iDAN

17 Mac 2011

Kejujuran Kita

Jika dulu untuk kita melobi atau menyebar maklumat amat terhad ruangnya, malahan nak kenal seseorang pun amat payah hanya kalangan orang terdekat itu pun amat terbatas. Jika nak berhubungan pun perlukan masa atau kos yang mahal. Jika ke Majalah Filem atau URTV hanya ada ruangan Kembang Setaman untuk berkenalan; terpaksa tulis surat. Tak semua kampung perdalaman ada talian telefon; di kampungku pun sekitar tahun 90an baru ramai orang kampung punyai talian sendiri. Sekarang lantaran musibah dadah TMnet merajuk tak larat nak sambung kabel lagi; asyik kena curi; maka perhubungan di kampung hanyalah talian telefon bimbit atau pun berjalur lebarlah (Broadband) orang kampung jika nak ke alam@dunia maya. Masih senang berhubungan biarpun tiada talian tetap atau streamyx di kampungku. Sebut dunia maya; ada yang panggil alam siber, ada yang sebut internet, semua tahu segalanya di hujung jari. Jika kita cekap menaip bayangkan sepuluh hujung jari berkata belaka. Aku guna dua jari telunjuk sahaja maka jangan hairanlah asyik silap eja sahaja i jadi o atau u ... n jadi m atau b. Silap klik teraba dalam gelap, malam-malam Mila memang fobia jika aku mengadap komputer. Sedetik kita menaip selang beberapa detik rakan kita telah dapat berhubungan; malahan jika mahir dengan webcam dapat tenguk wajah kenalan kita tak mengira jarak & ketika. Berhubungan di dunia maya memang memerlukan kejujuran, kedua pihak kenalah berhati-hati tak kira apa niat pasangannya. Ramai sangat tertipu jika bertemu dengan kaki menyamar. Terlalu ramai ambil kesempatan dengan kejutan budaya siber. Berhati-hatilah bercinta di dunia maya. Cinta Siber ini sering terpedaya. Baik lelaki atau perempuan yang licik akan sentiasa mencari mangsa. Selalunya ada yang mencari mangsa untuk wang ringgit; ada juga yang sengaja menggoda untuk bahan nafsu gerladangan mereka. Kebiasaannya setelah kenal di internet hubungan akan berterusan dengan telefon bimbit; sms yang dihantar mengalahkan ayat bangsawan untuk menawan. Selalunya perempuan atau lelaki gerladangan ini akan guna banyak nombor telefon bimbit. Semata-mata nak mengelirukan mangsa. Jangan berani berjumpa dengan orang yang kita tak kenal dari hulu mana. Pacat di dunia maya ini jika setelah menghisap darah kita memang akan sukar kita jejak. Terutama janji manis berniaga di dunia maya, aku sendiri bukan sedikit wang ringgit lebur sebab mudah percaya. Ramai yang pakar ICT menyalahgunakan kepakaran mereka untuk menipu agar segera menjadi kaya, kita yang dungu ICT buta IT akan sering menjadi mangsa. Padamkan saja semua e-mel atau mesej yang berkait dengan pelaburan, menang loteri, e-book dan macam-macam lagi pelawaan di dunia maya; jika kita terbaca minda kita mudah terpedaya. Cara mereka membodek kita memang amat handal lagi berpengalaman. Perundangan negara kita pun tak akan dapat cekup mereka jika telah melibatkan dua negara, Jenayah Siber di negara sendiri pun masih tak selesai manakan lagi nak ke negara mengadu hal. Makin hari makin kita berhadapan dengan gejala ketidakjujuran manusia. Sementelah itu gunakan kemudahan ICT ini dengan kebijakan kita. Belajarlah menjadi jujur jangan pekena atau menyakitkan hati orang lain. Nampak sahaja dunia maya ini bagaikan khayalan tapi disebalik khayalan itu semuanya amat nyata & kita akan disita di dunia sana nanti jika menjadi manusia tak sedarkan diri. Waspada.

Tiada ulasan: