadilah menonton, kereta adik sy rosak dia ada hal penting... dia pinjam kereta sy"

Maka hati yang terkilan bagaikan terbakar; cubalah telefon Sang Kekasih tak berjawab pun malahan SMS yang datang bertalu-talu minta maaf, lain kali janji tak akan mungkir janji lagi. Sering amat menjadi perbalahan yang kita anggap ianya masalah yang sungguh remeh. Macamlah adiknya tak boleh naiki bas atau teksi. Terasa diri ini tidak diutamakan. Sering sangat temujanji tak ditepati alasannya memang keluarganya itu & ini. Tak adik, masalah emaknya, tak masalah emaknya, masalah ayahnya. Paling kita terasa dikepikan terkadang masalah kawannya pun kita terpaksa mengalah. Rasa tercabar betul!.

Pernah terjadi telah berjanji nak temankan kita membeli-belah boleh dibatalkan pelbagai alasan, bila kita keluar dengan rakan serumah, terjumpa dia dengan seseorang nampak amat meragukan@mencurigakan hati kecil kita. Bila kita tanya dia kasi alasan, tertembung rakan tempat kerja dialah, bukan siapa pun dia itulah, tak ada sebarang hubungan pun. Siap soal lagi kenapa tak intip betul-betul dia buat apa. Amboi! macamlah kita terkejar-kejar sangat dengannya. Dalam hati memang terbuku sangat. Nak buat macam mana, takkan perkara yang tak pasti begitu nak putuskan talian ikatan yang telah bertahun-tahun terpateri.

Pertemuan ini amat panjang & memang banyak cabaran. Ditakdirkan jodoh kita pun memang dengan dia. Kekasih yang bermasalah sejak bercinta lagi. Bagaimana kita harus menghadapi pasangan sebegini. Sering amat berjanji tapi tidak dikotakan.

Ada antara kita telah lali & sebati. Telah bersedia menerima kelemahan pasangan begini. Bukan mustahil bilamana kita berumah tangga dengan pasangan begini, kita terpaksa banyak membawa diri. Makan hati & telah terbiasa dikecewakan. Kita terima kelemahannya... seadalanya. Cinta kita tetap tegar sebab kita memang menerima dia tanpa memikirkan ke arah lain.

Paling terancam pasangan begini wisma ada seseorang yang tiba-tiba hadir dalam rumah tangga kita. Amat prihatin dengan kita, amat simpati & sentiasa membantu kita dalam banyak persoalan jiwa & kata peransang. Bilamana pasangan kita bukan jenis mengambil berat tentang hati kita, tetiba ujud pula orang ketiga bukan mustahil kita boleh terjebak ke arah cinta terlarang. Seyogia cinta yang terbiar amat mudah beralih arah.

  • Persoalan yang timbul, haruskah kita salahkan pasangan kita yang endah tak endah akan cinta & kasih sayang kita. Atau pun diri kita tetap bersalah lantaran kita menjadi kekasih yang tidak setia. Kita alihkan cinta kita ke arah lain dalam diam-diam. Maka hubungan dalam rumah tangga semakin hambar!.
  • Kita telah pun kenal watak kekasih kita sebelum bernikah lagi, memang itu kekurangan dia. Takkan tidak dapat memikirkan kelebihan yang dia ada. Mungkin dia seorang penyabar, tak ambil hati pun jika kita sering berletir, mungkin dia jenis tak pernah berkira, semua imbuhannya dilambakkan buat keluarga. Kenapa tidak kita fikirkan tentang amalannya; bukan soal janji & hati yang terkadang memang memerangkap kita menjadi penyepi.
  • Atau mahukah kita menjadi orang yang menyalahkan takdir. Terkesima dengan kebahagiaan orang lain. Hakikatnya Allah Azzawajalla memang sedang menguji kesabaran kita.
Aku tak mampu lagi menafsirkan perceraian dalam keluarga Islam. Negara kita mungkin okey! tetapi lihat warganegara jiran kita; Betapa rumitnya mereka menangani masalah keruntuhan rumah tangga ini. Siapa dapat membantu kita dalam keharmonian rumah tangga kini.

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kekkon shitai.huhu ;P

iDAN berkata...

Kawin kena kawin juga; kalau sudah jatuh cinta nak buat apa tunggu lagi!..

Shamshina berkata...

Salam Aidil Adha. Perkahwinan itu memang sesuatu yang kompleks. Segala masalah diatasi dengan kematangan fikiran.

iDAN berkata...

Sdr Shina..

Muafakat amat penting jangan sampai satu keputusan hanya memihak sebelah pihak sahaja!

eelobor berkata...

pernah alami situasi begitu, mgkn kebiasaan jg pd pasangan lain dlm mungkir janji. mgkn istilah yg di gunakan berbeza, ada hal yg tak dpt di elakkan la, terlupa la, ape² je la. mslhnya kekadang bnda yg kecil pn bole meninggalkan kesan yg mendalam dan ada jgk efeknya

nota: tak jmpa la ngn adik Noi di Melor...hehehehehe

iDAN berkata...

Sdr Eelobor,

Ada ketikanya pasangan ini menyimpan dendam dalam diri. Bila masa yang terdesak; retak menunggu belah, maka terhamburlah segala. Ianya amat menyakitkan.

Dik Noi tetiba kirim SMS ucap Selamat AidilAdha dengan nombor telefon bimbit lamanya. Aneh juga, sebelum ini saya hantar SMS tak pun berjawab.

Apokalips@yangmanis berkata...

Apa ada pada janji manusia?
Sedangkan janji yang diikat dengan agreement depan pesuruhjaya sumpah dan di stamping pun, boleh dimungkiri. Inikan pula janji air liur..

Mungkin kata pepatah..kalau kerbau diikat pada tali, manusia diikat pada janji..hanya valid untuk kerbau dan seumpamanya saje kot?

iDAN berkata...

Sdr YangManis

Adik kita ini macam kecewa sahaja. Sebenarnya janji ibarat niat juga, kalau berniat telah menjadi hukumnya wajib; maka itu ujudnya kurban wajib. Ibarat nazar yang kena ditunaikan.

Samalah dengan hakikat sumpah pun lafaz akad nikah; semuanya sekadar air liur juga. Niat sembahyang pun begitu, tanpa niat tentunya solat kita terbatal. Itu sudah rukunnya.

Sayangnya kita mengasingkan janji atau niat atau akad!. Maka itu jadinya janji tinggal janji. Bagai tanam tebu tepi bibir.

Ianya amat menyakitkan!.

V.I.C @ D.I.A.N.A berkata...

Masa mula2 baca entry ni dulu tak ada rasa macam nak tinggalkan komen. Mungkin takut komen saya boleh meninggalkan persepsi yang kurang menyenangkan.

Hakikatnya... perkahwinan itu sesuatu yang selalu digambarkan indah dan manis sahaja. Perempuan biasanya, sebelum kahwin selalu menggambarkan kehidupan rumahtangga adalah ibarat kisah dongeng putera puteri "and they lived happily ever after", kononnya kita dapat sentiasa bersama dengan org yg kita cinta, sambut kepulangannya, masak untuknya, tidur bersama dsb...
Hakikatnya... bila ia tidak terjadi begitu, kita umpama manusia yang baru terjaga dari mimpi.. kecewa... itulah sebenarnya.

Lepas majlis akad nikah, semua berkata "Alhamdulillah. semuanya selesai." "Selamat juga bernikah". "Tahniah, dah lepas ujian". Perkahwinan bukan penamat, ia adalah permulaan untuk jalan yang panjang.... sehingga ada diantara kita yang lelah... dan rebah di pertengahan. Hanya yang benar2 sabar dan tabah yang akan lepas setiap rintangan sehingga ke akhirnya.

iDAN berkata...

Sdr Diana;

Rasanya kebahagiaan itu amat mudah kita capai jika antara pasangan saling hormat menghormati, saling bertolak ansur & sentiasa berkomunikasi yang baik.

Jauhi sikap meninggi diri dalam apa juga, saling meminta izin & panduan dalam semua hal. Jangan buat keputusan sendirian biarlah berbincang dulu dalam semua perkara.

Jika kita mencari jalan untuk saling ingin kebahagiaan rasanya pasti jumpa jalan yang dicari.

Sabar itu juga amat penting. Jika kita sendiri tidak mahu menyemarakkan rasa cinta kita terhadap pasangan kita siapa lagi?.

Kita sering menumpukan ke ruang lain dari rumah tangga itu yang sering membuatkan kita terperangkap dalam perangkap yang kita buat pasang sendiri.