iDAN

23 Julai 2011

Detik getir


Daripada Hussain Said di Singapura
hussain@nstp.com.my

2011/07/23


SELEPAS hampir empat tahun tidak bertembung dalam pentas rasmi bola sepak, sifat seteru antara Malaysia dan Singapura kembali lagi menghangatkan suasana.

Malam ini, barisan Harimau Malaya diketuai Safiq Rahim dan Shahril Ishak (kiri) akan turun berarak membimbing rakan pasukan masing-masing masuk ke Stadium Jalan Besar dengan misi sama - menang dan membawa modal selesa bagi perlawanan kedua, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia zon Asia di Kuala Lumpur pada 28 Julai ini.

Tidak dinafikan kedua-dua kapten berkenaan harus berperanan besar dalam perlawanan getir itu nanti yang membabitkan pertemuan dengan dua pasukan tetangga yang kaya dengan tradisi pertembungan sesama mereka. Dengan tiket sudah habis dijual, sorakan antara penyokong kedua-dua pihak yang sudah lama ‘tidak berperang’ akan kembali mencetus bahang saingan yang membabitkan ego tinggi masing-masing.

Harimau Malaya dengan prestasi terpuji kebelakangan ini memiliki segala ruang untuk menang dan apa yang pasti seluruh rakyat Malaysia akan mendoakan kejayaan pasukan kesayangan mereka untuk pulang bak wira dari gelanggang lawan.

Sudah serasi padang tiruan: Singapura

MISI dendam dan sifat yakin kedua-dua kapten pasukan sudah mula mencetus bahang saingan hangat menjelang perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 di antara Malaysia dan Singapura, malam ini.
Sambil kapten Malaysia, Safiq Rahim akur betapa dia mahu membalas dendam kalah dua kali kepada lawan dari seberang, rakan sejawatannya dari negara republik itu, Shahril Ishak beranggapan faktor kelebihan beraksi di gelanggang sendiri serta keserasian bermain di padang tiruan mampu memberi kelebihan.

Bagi Safiq dia akui tetap kecewa dengan kekalahan walaupun empat tahun sudah berlalu iaitu pertama pada Piala Tiger 2007 menerusi penentuan penalti 5-4 dan kepada lawan sama dalam Sukan Sea 2007.

“Saya tidak mahu tewas lagi kepada Singapura. Cukuplah dua kali,” tekad perancang kelahiran Negeri Sembilan berusia 24 tahun itu, semalam.

Sementara itu, Shahril pula mengingatkan rakan sepasukan lebih berwaspada supaya gawang tuan rumah tidak dibocori walaupun memiliki kelebihan di halaman sendiri.

“Sekiranya kami mampu membolosi gawang lawan, sudah tentu kami berada dalam kedudukan selesa. Tetapi apa yang lebih penting, kami tidak mahu gawang kami ditembusi dalam perlawanan esok (malam ini),” katanya semalam.

Dia yang pernah beraksi dengan kelab Indonesia, Persib Bandung pada musim 2010/2011 akur keupayaan skuad Harimau Malaya tidak boleh dipandang rendah.

“Walaupun mereka dibarisi majoriti pemain muda, tetapi mereka mempunyai kualiti. Malah, mereka sudah membuktikan kemampuan dengan menjulang Piala Suzuki AFF,” katanya.

Tidak perlu motivasi tambahan: Rajagobal

AURA sejarah dan tradisi membabitkan pertembungan Malaysia serta Singapura diyakini mampu memberi motivasi terbaik kepada barisan Harimau Malaya membaham skuad Singa dalam perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar, malam ini.

Pada firasat ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal dia tidak perlu memberi motivasi tambahan kepada barisannya kerana mereka mengerti betapa penting dan bermakna sekiranya menewaskan negara jiran itu.

“Setiap kali menentang Singapura, ia sebenarnya sudah cukup menjadi motivasi kepada pemain. Jadi, saya yakin mereka sudah sedia menghadapi perlawanan malam esok (malam ini),” katanya semalam.

“Saya sentiasa positif terhadap keupayaan pemain dan jika kami mempunyai peluang memenangi perlawanan itu, mengapa tidak kami merebutnya untuk membolehkan kami lebih selesa menghadapi perlawanan kedua di halaman sendiri.”

Berdasarkan rekod, kali terakhir Malaysia menentang Singapura dalam perlawanan persahabatan di Petaling Jaya yang menyaksikan perlawanan berkesudahan seri 2-2 pada 2008.

Dalam perlawanan kompetitif terakhir, skuad negara tewas dalam saingan separuh akhir Piala Tiger 2007 dan kemudian Sukan Sea tahun yang sama.

BH

iDAN:

Paling tidak Malaysia kena menang dengan 2-0 jika tidak payah juga
nanti, Pasukan Singapura bukannya pasukan yang lemah.

Tiada ulasan: