iDAN

06 Januari 2012

Qunut nazilah dalam solat bersendirian

Pertanyaan:

Assalamualaikum ustaz,
Bolehkah dilakukan qunut nazilah sewaktu solat seorang diri? Adakah qunut nazilah hanya boleh dilakukan di dalam solat fardhu sahaja?

Jawapan:

Maksud nazilah ialah umat Islam ditimpa ketakutan, kemarau, wabak penyakit dan sebagainya. Qunut Nazilah adalah sunnah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. Antara hadith yang menceritakan Nabi s.a.w melakukan qunut nazilah ialah:

1. Riwayat Ibnu Abbas:

قنت رسول الله صلى الله عليه و سلم شهرا متتابعا في الظهر والعصر والمغرب والعشاء وصلاة الصبح في دبر كل صلاة إذا قال " سمع الله لمن حمده " من الركعة الآخرة يدعو على أحياء من بني سليم على رعل وذكوان وعصية ويؤمن من خلفه . 1445 – sunan Abu Dawud

Terjemahan:
Rasulullah S.A.W. melakukan qunut satu bulan berturut-turut pada solat Zhuhur, Ashar, Maghrib, ‘Isya dan Subuh di akhir setiap solat, yakni apabila baginda telah membaca “Sami’allaahu liman hamidah dari raka’at terakhir, baginda S.A.W. mendo’akan kecelakaan atas mereka, satu kabilah dari Bani Sulaim, Ri’il, Dzakwan dan Ushayyah sedangkan orang-orang yang di belakang beliau mengaminkannya

2. Riwayat Anas Ibn Malik:

دَعَا رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَلَى الَّذِينَ قَتَلُوا أَصْحَابَ بِئْرِ مَعُونَةَ ثَلاَثِينَ صَبَاحًا يَدْعُو عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَلِحْيَانَ وَعُصَيَّةَ عَصَتِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ

Terjemahan:
Rasulullah s.a.w berdoa (keburukan dan kecelakaan) ke atas mereka yang membunuh sahabat-sahabat dalam peristiwa Bi’r Ma`unah tiga puluh pagi. Baginda s.a.w berdoa (keburukan dan kecelakaan) kepada kabilah Ri’il, Dzakwan, Lihyan dan Ushayyah yang mengingkari Allah SWT dan RasulNya s.a.w.

Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa Rasulullajh s.a.w melakukan qunut nazilah dalam solat fardu dan berjamaah. Namun timbul persoalan bolehkah qunut`nazilah dilakukan selain solat fadhu dan ketika solat seorang diri? Ulama berselisih pandangan dalam masalah qunut nazilah kepada beberapa pandangan. Pandangan yang rajih boleh membaca qunut nazilah selain solat fardhu dan ketika solat seorang diri. Untuk melihat hujahnya sila lihat di alamat berikut: http://www.islamadvice.com/nasiha/nasiha197.htm

Sekian Wallahu A’lam

Rujukan:
1) sunan Abu Dawud
2) Sahih Muslim Syarah Nawawi 5/ 178, Kaherah: al-Rayyan li al-Turath
3) Subul al-Salam 1/ 376, Beirut: Dar al-Kitab al-`Arabi
4) website: http://www.islamadvice.com/nasiha/nasiha197.htm

Disediakan oleh:
Ustaz Razali Musa
Ahli Panel MUIS

04 Januari 2012

Nazar sebagai helah

Assalamualaikum ustaz,

Sekiranya seseorang itu mengungkapkan nazar di depan orang lain, bukan dengan niat untuk melakukan nazar,tetapi sekadar untuk mengaburi niat asalnya, apakah hukumnya?

Sebagai contoh, seseorang itu telah menderma wang yang banyak kepada sesuatu organisasi dengan niat yang ikhlas, tetapi kawannya telah mengetahui hal itu dan bertanya kepadanya, “kenapa kau menderma banyak tu?”,lalu si penderma menjawab, “aku menderma kerana aku telah bernazar disebabkan sekian-sekian”, padahal niatnya bukan lah kerana nazar itu. Adakah dia juga perlu melangsaikan nazar itu?

Jawapan:

Merujuk kepada soalan yang ditanya, saya akan menjawab berdasar contoh yang diberikan kerana ia lebih jelas untuk mengambarkan persoalan yang ditanya. Yang pertamanya saya mengucapkan tahniah kerana sifat ikhlas menyumbang yang ada pada saudara dan ianya amat terpuji di sisi agama. Sebenarnya selepas kita melakukan amalan kebaikan, syarak telah memerintahkan kita supaya jangan merosakkan amalan kebaikan yang telah kita lakukan.

Allah swt telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul dan janganlah kamu merosakkan (pahala) amal-amalmu” (Muhammad: 33)

Ayat di atas memerintah orang beriman supaya tidak merosakkan pahala amalan yang telah dilakukan. Oleh itu saudara sepatutnya tidak melakukan perkara di atas (bercakap tidak benar) apabila ditanya oleh rakan saudara. Jika saudara tidak mahu kawan saudara mengetahuinya, saudara perlu menjawab dengan cara lain yang tidak memerangkap saudara sehingga bercakap tidak benar. Saudara perlu memohon keampunan daripada Allah swt kerana tindakan saudara yang tidak bercakap benar.

Merujuk kepada perkataan saudara; “Aku menderma kerana aku telah bernazar disebabkan sekian-sekian” dengan niat seperti yang dinyatakan di atas dan dengan latarbelakang seperti yang dinyatakan, maka ia tidak termasuk dalam nazar yang wajib dilaksanakan. Ini ialah kerana maksud nazar berjanji untuk melakukan sesuatu apabila tercapai sesuatu hajat pada masa hadapan. Sebagai contoh, aku akan berpuasa 3 hari jika lulus peperiksaan akhir semester nanti.

Sekian

والله أعلم

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

03 Januari 2012

ASB AGIHKAN PENDAPATAN 7.65 SEN SEUNIT DAN BONUS 1.15 SEN SEUNIT



19 Disember 2011

KUALA LUMPUR : Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.65 sen seunit dan bonus 1.15 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Agihan pendapatan ini meningkat sebanyak 0.15 sen seunit berbanding yang dibayar tahun lalu (2010: 7.50 sen seunit).

Peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM7.04 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 21% berbanding dengan RM5.82 bilion yang dibayar pada tahun 2010.

Peruntukan bagi pembayaran bonus pula membabitkan jumlah sebanyak RM628.29 juta oleh PNB.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji berkata, pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 7.3 juta pemegang unit yang kini melanggan lebih daripada 95.9 bilion unit ASB.

Sehingga 15 Disember 2011, ASB telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM7.19 bilion, di mana pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM4.09 bilion, atau 56.9% kepada jumlah pendapatan kasar. Keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM2.25 bilion atau 31.3% kepada jumlah pendapatan kasar tersebut dan selebihnya sebanyak RM0.85 bilion, atau 11.8%, diperolehi melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan.

Pengiraan pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB yang berakhir pada 31 Disember 2011. Pengiraan bonus pula dibuat berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan yang dimiliki pelabur dalam tempoh 10 tahun bermula dari 2002 sehingga 2011.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit. Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB mulai 3 Januari 2012.

Semua urus niaga bagi ASB di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB di seluruh negara akan ditangguhkan bermula pada 21 Disember 2011 sehingga 2 Januari 2012 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus.

ASB adalah sebuah tabung ekuiti pendapatan berharga tetap yang disasarkan kepada Bumiputera berumur 6 bulan ke atas. Sasaran tabung ASB ialah menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan kompetitif kepada pemegang unit dan pada masa sama, memastikan pengekalan modal pada tahap risiko yang munasabah.

02 Januari 2012

Impian

Impian kita terkadang bila telah dicapai tak sewangi mana namun ada ketika pemberian dari-Nya secara tak terduga jauh lebih indah. Di zaman remaja aku pernah berlari ke kaki langit dengan harapan nan tak tercapai; bermain alir jernih Sungai Perak bersama anak-anak kecil, di tengah pulau penuh keindahan. Aku tak pernah pun merancang semua itu tetapi hingga kini ianya jadi kenangan amat manis.

Mana pergi atuk nan telah amat uzur itu. Mana perginya cucunya yang memang cantik jelita itu. Aku bermalam di sebuah kampung sebagai tetamu nan tak diundang. Kenangan indah itu tak mungkin kembali.

Samalah aku pernah tercampak nun jauh di perkampungan Jepun sendirian. Tinggal di tengah-tengah sawah padi Jepun nan sedang menguning. Masyarakat di sana amat menyayangiku sebab aku membantu mereka membangunkan empangan buat saliran air yang cukup untuk perkampungan mereka. Ketika mahu balik ke tanah air; siap isteri mereka jahitkan pakaian Dewa Jepun mereka, bagai Pahlawan Samurai pun ada, sebagai cenderahati; memberi patung dewi jepun mereka tanda hormat terhadapku.

Aku punyai ibu angkat yang amat menyayangiku. Sering membuatkan sayur ala rojak bendi yang hingga kini aku mengidam mahu memakannya. Ibu angkat ku ini bekas penyanyi lagu sariosa Jepun. Bila aku gusar dia sering nyanyikan lagu sariosa Jepun buatku. Semua itu amat indah!... biarpun aku tahu cintaku cair di sana...!

01 Januari 2012

Bagaimana munculnya pandangan mazhab?

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء والمرسلين، وبعد

Ramai sudah mengetahui kewujudan pelbagai cara beramal dalam masyarakat kita hari ini. Ada yang beramal dengan berpandukan pandangan-pandangan imam mazhab dan ada yang beramal terus merujuk kepada sunnah nabi s.a.w atau nas-nas syarak. Masing-masing mempertahankan cara mereka.

Pada saya, kedua-dua mereka berada di atas jalan yang lurus selagi mana mereka saling hormat menghormati dan mereka mematuhi disiplin ilmu istinbat hukum seperti yang ditetapkan oleh ulama Usul.

Kadangkala timbul dakwaan gopoh bahawa orang-orang yang beramal dengan pandangan-pandangan imam mazhab adalah beramal dengan tidak bersandarkan kepada dalil atau hujah syarak. Betulkah dakwaan ini?

Di sini saya ingin menyebut secara ringkas bagaimana lahirnya sesuatu hukum atau pandangan dalam sesuatu mazhab supaya kita lebih memahami bahawa orang yang beramal mengikut pandangan imam mazhab juga mempunyai sandaran syarak.

Mari kita lihat sejenak bagaimana sesuatu pandangan mazhab boleh lahir. Di antara empat mazhab terkenal, saya pilih mazhab pertama muncul, iaitulah mazhab Hanafi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah an-Nu’man bin Thabit. Beliau lahir di Kufah pada tahun 80H dan wafat di Baghdad pada tahun 150H. Beliau juga digelar sebagai Imam A’zom atau Imam yang agung.

Tujuan pendedahan ini adalah supaya kita berlapang dada dan menghormati bahawa orang yang mengikut pandangan imam mazhab bukanlah mengikut pandangan akal ulama mereka semata-mata tanpa dalil dan hujah yang sahih.

Sekarang mari kita lihat bagaimana pengeluaran sesuatu hukum berlaku dalam mazhab

Hanafi seperti yang diasaskan oleh pelopornya Imam Abu Hanifah an-Nu’man. Pendekatan yang diambil oleh Imam Abu Hanifah ialah dengan membentuk pasukan ijtihad di kalangan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada ilmuan-ilmuan hebat pada waktu
tersebut. Pasukan ini berusaha mengeluarkan sesuatu hukum dengan melakukan ijtihad secara jama’ei. Abu Hanifah tidak beruzlah atau bersendirian dalam berijtihad untuk mengeluarkan sesuatu hukum.

Dalam perbincangan tersebut Abu Hanifah telah menjemput ulama lain (ashab Abu Hanifah) yang mempunyai berbagai-bagai bidang pengkhususan atau kepakaran. Mereka bermula dengan membentang suatu masalah, berdebat untuk satu tempoh, boleh jadi mereka bersepakat dengan Abu Hanifah, dan boleh jadi juga mereka mempunyai pandangan yang berlainan
dengan Imam mereka (Abu Hanifah).

Anggota-anggota dalam majlis perbincangan tersebut terdiri daripada:

1) Qadhi Abu Yusof, kepakarannya dalam bidang hadis melebihi Imam Abu Hanifah sendiri dan ahli-ahli yang lain.

2) Muhamad bin Hassan as-Syaibani, pakar bahasa. Ini penting supaya apabila dibawa sesuatu nas quran atau hadis, maka nas tersebut dapat difahami dengan tepat mengikut kaedah bahasa arab yang betul.

3) al-Qasim al-Mas'udi, juga pakar bahasa bagi mengimbangi pandangan Muhamad bin Hassan as-Syaibani.

4) Zufar bin al-Huzail, yang tajam akalnya untuk mengistinbat intipati kandungan nas quran atau hadis.

5) al-Hassan bin Ziad, sama seperti Zufar bagi mengimbangi pandangan Zufar.

6) Yahya bin Zakaria, pakar ilmu hadis, perawi Bukhori, muslim dll. Ada pandangan yang mengatakan dia lebih hebat dari Abu Yusof. Cuma kelemahannya dia jarang bersama Abu Hanifah.

Mereka semua bersama-sama dengan Imam Abu Hanifah berdebat dan berbincang terhadap sesuatu isu sehingga lahirlah pandangan-pandangan mazhab Imam Abu Hanifah (mazhab Hanafi).

Selepas kematian Imam Abu Hanifah, muncul ulama jenerasi kedua dan mereka mewarisi feqah Imam Abu Hanifah daripada ulama yang sempat bersama-sama dengan Imam Abu Hanifah. Antara mereka ialah:

1) Muhamad bin Sima'ah, tokoh ahli zuhud, pintar dari kalangan ilmuan Islam.

2) Abu Na'im al-Fadhl b Dukain, syeikh Bukhori, thabat/tetap bersama Imam Ahmad dalam kes fitnah makhluk al-Quran.

Begitulah muncul pandangan-pandangan dalam mazhab Hanafi. Selepas itu pandangan-pandangan tersebut mula tersebar dan diwarisi oleh jenerasi berikutnya.

Moga huraian ringkas ini dapat memberi sedikit gambaran bahawa orang yang mengikut imam mazhab juga mempunyai sandaran yang sahih. Cuma banyak penulisan kitab-kitab feqah menyebut hukum tanpa membawa dalil kerana ingin meringkaskan atau memudahkan para pembaca untuk beramal.

Walaubagaimanapun seperti yang disebut oleh Imam Hasan al-Banna; orang yang mengikut imam mazhab tertentu, wajar meningkatkan pengetahuannya sehingga boleh mengetahui hujah-hujah yang digunapakai oleh imam mazhabnya.

Oleh itu bagi pengikut mazhab syafi'e, jika anda ingin mengetahui sesuatu dalil dan huraiannya, maka anda kenalah cari kitab mazhab yang mengandungi dalil dan hujah seperti kitab Majmuk karangan Imam Nawawi.

Sekian والله أعلم بالصواب

Rujukan:
Usul berijtihad dan memberi fatwa dalam Fiqh Dakwah oleh Ar-Rasyid.

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

31 Disember 2011

Osbon dinobat juara MLM, raih wang tunai RM350,000


31/12/2011 1:09pm

Oleh ABD. AZIZ ITARaziz.itar@utusan.com.my

SHAH ALAM 31 Dis. - Kumpulan paling popular dalam Maharaja Lawak Mega (MLM), Osbon yang dianggotai oleh Os dan Abon menepati ramalan ramai apabila muncul juara sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM350,000 pada final pertandingan itu di Stadium Melawati di sini malam tadi.

Mereka mengetepikan saingan terdekat iaitu kumpulan Boboi yang muncul naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 diikuti Saehu meraih tempat ketiga dengan membawa pulang RM150,000.

Pada pertandingan peringkat separuh akhir di Johor Bahru, Johor pada 23 Disember lalu, Osbon dan Boboi mendahului semua peserta dengan masing-masing mendapat 72 markah diikuti Saehu (59), Syok (58) dan Pi Mai (49).

Sementara itu, kumpulan Syok menjadi pemenang keempat dengan meraih hadiah RM50,000 pada pertandingan yang disiarkan melalui saluran Astro Warna.

Pertandingan itu mengadili para pemenangnya menerusi 70 markah daripada para pengkritiknya manakala 30 markah lagi diperolehi menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton di rumah.

Tiga pengkritik tetap MLM ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan Zainal Abidin Hassan manakala pengkritik jemputan pada final pertandingan itu ialah pelakon Aaron Aziz.

Selain Osbon dan Boboi, MLM turut disaingi oleh dua lagi kumpulan iaitu SYOK yang dianggotai oleh Suhaimi, Ifa Raziah dan Arif Sudin dan Saehu (Eko, Bocil dan Vicha). - UTUSAN

27 Disember 2011

Perempuan Yang Tidak Boleh Dicintai

(Catatan Lelaki Mata Keranjang)

Seorang kawan saya pernah berkata, lelaki pada satu-satu masa boleh memikat 2/3 daripada semua perempuan dalam dunia.

Menurutnya, perempuan boleh dikategorikan kepada 3 jenis:

Pertama, yang sedang bercinta atau sudah berkahwin dan gembira serta puas hati dengan kualiti hubungan mereka.

Kedua, yang solo, kesunyian dan sedang mencari teman.

Ketiga, yang berada dalam satu hubungan atau sudah berkahwin tetapi tidak gembira dengan kualiti hubungan mereka.

Mereka ini tidak gembira dan puas mungkin kerana sudah tidak diberikan perhatian oleh pasangan atau pun.

Menurut kawan saya itu, perempuan yang berada dalam kategori kedua dan ketiga adalah mereka yang boleh dipikat.

Ini bermakna, dua pertiga daripada semua perempuan dalam dunia ini sebenarnya boleh dipikat buat kita semua!

//

Walau pun terdapat ramai perempuan yang kesunyian, ada satu jenis perempuan yang lebih elok tidak dipikat dan kekal menjadi kawan sahaja.

Ini kerana, hubungan yang platonik dengan mereka ini jauh lebih baik berbanding hubungan bersifat percintaan atau pun seksual.

Mereka yang kesunyian ini hanya sesuai menjadi rakan bukan kekasih. Dan kita juga, hanya boleh berkawan jangan menaruh hati.

Mereka berpotensi menjadi kawan yang lebih baik bukan kerana mereka tidak menarik.

Mereka biasanya cantik, menarik, bijak dan pada masa yang sama mampu berkelakuan seperti rakan yang rapat.

Mereka faham fikrah lelaki seperti lelaki memahami jiwa rakan lelakinya yang lain.

Melalui hubungan platonik, dan bukannya seksual, kedua-dua pihak akan mendapat manfaat yang lebih besar daripada persahabatan itu.

Mereka akan jadi kawan yang kita cari untuk menangis apabila ditinggalkan perempuan.

Ok,ok …mungkin contoh itu agak melampau :-)

Mereka mungkin kawan yang kita cari apabila kita buntu mahu belikan hadiah harijadi untuk kekasih.

Dan pada masa yang sama, mereka juga akan mendapatkan bantuan kita jika keadaan memerlukan. Contohnya untuk menukar tayar kereta.

Seperti hubungan lelaki dan lelaki, apabila seks dan perhubungan tidak menjadi agenda tersembunyi, hubungan itu akan jadi lebih mendalam dan lebih berdimensi.

//

Akhir-akhir ini juga, saya dapati saya takut untuk memikat sejenis perempuan.

Jenis perempuan ini membuatkan saya takut dan pada masa yang sama tertarik kepada mereka.

Saya takut saya akan rasa sudah tidak mahu lagi memikat perempuan lain jika saya benar-benar terpikat dengan mereka.

Saya takut saya akan terfikir untuk buat anak yang comel dengan mereka jika saya benar-benar terpikat dengan mereka.

Saya juga takut, mereka akan membuatkan saya rasa mahu bawa mereka balik jumpa emak di kampung jika saya benar-benar terpikat dengan mereka.

Perempuan begini, biasanya cantik, bijak, kelihatan mampu untuk setia kepada lelaki yang mereka cintai.

Ah, mungkin sudah sampai masanya untuk saya melangkaui sempadan dan mencuba nasib memikat perempuan begini.

//

Apa yang pasti, kalau kita bersalah dengan perempuan, apa-apa jenis perempuan sekali pun, ketepikan ego dan minta maaflah kepada mereka.

- buluhperindu.com

iDAN: Memang mudah jika mahu memikat golongan perempuan ketiga atau isteri orang tetapi awas jika silap cara pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Sering kita dengar kes pembunuhan adalah atas sifat lelaki mata keranjang; mereka berasa megah dapat pikat isteri orang tanpa memikirkan soal dosa & pahala.

Sementelah jika terjadi isteri si lelaki gerladangan ini berlaku curang... barulah orang akan kata padan muka kejahatannya berbalas; Kenapa nak ganggu soal rumah tangga orang. Isunya jiwa & hati lelaki begini telah hitam. Hatta mereka tak pun rasa terluka malahan akur saja bila kena pada hidung sendiri.

Golongan ini yang aku katakan bagai bangkai bernyawa, mengikut hukum agama suami atau pun isteri yang berlaku curang mana ada hak lagi tinggal di dunia. Cuma hukum dunia saja mereka dibenarkan masih dapat meneruskan kehidupan; natijahnya dunia kita jadi hancur nilainya sebab hukum agama Islam kita tidak dilaksanakan.

Maka beranilah golongan ini membuat catatan seperti di atas. Nak pikat... pikatlah perempuan jenis ketiga sahaja.

Penuntut rentung


Oleh : Norfarhiza Mohd Attar
Tarikh : December 26, 2011

KUALA LIPIS - Seorang penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan jurusan Perakaunan, rentung dengan 90 peratus tubuh badannya terbakar dalam satu kemalangan di sini kira-kira jam 5 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa Hadino Zafan Jasman, 23, yang memandu kereta jenis Proton Saga BLM sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian di Kilometer 23 Jalan Lipis-Benta, kereta dipandu Hadino hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Mangsa dipercayai cuba mengawal kenderaan, tetapi gagal mengakibatkan kereta Saga BLM itu berpusing beberapa kali sebelum melanggar belakang sebuah kereta jenis Honda yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu.

“Akibat pelanggaran itu, kereta Saga BLM mangsa terbakar dan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.

“Dalam pada itu, pemandu kereta jenis Honda, Mohd Zin Kasim berusaha mengeluarkan isterinya, Hamidah Kasur, 51, beserta dua cucu, Mohd Fahmi Dannial, 4, dan Mohd Farhan Darwiz, 10 bulan dari kereta yang mereka naiki,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Abdul Razak berkata, sejurus mereka berjaya keluar dari kereta berkenaan, kenderaan berkenaan turut terbakar.

“Walaupun pemandu dan penumpang kereta Honda berkenaan berjaya menyelamatkan diri, tetapi Mohd Farhan Darwiz, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Abdul Razak berkata, pihaknya terpaksa menggunakan khidmat pakar forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri bagi mengenal pasti mayat Hadino Zafan berikutan semua identiti mangsa telah terbakar dalam kemala­ngan berkenaan.

“Pihak forensik berjaya menimbulkan nombor enjin dan casis kereta yang terbakar. Mengikut semakan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kereta berkenaan didaftarkan di atas nama Jasman Bagiman yang juga Pegawai Tentera berpangkat Leftenan Kolonel dan bertugas di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.

“Beliau sendiri telah sampai ke tempat kejadian bersama pegawai penyiasat bagi urusan mengecam mayat melalui jam tangan dan sedikit dokumen yang tidak terbakar serta telah menuntut jenazah,” katanya.

iDAN: Anakda rakan baik saya agar roh Allahyarham Hadino Zafan damai di sana al-Fatihah...

25 Disember 2011

Makan di Luar ( Singgahsana)



Makan luar boleh diistilah kecurangan; bab kecurangan ini malas nak ngomel, tak larat, tak tergamak buat sesak dada sahaja. Sementelah aku pun ada masalah Tekanan Darah Tinggi; kut! tetiba tak mahu turun pula tekanan darahnya. Semua darah tertumpu di otak tak mahu turun ke jantung. Nahas.

Aku selalu sebut Restoran Rahsia di blogku; dulu aku memang amat menyukai akan restoran ini. Bukan bab makanannya atau masakannya yang sedap tetapi adalah lantaran persekitaran agak damai & ada kelainan. Restoran terletak di sebelah Masjid Kajang. Restoran ini milik Raja Izrina Raja Ismail. Restoran Po'Sen ini berkonsep Nusantara atau ala rimba & layanannya yang cekap buat aku suka sangat ke sini. Restoran ini biar nampak ala rimba tapi jangan risau bab nyamuk sentiasa disediakan ubat nyamuk, agar anda tidak diganggu.

Juadahnya pelbagai makanan Siam & juga Ala Barat. Sering Datuk atau Datin buat majlis makan malam di sini. Aku sukan santai di meja Jepunnya atau meja alau dangau di bendang. Dalam berpuluh kali aku ke restoran ini lebih dari separuhnya dikunjungi oleh ramai pelanggan yang menyertai undangan makan malam. Malahan terkadang ada artis suka santai di saini

Pada satu malam aku dikejutkan dengan perubahan rasa atau resipinya; mungkin tukar tukang masak. Sebagai contoh sup campur, pastikan buat tempahan ianya dalam clay pot; baru benar-benar mengancam rasanya. Mungkin ada menunya terpaksa naik harga sebab masalah bahan masakannya naik harga tetapi pastikan ianya tetap menjaga resipi yang enak pun cara hiasan & persembahan yang menarik. Restoran Po'Sen jangan terlampau yakin dengan tempahan majlis yang kerap diadakan di restorannya maka pelanggan tetapnya diabaikan. Layanan kena seimbang.

Telefon atas ni yang 013-333 5457 ada terima tapi kena ke nombor lain
Guna nombor telefon terkini Hanif 0122006490

Jangan juadah ala kadar buat pelanggan tetap terasa menurunnya keenakan. Jangan sampai timun atau tomato pun tak ada buat Nasi Ayamnya. Pelanggan tetap ini jika puas hati dengan juadah & harga perkara kedua. Jika tetap berkualiti juadahnya pasti pelanggan akan datang bertamu setiap minggu mungkin dua tiga kali atau lebih.

Aku pernah ngomel sebelum ini masalah Nasi Goreng Ayamnya asalnya sekitar berharga RM5.50 tetapi malam itu dinaikkan jadi RM6.50. Tak kisah harga semahal itu, kedai mamak pun sekarang ini sudah berharga RM6.80 sepinggan tapi amat berbaloi dengan pedas & ayamnya besar gedabak. Jika juadahnya tetap enak & mampu mengeyangkan fasal harga mesti tak siapa akan mengeluh. Kasihan si Afiz yang kelaparan bayangkan nasi gorengnya biasalah disukat guna satu mangkuk kecil tak ada sebarang ramuan pun dalam nasi gorengnya; ayamnya hanya beberapa potong kecil, teramat kecil, ingat kalau peha ayam mungkin tak sepenuhnya. Tak sampai dua inci lebar; Melampau. Daging ayamnya pula agak lama & keras. Timunnya dihiris amat kecil, tiada pun sehiris tomato; atau barang sehelai salad. Supnya pun sejuk ala kadar, tak ada rasa. Harga air minumannya rata-rata RM2.00 ke atas. Sup campur yang sering aku pesan sebelum ini semakin sedikit ramuan & rasanya tidak sesedap awal dulu; harganya juga naik. Kenapa iyer!. Ini pernah berlaku di sekitar 2 tahun lalu.


Agar masalah di atas tidak berulang lagi. Perkara remeh begini kena diambil perhatian.

Kebelakang ini Restoran Po' Sen ini atau aku panggil Restoran Rahsia semakin bagus layanannya; malahan sup campur yang aku buat pesanan semakin enak rasanya. Jika musim buah jangan lupa cuba Nasi Goreng Thai Po' Sen, sebab ada Kerabu Mangga. Pun jangan lupa mencuba Laicikang panas atau sejuk. Si Azim suka amat dengan masakan Nasi Goreng Tom Yam di Restoran Po' Sen ini. Sering kami makan dia akan membuat tempahan Nasi Goreng Tom Yam ini.

Esok 26.12.11 aku akan buat majlis untuk keluarga di Restoran Po' Sen ini. Kita tenguk bagaimana cantiknya layanan restoran ini.


Tomato & salad tak semahal mana.

Sila klik sini bagaimana pengakuan jujur pengunjung Restoran Po' Sen ini.

http://jompusing-pusing.blogspot.com/2011/03/restoran-posen-memang-sedap-yang-amat.html

Lain-lain Restoran atau tempat menjamu selera di sekita Kajang.

Samalah kesnya minggu lalu aku mengidam mahu makan Mee Kari, gerai Makcik di Sungai Kantan tempat aku sering lepak; tutup. Aku pergi ke Restoran Erawan di Kantai Permai pilihan terbaik makanan Siam juga tutup. Kira aku telah menjadi pelanggan tetap di sini. Kini telah diambil alih oleh Restoran Warisan, Mee Karinya sekadar aku kasi markah 50% boleh makan tapi sejuklah amat kuahnya. Bahan ada belaka tapi kuahnya amat kering tak sebanyak mana.

Seperkara lagi jangan lupa singgah di Restoran Kawana Jalan Semenyih di sisi Taman Zamrud, harganya memang okey & layanannya amat cekap. Baru ni aku makan dengan Azim kira masakan ala Thainya memang amat boleh diterima dengan bahannya yang lengkap.

Jadi tiada pilihan lain aku cuba makan di sisi lampu isyarat jalan utama Jenaris; Gerai Kopi Pot. Gerai ini memang ramai pengunjungnya. Rata-rata orang berkeluarga makan di sini. Bena atau kain rentangnya memang tertulis ada Mee Kari Panas juga Yong Tao Foo. Aku sekadar minum Teh O Limau Panas, Afiz pula sekadar Teh O Limau Ais. Aku makanlah Mee Kari yang katanya Panas!; huh! nipu betul, tak panas pun. Mana sedapnya kalau Mee Kari tak panas bibik oii!. Meenya agak lembik & kuahnya amat sedikit. Rasanya okeylah. Afiz pula makanlah Yong Tao Foo, sepiring rata memang takkan mungkin kenyang. Bila mahu bayar aku mengulurkan wang kertas RM50, memang hanya ada duit itu sahaja dalam dompet aku. Dipulangkan Rm33. Jatuh makan berdua RM17, penat kami memikirkan berapa harga Mee Kari & berapa harga Yong Tao Foo cinonit itu. Bukan ada sotong atau telur puyoh mahu pun sayur. Aku tanya Afiz ada sebarang bahan istimewakah dalam Yong Tao Foonya; tak ada pun, cuma bebalo ikan, tauhu biasa sahaj. Dia pun bersungut mahal betul. Takkan nak tanya kira balik!. Makan berdua dengan juadah mudah begitu. Gerai biasa Mee Kari RM4, Yong Tao Foo kalau ringkas macam tu kita anggarkan RM5 ish ada berbaki RM9 munasabahkah Teh O & Teh O Limau Ais sampai RM9.

Emm! ceritera Gerai Kopi Pot ini tidak berakhir di sini; Nak jadi kes tauke gerai ni adalah ibu rakan si Azim; rakan si Azim pun mengaku ramai pelanggan ibunya komplen harga makanan di gerai mereka itu mahal. Keistimewaan gerai ini ada broadband itu saja. Isunya siapa sanggup duduk gerai di tepi jalan guna komputer bukan ada penghawa dingin pun di situ.

Gerai Kopi Pot ini juga telah ditutup adalah sesekali dibuka tapi lengang amat... nampak semua pelanggan telah lari.

Peragawati tersohor Zac Posen

Aku & kekuarga memang jenis makan asyik di luar rumah; Mee Kari di Sungai Kantan sekadar RM3 punyalah sedap siap segala, kerang, daging, hirisan ayam, siapa bebola ikan lagi. Gerai ini juga telah menjadi kenangan.

Aku jenis suka mencuba makanan di banyak gerai atau restoran maka janganlah nak menduga tentang harga patut atau tak patut. Jika makan depan Giant memang nasi ayam RM6.50 tapi ayamnya memang besar & berbaloi. Rasanya lebih besar lauk ayam di kedai mamak. Rata-rata harga seketul ayam goreng di sekitar Sungai Kantan adalah Rm2.50. Cuma gerai Mak Cik yang jual Lontang di Sungai kantan sahaja RM2 tapi ayamnya nasiblah kadang besar kadang kecil. Samalah ikan keli di sini yang telah siap dimasak sambal kebanyakannya RM2.50. Kecuali gerai Mak Cik jual Lontong di Sungai Kantan. RM2. Harga di gerai hafal belaka; bukan hotel, pub atau kelab malam. Itu jangan tanya.

Mee Kari aku belum jumpa berharga lebih dari RM5 di gerai biasa. Kecuali Yee Mee Kari Claypot di Restoran Cempaka, Kompleks PKNS Bangi atau pun Restoran di kompleks besar yang rata-rata makanannya RM5.50 ke atas lantaran sewanya mahal. Tempatnya nampak kelas & ranggi.

Kalau ada udang begini huh! memang lumayan, dulu di Restoran Cempaka, Kompleks PKNS Bangi memang ada udang dalam Mee Karinya sekarang udang sulari nyorok balik batu.

Jika anda ke Sungai Chua pernah dengar tak Sup Meletup, cer ronda malam-malam tak jauh dari simpang ke Bintang; jika dari Kajang ke Bangi sebelah kiri ada bena besar Sup Meletup ini; aku pernah makan di sini; kata Afiz yang memang suka Nasi Goreng Ayam. Aku cuba sup meletupn boleh kasilah markah 71% kira luluslah tapi masih tak sama dengan Sup Campur di Nilai Tiga. Gerai milik Haji Nan. Lama tak ke sana ada lagi tak gerai ini?.

Memang penat makan di luar ini. Sering rasa tak berbaloi dengan bayaran yang dicaj oleh taukenya gerai. Tetapi sesekali kita kena juga berkumpul makan di luar, jadi di mana cadangan anda selain makan sate Kajang. Ada tak restoran yang bolah kita cadangkan selain Restoran Po' Sen.

nota kaki : Pak VVIP kita makan berdua Mee Kari biasa RM170... kan?. Udang pun dah sebesar gedabak.

22 Disember 2011

Kerajaya Songsang.

Percaya atau tidak ada ketika awak ini macam cicak kubing (sesumpah). Berubah rona bila berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Dulunya awak orang susah sampai ada kalangan waris awak terpaksa guna daun nenas sebagai sudu bila tetiba rumah awak ada mee sup. Adik beradik ramai sudu bukan tak ada tapi tak cukup; perut lapar tak larat nak tunggu giliran maka asal ada sudu segera pakai saja. Pinggan ayan lusuh memang banyak.

Satu lagi golongan ada ketikanya dilahirkan dalam kroni orang berada. Maka bukan mustahil awak jadi loya nak makan di gerai tepi jalan yang nampak daif & serba kurang. Tekak awak menolak makanan tepi jalan sebab awak terfikir ianya kotor berabuk. Kelas awak adalah restoran atau cafe yang tersohor & mahal harga juadahnya.

Sebab itu bila awak jadi bos; bajet bangku yang layak sebagai Ketua Jabatan (KJ) sekadar RM500 awak sanggup tambah duit sendiri nak duduk di bangku yang berharga RM1,000 lebih. Tak duduk di bangku mahal tak selesa buat kerja.

Golongan elite & berstatus bangsawan ini yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan pekerja. Adakah lojik?. Sedangkan di rumah pun awak tak pernah sidai kain; jatuh martabat sidai kain anak atau suami/isteri. Bolehkah KJ sebegini rasai kepayahan golongan sokongan (kini dipanggil Kumpulan Perlaksana 2) & mahu menjaga kebajikan pekerjanya.

Orang tak rasa susah memang sukar dapat menyelami hati orang susah. Dia akan rasakan teguran mereka yang susah & teraniaya ni sebagai sungutan yang mengada-ngada. Malahan silap-silap mereka yang nampak ketidakadilan ini; jika bersuara akan dicap staf bermasalah oleh KJ yang sekadar bermusim (syarat naik pangkat kena jadai KJ sepenggal dua). Jika boleh staf yang menegur ini segera diberhentikan di organisasi mereka. Orang bawahan hanya layak jadi macai mereka. Jangan sesekali diberikan peluang bersuara naik pangkat sebab mereka ini akan jadi kaduk naik junjung. Kecuali yang seiring dengan mereka kaki bodek, mengampu yang bosnya cantik jelita macho tampan & bla bla.

Ini sering berlaku di mana juga tempat kerja yang namanya makan gaji. Malahan golongan majikan atau KJ begini akan nampak sekelompok yang setaraf dengan dia sahaja, yang intim serta senyum bersama. Yang boleh dia bercampur atau terima segala pendapat atau ide mereka. Golongan begini jauh sekali akan hormat akan daya kreativiti orang lain sampai satu hari dia akan jadi teramat ego; hatta hidungnya makin kemek pipinya makin demak. Tengkoknya makin pendek; bahunya makin terangkat, betisnya makin gedabak. Langkahnya makan mendada tak pernah tunduk.

Satu hari dia akan rasa akulah segalanya & akan tersenyum sendiri. Nah! aku telah jadi Tuhan. Semua orang kena tunduk dengan segala perintahku (keangkuhan). Tak tunduk ambik kau aku akan jentik bagai tahi cicak; awak carilah rezeki di tempat lain. Waduh.

Mission: Impossible – Ghost Protocol,


Mission: Impossible – Ghost Protocol. (MI:4) Menarik filem ni, anda boleh membawa keluarga anda ke pawagam sebab pasti filem ini akan menarik buat semua peringkat umur.

Ianya banyak berkisar tentang kepakaran teknologi maklumat, masalah peperangan, keganasan serta dendam. Heronya Tom Cruise banyak meronai lakon layar yang hebat & tangkas. dari awal babak hingga ianya tamat satu demi satu adengan aksi yang amat mencemaskan.

Antara babak menarik adalah permandangan di Dubai di mana bangunan pencakar langit yang digunakan sebagai lokasi pergambaran amat cantik & meriah.

Pelakon Hindustan Anil Kapoor yang turut berlakon semasa di Bombay pastinya satu suntikan aura bagi peminat filem Hindi. Kesan audio yang amat baik serta beberapa babak yang menggunakan multimedia pastinya membuatkan kita tergamam & berdebar dada.


Aku sebenarnya sekadar mahu membawa anak buah bersama anak-anak menonton; filem ini menjanjikan kepuasan menyaksikan di layar perak berbanding DVD atau menonton di TV.

Pengiktirafan sastera Malaysia


Oleh Salbiah Ani @Gambar oleh Mohamad Danial Mohd Saad
dahiya@nstp.com.my


BAHA ZAIN menunjukkan kepada anaknya, Rosihan Adi (kiri) dan isterinya, Datin Rusiah Abdullah (kanan), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan yang diterimanya sempena Konvokesyen ke-41 Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampus Kejuruteraan USM, baru-baru ini.

Baha Zain terima ijazah kehormat daripada Universiti Sains Malaysia

DUNIA sastera tanah air menerima penghormatan sekali lagi apabila penerima Anugerah Penulisan Sea 1980, Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan (Hon D Litt) daripada Universiti Sains Malaysia (USM), pada 20 Mac lalu.

Sasterawan tersohor itu menerima pengiktirafan tertinggi pada peringkat Asia Tenggara daripada Kerajaan Thailand menerusi Anugerah Penulisan Sea pada 1980, tidak menduga sama sekali beliau akan diberi penghormatan sedemikian daripada universiti terbabit.
“Sebagai seorang yang diundang untuk menjalani sebahagian daripada upacara bermakna ini, saya kira ini adalah suatu takdir yang tak pernah terbayang boleh berlaku di dalam perjalanan hidup saya. Saya sangat bersyukur (Alhamdulillah) dan gembira,” katanya ketika berucap pada majlis di Fakulti Kejuruteraan USM, Kampus Minden, baru-baru ini.

Upacara berkenaan berlangsung pada Konvokesyen Ke-41 USM yang turut dihadiri Pro Canselor USM, Tan Sri Razali Ismail, Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak dan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Prof Datuk Abu Talib Ahmad.

Beliau tersentuh menerima pengiktirafan daripada USM memandangkan ia adalah institusi pengajian tinggi dan penyelidikan yang penting di negara ini, selain walaupun istilah sains terserlah pada namanya tetapi di universiti itu hadir juga pengkaji dan pengkritik sastera berwibawa, baik dalam bidang sastera Melayu klasik mahupun moden.

“USM juga menempatkan dua tokoh persuratan yang menerima pengiktirafan tertinggi bangsa dan juga tokoh akademik terkenal iaitu Prof Emeritus Shahnon Ahmad (novelis) dan Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh (penyair) yang diangkat sebagai Sasterawan Negara (SN), memperkukuh citra serta kewibawaan USM.
“Oleh hal yang demikian, tentulah cukup bermakna menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada universiti puncak ini. Oleh kerana itulah juga saya berasa sedikit ngeri untuk berucap sepanjang tujuh minit, bagi memenuhi waktu yang diperuntukkan, di hadapan ramai cerdik pandai daripada pelbagai disiplin ilmu.

“Beberapa kali saya memikirkan draf ucapan kerana tidak pasti apa yang pantas untuk diucapkan di depan khalayak. Akhirnya saya mengambil pendirian untuk setia kepada diri sebagai penyair agar ucapan saya lebih autentik dan jujur.

“Kesejatian dan kejujuran itu, namun boleh menjadi sebagai barang kuno, artifak dan usang pada zaman pembangunan industri dan globalisasi ini, tetapi saya tidak mempunyai banyak pilihan lain kecuali mengemukakan fikiran yang polos lagi dekat dengan hati,” katanya.

Sebelum ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) memberi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said dan SN, Allahyarham (Dr) Arena Wati atau nama sebenarnya, Muhammad Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan Andi Buyung, menerimanya daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Baha Zain mengakui dalam genre puisi, beliau menimba pengetahuan daripada alam pengalaman di tengah-tengah kehidupan yang nyata dan tidak melalui proses menyelidik dengan metode teratur, menganalisis sumber secara saintifik dan mentafsir secara rasional lagi objektif.

“Dalam keadaan seperti itu tentulah penulis seperti saya ada banyak kekurangan apabila mengemukakan pandangan. Meskipun sangat percaya pada hikmah ilmu dan darjat yang tinggi diberikan oleh Tuhan kepada orang berilmu, tetapi tidak semua penyair atau seniman ditakdirkan untuk berpeluang bekerja dalam penyelidikan ilmu,” katanya.

Sebagai penyair, beliau selalu insaf bahawa dari segi ilmu beliau selalu berada seperti apa yang terungkap dalam sebuah pantun Melayu yang berbunyi: Berburu ke padang datar,/ Dapat rusa belang kaki;/ Berguru kepalang ajar,/Bagai bunga kembang tak jadi.

“Dengan keinsafan dan sedar diri itu, penyair dan seniman selalu mendapatkan bantuan fikiran ilmuwan untuk mematangkan fikirannya. Penulis kreatif jarang bekerja secara terancang. Dia digerakkan oleh rangsangan tertentu yang menggugah atau menusuk emosinya; menulis secara intuitif dan sangat subjektif sifatnya.

“Dalam waktu yang sama dia boleh menjadi sangat taksub, tekal dan tak berganjak daripada kepercayaannya meskipun berhadapan dengan risiko oleh kerana runtunan emosinya. Jadi dari satu segi dia boleh dianggap tidak bijaksana kerana bersikap tidak pragmatik sewaktu mengucapkan kebebasan hati nurani.

“Bagaimana pun perasaan dan emosi itu adalah dimensi yang tak terpisahkan daripada kewujudan insan. Tidak ada satu sistem sosial yang sempurna sehingga boleh memuaskan hati setiap individu berperasaan dan berfikiran. Dalam demokrasi pun suara majoriti (walaupun dengan kelebihan satu suara) menjadi keputusan yang sah,” katanya.

Lalu, dengan fikiran saintifik dan rasional, bertolak daripada doktrin bahawa setiap sesuatu peristiwa ada sebab musababnya, boleh diselidiki dan diperjelaskan, sehingga timbul kepercayaan bahawa apa jua masalah sosial dan kehidupan manusia boleh diatasi dengan menerapkan fikiran yang logikal dan rasional.

Maka itu, dalam keputusan politik dan ekonomi, kepentingan diberikan terhadap idea, konsep dan fikiran, manakala faktor perasaan, kemanusiaan, emosi, keindahan, kemesraan alam dan nilai rohaniah sering diremehkan sehingga apa yang terjadi pada hari ini, pemimpin kita terpaksa berpatah balik untuk mendengarkan degup jantung dan gerak getar sanubari manusia dengan berkata: “rakyat didahulukan”.

“Saya tidaklah bertujuan meraikan aspek perasaan lebih utama daripada pemikiran. Sebagai manusia, kita berfikir dan berperasaan, berjiran tetangga dan bernegara kerana kita manusia individu dan manusia sosial. Baik dia sasterawan atau pakar sains, masing-masing ada kebebasan dalaman dan intelektual dalam usaha mencari kebenaran. Ini sahaja tidaklah cukup. Baik dia seniman atau ahli sains, dia perlu iltizam dan tanggungjawab sosial.

“Ini pun belumlah memadai kalau kebebasan dan tanggungjawab sosial itu hanya tunduk pada perasaan atau akal, tetapi tidak tunduk pada moral dan etika yang bernaung di bawah kepercayaan Kebenaran yang Hakiki, iaitu Tuhan Yang Maha Esa.

“Inilah nilai unggul pandangan kehidupan atau tasawur yang boleh menemukan golongan seniman dengan golongan saintis untuk bersama-sama duduk membangunkan kehidupan. Nilai agama inilah juga yang membuat orang berani dan yakin diri berhadapan dengan krisis. Krisis itu bukan sahaja menguji keberanian, tetapi turut menguji keimanan dan menunjukkan watak seseorang seniman atau ilmuwan,” katanya.

Baha Zain dalam ucapannya menyuarakan kebingungan rakyat dengan slogan yang sering didengungkan dan sering berubah; ketika waktu baru merdeka seniman diajak mengisi dasar kebudayaan kebangsaan, disuruh percaya bahawa penulis perlu terus mencipta kerana ia menyemarakkan bahasa serta dapat membentuk jati diri bangsa, tetapi akhir-akhir ini, ia seolah-olah menjadi mimpi lama.

“Kesepakatan antara dua kekuatan, iaitu kekuasaan politik dan kekuasaan ekonomi korporat, biasanya menentukan arah masa depan negara. Pembangunan boleh memakan diri jika pembangunan akal budi kebudayaan, kemanusiaan, moral dan etika, hanya menjadi embel-embelan kepada pembangunan ekonomi, sains dan teknologi. Dalam senario seperti ini, di manakah duduknya golongan ilmuwan dan seniman? Apakah mereka akan berfungsi sebagai pengkritik yang membina atau hanya menjadi pemberi justifikasi bagi setiap keputusan nasional yang besar?,” soalnya.

Baha Zain berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga 1984, sebelum melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Pengarah untuk menceburi dunia perniagaan dan giat berkarya ketika menuntut di Universiti Malaya (UM) serta mempunyai beberapa antologi puisi, manakala empat kumpulan puisinya, Perempuan dan Bayang-bayang, Dari Kertas Catatan Tengah Malam dan Tiga Catatan Perjalanan.

Baha Zain yang terkenal dengan puisinya, Menangguh Kebenaran, mengakhiri ucapannya dengan puisi, Kembalikan Mimpi Itu yang boleh ditafsirkan sebagai suara hati perjuangan memartabatkan bahasa Melayu, meskipun tidak sepatah perkataan terbabit dilontarkan, tetapi ia pasti memandangkan kelantangannya bersuara akhir-akhir ini.

Ketuklah pintuku,
Meskipun malam sepi dan tenteram,
Dan aku nyenyak lena di ranjang.

Kembalikanlah sebuah mimpi,
Yang telah beratus tahun tenggelam,
Dipukul gelombang.

Dengarlah suara yang terpendam,
Dari sanubari yang dalam,
Suara sejarah yang tertindas,
Luka dan lemas.

Ketuklah pintu,
Kembalikanlah mimpi itu,
Jangan orang terbangun nanar
di tengah malam,
Dengan belati tajam di tangan.

Ini sekuntum mawar,
Sebagai ganti,
Meraikan malam penentuan,
Hidup atau mati.

Puisi Kembalikan Minggu Itu
Karya Baha Zain

Sastera dipinggirkan?

Rozninah & Salbiah
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Jumlah halaman mengecil sedangkan ia sebahagian sejarah negara

TANGGUNGJAWAB sosial dan sejarah yang perlu dipikul oleh media dalam konteks penerbitan bahan sastera sebagai salah satu cara untuk membangunkan masyarakat dan negara disorot pada Diskusi Sastera dan Media.

Diskusi anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, UPSI dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), turut melihat fungsi media secara praktikal dalam mengembangkan sastera sama ada melalui akhbar, majalah atau buku.

Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Syed Mohd Zakir Syed Othman, menganggap persoalan hubungan antara khalayak sastera dengan media dan masalah halaman sastera yang semakin mengecil sebagai isu serantau dunia sastera.

“Pertemuan dengan pengarang kreatif dari negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam mendedahkan, masalah yang sedang sastera Malaysia hadapi turut berlaku di negara terbabit.

“Bagaimanapun, Malaysia masih bernasib baik kerana Berita Harian menyediakan ruangan Sastera setiap hari, manakala Dewan Sastera yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 1970-an masih di pasaran,” katanya pada dialog di Bangunan E-Learning, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.

Syed Mohd Zakir yang lebih dikenali sebagai SM Zakir melihat pengecilan ruangan sastera menunjukkan sastera tidak lagi menjadi komponen penting dalam dunia dagang dan pasaran bebas seperti yang pernah berlaku pada zaman sekitar kemerdekaan.

“Sastera tidak lagi dilihat sebagai komponen yang dapat menarik keuntungan dan penerbitan karya kreatif dilihat tidak lebih daripada tanggungjawab sosial untuk memartabatkan bahasa ibunda atau rasmi sesebuah negara,” katanya pada diskusi yang dipengerusikan Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraannya, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin.

Bagaimanapun, beliau berharap sastera dan penerbitan karya kreatif dilihat sebagai tanggungjawab sejarah kerana hubungan antara media dengan dunia sastera sudah melalui sejarah yang panjang dan penting.

“Baru-baru ini, saya bertemu dengan editor majalah Kompas di Jakarta yang mengakui sastera tidak lagi menjadi komponen penting dalam aspek pasaran bagi majalah gergasi itu dan tidak dianggap sebagai tanggungjawab sosial.

“Hanya tinggal satu saja untuk menerbitkan karya sastera, iaitu tanggungjawab sejarah tetapi ia tidak boleh diremehkan kerana sastera menyumbang dalam sejarah perjuangan dan pengisian kemerdekaannya,” katanya pada diskusi yang turut dihadiri Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Prof Madya Dr Nor Azmi Mostafa dan Pengerusi Jawatankuasa Diskusi Sastera dan Media, Dr Abdul Halim Ali.

Pandangan Syed Mohd Zakir itu wajar diberikan perhatian dalam memastikan hubungan sastera dan media serta tanggungjawab sosial dan sejarah kembali diberi nafas segar tetapi khalayak sastera juga perlu mengambil kira realiti gerak kerja media yang lebih bersifat praktikal.

Justeru tidak hairanlah Diskusi Sastera dan Media itu turut membuka ruang kepada editor yang terbabit secara praktikal dalam meneruskan kesinambungan sastera sebagai tanggungjawab sosial dan sejarah, tetapi terikat kepada tuntutan keuntungan bagi membolehkan syarikat terus beroperasi.

Editor Sastera, Berita Harian, Salbiah Ani, ketika diminta mengulas pemilihan karya bagi terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu menjelaskan baik pengarang berjenama mahupun pendatang baru diberi peluang kerana penekanan adalah kepada mesej bukan pada status.

“Terus terang saya katakan bukan status penulis yang mempengaruhi pemilihan karya untuk terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu. Karya penulis berjenama seperti Dr Fatimah Busu juga pernah saya tolak. Saya juga tidak mengamalkan kronisme. Silap jika penulis baru mengatakan mereka tidak diberi peluang,” katanya.

Selain itu, pemilihan karya untuk terbitan dalam kedua-dua akhbar terbabit lebih bertumpu kepada karya yang mengetengahkan mesej yang baik dan tidak menggunakan teknik terlalu kabur sehingga menyukarkan pemahaman pembaca massa.

Justeru, Berita Harian dan Berita Minggu tidak membataskan ruangan Sastera untuk penggiat sastera tulen semata-mata kerana sokongan pembaca massa diperlukan bagi membolehkan halaman terbabit terus berdaya saing.

“Kami bergerak dari dana yang kosong dan dalam situasi semasa yang pembaca lebih cenderung kepada berita politik, ekonomi dan hiburan, saya sangat bersyukur ruangan Sastera mendapat dua halaman setiap hari. Beli dan bacalah akhbar untuk mengetahui bentuk karya pilihan editor.

“Pemberian halaman berdasarkan jumlah pembaca dan pendapatan yang dijana daripada halaman menyesakkan Editor Sastera. Faktor kos kertas dan keterbatasan ruang menjadikan iklan terlalu mahal. Berapa ramai penerbit buku sedia membeli iklan?,” katanya.

Editor Dewan Sastera, Rozninah Abd Azib, membuat saranan serupa kepada pembaca bagi memastikan karya mereka mendapat tempat dalam majalah terbitan DBP kerana tanpa membeli dan membaca sukar penyumbang menilai bentuk karya yang menjadi pilihan.

“Betul apa yang dikatakan rakan seperjuangan saya, Salbiah Ani kerana tanpa membeli dan membaca akhbar atau majalah yang menjadi sasaran penulis, mereka tidak dapat memahami bentuk karya yang mendapat tempat,” katanya.

Pengurus PTS Litera, Asma Fadila Habib, berkata PTS Sdn Bhd (PTS) mengambil inisiatif dan mengembangkan sastera serta karya sastera kerana menyedari wujudnya ruang kosong dalam bidang penerbitannya.

“Oleh itu, kami mula mengkaji keperluan pasaran dengan memberi tumpuan kepada genre yang berasaskan kehendak pembaca generasi muda, tetapi pada masa sama tetap memperjuangkan bahasa.

“Kami mulakan dengan penerbitan novel dewasa dengan menekankan kepada pemilihan judul karya kreatif yang cenderung kepada Islam tetapi tidak terlalu ‘ekstrim’ dalam penekanan kepada latar agamanya,” katanya.

iDAN:

...“Terus terang saya katakan bukan status penulis yang mempengaruhi pemilihan karya untuk terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu. Karya penulis berjenama seperti Dr Fatimah Busu juga pernah saya tolak. Saya juga tidak mengamalkan kronisme. Silap jika penulis baru mengatakan mereka tidak diberi peluang,” katanya....

Aku begitu lama masih bergelut untuk melepaskan karya barang sebuah karya puisi ke di Berita Minggu kini telah masuk ke tahun ketiga. Jika tanpa semangat penyairan aku pasti telah hilang daya kreativiti sebab cuba dibunuh oleh Editor yang mungkin terlalu teliti & sukar menerima tulisan seperti puisiku. Nah hari ini aku dapat lihat wajah Editor untuk Sanggar Sastera di Berita Harian & pengakuan jujur... tiada sikap kronisme & tidak mahu puisi kabur. Itulah sebaiknya agar dunia sastera tanah air akan berkembang & tidak menjadi hambar.

Cumanya baik puisi mudah atau pun puisi kabur ada pengikutnya. Yang penting bagiku setiap penulis kena menjaga keindahan Bahasa Melayu agar ianya terus diminati semua kaum di seantero dunia. Bahasa Melayu perlu kita kembangkan dengan apa cara sekalipun. Biarlah ianya terbentuk dengan pelbagai ragam supaya kita nampak akan coraka atau batik bahasanya.

TULISAN SALBIAH ANI: ANDA MELIHAT DARI SISI YANG BETUL, TERIMA KASIH
GODAM.

Salbiah Ani pengarang sastera Berita Harian menulis dari sisi yang betul tentang Little India. Tanpa mahu prejudis ataupun meluahkan prasangka berbaur perkauman, siapalah yang boleh menolak sebenarnya projek Little India di Brickfields yang dirasmikan bersama Najib dan Perdana Menteri India, Manmohan Singh semalam sebenarnya adalah sebuah filem yang mempunyai tajuk lain dan membawa cerita lain.

Jalan cerita Little Brickfields ini jelas amat bersimpang siur ketika semua penonton mengharapkan ia adalah sebuah filem yang berjudul 1Malaysia!

Kita amat melayani permintaan yang di luar kotak 1Malaysia. Kita tidak pernah bersimpati pada mereka yang tertinggal. Dan nanti mampukah kita menjawab atau memenuhi impian mereka yang tertinggal ini untuk membuka satu kawasan bernama 1Melayu atau 1Jawa atau 1Banjar yang dirasmikan bersama Najib dan Presiden Indonesia.

Dengan wang dileburkan sebanyak RM35juta untuk projek Little India, apakah kita juga bersedia mengeluarkan peruntukan serupa untuk 1Melayu?

Perlu diingat, hasrat mahu melihat Little India menjadi antara kawasan pelancongan adalah sama dengan hasrat mencantikkan ChinaTown di Jalan Petaling, sebelum ini. Kedua-dua lokasi itu memberi untung sebenarnya kepada dua bangsa, Cina dan India. Adakah kita juga bersedia mempromosi satu kawsan Little Melayu untuk dijadikan kawasan tarikan pelancongan dan sekaligus memberi keuntungan perniagaan kepada peniaga Melayu?

Demikian nasib peniaga Melayu sebenarnya. Mereka adalah anak dalam kendongan, tetapi susu yang ada diberi kepada monyet, beruk, ungka, mawas, cikah, lotong, orang utan, gorila, chimpanzee dan siamang di hutan! Nasib mereka tidak pernah dipeduli.

Bukan kisah kawasan perniagaan mereka mahu dipromosi secara global sering didengar, tetapi kisah mereka menjual air dan nasi lemak di tepi jalan yang kemudian dihambat penguatkuasa yang selalu dilaporkan!

Apalah malangnya Melayu? Mungkin tidak salah kita ulangi menyebut tafsiran Malaysia itu berkali-kali untuk menjelaskan apa sebenarnya Melayu. MALAYSIA - MALAY bermakna Melayu. SIA- bermakna Rugi. Dan benarlah Malaysia itu tafsirannya MELAYURUGI!

Kekeh rakyat yang berdecit-decit mungkin tidak didengari oleh Najib, memperlekehkan apa sebenarnya 1Malaysia. 1Malaysia benarlah merujuk kepada pengezonan kawasan tempat tinggal dan perniagaan mengikut kaum!

Apabila Salbiah tersentak menerima panggilan seseorang bercerita tentang pendapatnya mengenai Little India, kita juga tersentak mendengar terlalu ramai orang Melayu tersentak melihat betapa sungguhnya Najib merealisasikan konsep 1Malaysianya menerusi Little India.

Harus diingat, hampir semua bandar utama di negara ini telah menjadi ChinaTown dan hampir semua bandar yang penduduknya ramai India seperti di Jalan Datok Klana, Klang telah diiktiraf sebagai Little India. Ditanyakan lagi di mana 1Melayu beb?

1Malaysiakah kita beb kalau yang dibela hanya berpilih-pilih!

Godam: Sastera tanpa noktah buat Arena Wati
Bersama Salbiah Ani

MASIH lekat dalam ingatan penulis detik pertama kali bertemu Sasterawan Negara (SN), Allahyarham (Dr) Arena Wati, ketika ditugaskan menemuramahnya oleh mantan pengarang Sastera Berita Harian, Allahyarham AR Kamaluddin, bagi mendapatkan reaksi mengenai mogok seni kedua SN, Datuk (Dr) A Samad Said kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Rasa gentar menguasai diri ketika memujuk Allahyarham untuk sedia ditemu bual di hadapan pintu rumahnya di Kepong, tanpa membuat sebarang temu janji kerana mereka yang rapat dengannya, sememangnya tahu Arena Wati enggan memiliki telefon bagi mengelakkan dirinya daripada diganggu ketika berkarya. Degupan jantung yang kencang pada awal pertemuan, melayang pergi apabila wawancara akhirnya berlangsung hampir tiga jam dengan penulis bersimpuh di atas lantai sambil menulis di atas meja, manakala Allahyarham duduk di kerusi dan kebetulan tidak sihat pada masa itu.

Pertemuan itu, turut membuka peluang kepada penulis untuk melihat sendiri beberapa jenis ubat yang perlu diambil saban hari dengan membelinya di klinik swasta tanpa merungut, meskipun dirinya layak mendapatkannya daripada hospital kerajaan sesuai dengan kedudukannya sebagai SN, sebab pilihannya adalah mutu. Dalam pertemuan itu juga, Allahyarham menyatakan pendirian tidak masuk campur dalam hal yang membabitkan DBP dan dapat penulis rasanya betapa ada sesuatu yang dipendam dan enggan dikongsi sehingga trilogi karyanya, Armageddon yang memuatkan Mandala, Menora dan Pentagon, dibiarkan beberapa lama tanpa penerbit.

Kesediaannya membiarkan triloginya itu tanpa penerbit dan terus gigih menyiapkan Pentagon, satu daripada tiga triloginya itu yang tertangguh kerana rasa belum berpuas hati dengan fakta yang diperoleh, menyedarkan penulis betapa nyala cinta Allahyarham kepada dunia penulisan kreatif sentiasa membara dan tidak mungkin diganggu gugat.

Trilogi Armageddon yang bahannya dikumpul sejak 1974 seperti pengakuan Allahyarham pada wawancara dengan penulis, hanya mula digarap pada 2001 dan akhirnya diserahkan kepada Penerbit UKM untuk diterbitkan sebelum menemui pembaca pada 2005. Allahyarham mengaku tergerak untuk menangani trilogi Armageddon ketika berada di Jeddah ekoran perasaannya tertekan dengan peristiwa sekatan minyak oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (Opec) kepada Eropah dan Amerika dalam usaha melawan Yahudi, tetapi gagal selepas Arab Saudi berlaku khianat.

Pertemuan kedua penulis dengan Allahyarham pada Mei 2003 ketika Arena Wati dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Mastera yang pertama kali diperkenalkan dengan hadiah ditaja Kerajaan Brunei Darussalam, berlangsung dalam suasana ceria pagi. Penulis disambut Arena Wati dengan kata-kata, “Apa yang kau hendak budak.” dan berlangsung lebih sejam di satu ruang legar Dewan Bankuet, diakhiri dengan laungan, “Kau tengok budak perempuan ni, pagi-pagi hari dia hendak menyakitkan hati aku.”

Mereka yang mendengar laungan Arena Wati di Laman Karyawan DBP pada pagi itu, pasti menyangka Salbiah Ani dimarahi, tetapi hakikatnya ia seloroh pengarang itu kerana beliau berlalu pergi dengan wajah menyimpul senyum, manakala penulis memperoleh jawapan untuk kolum Bicara Pengarang yang diperkenalkan pada 2003 di laman Sastera, Berita Harian. Dua pertemuan dengan Allahyarham juga memadamkan segala tanda tanya mengenai kemarahannya kepada Gabungan Persatuan Penulis Muda Kelantan (Gema) ketika menjemput Arena Wati sebagai panel pembicara pada bengkel penulisan di Kota Bharu dan membenarkan kata-kata bahawa beliau manusia yang berpegang kepada janji.

Daripada tampangnya yang serius, sesiapa juga dapat menduga bahawa beliau tegas dalam pendirian dan langkahnya ke setiap majlis wacana di DBP dalam keadaan lengkap bersongkok dan bertongkat selagi tidak uzur, membuktikan kasihnya yang tidak bertepi kepada dunia sastera tanah air. Sesungguhnya Arena Wati tidak pernah menganggap dirinya berada pada kedudukan tinggi dan dalam kesibukan membaca beberapa bahan rujukan untuk menangani triloginya, ciri khas Allahyarham dalam dunia sastera Malaysia, beliau tetap mengikuti perkembangan generasi muda dalam dunia sastera.

Dalam pertemuan itu Allahyarham mengakui sesetengah pengarang muda mengatasi sasterawan tersohor dan menasihatkan mereka mementingkan ilmu dengan meluaskan bacaan dalam pelbagai bidang ilmu biarpun selepas tamat pengajian di universiti, bagi membolehkan karya mereka mendapat pengiktirafan selain tidak diperlekehkan. Tidak mungkin juga akan penulis lupakan kenyataan apabila ditanya perasaannya ketika dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Mastera 2003, “Saya bersyukur. Tidak terlalu gembira kerana nanti mati dalam kegembiraan. Anugerah ini satu lagi cabaran yang diletakkan di bahu dan saya junjung. Jangan beri anugerah hanya untuk melihat keris atau badik lama. Nama dan gambar disiarkan, tetapi karya apa pun tidak ada selepas itu. Nilai dulu yang kita capai, boleh dicapai anak muda sekarang.” Tidak keterlaluan untuk dikatakan iltizamnya dalam dunia sastera banyak dipengaruhi pengalaman selama sembilan tahun sebagai pelaut yang turut membuka keajaiban dunia ilmu dalam buku kepada Arena Wati atau nama sebenarnya, Muhammad Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan Andi Buyung, anak kelahiran Makasar, Indonesia. Kelebihan ilmu dalam karyanya juga yang turut memungkinkan Allahyarham dilantik sebagai Felo di Universiti Cornell, Amerika Syarikat; Universiti Leiden, Belanda; Universiti Kyoto, Jepun; Karyawan Tamu UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia penyelidik di Yayasan Sabah dan Penulis Tamu di DBP.

Godam: 'Hanya kerana RM300, muslihat naik pangkat'

Oleh Salbiah Ani
dahiya@bharian.com.my

PANGGILAN yang penulis terima daripada seorang mantan sarjana bahawa beliau dikenakan bayaran RM300 bagi membolehkannya membentangkan kertas kerja pada suatu seminar di salah sebuah universiti awam tersohor tanah air menyebabkan penulis tersentak.

Tersentak kerana dipelawa membentangkan kertas kerja, tetapi serentak itu dikenakan bayaran pula sedangkan selama ini setahu penulis dan sebahagian besar orang awam bahawa hanya peserta seminar yang akan dikenakan yuran penyertaan, tetapi tidak pembentang kertas kerja.

Nama pun khidmat mereka diperlukan bagi membentangkan kertas kerja dan sudah pasti serba sedikit kajian perlu dilakukan terlebih dulu sebelum mereka boleh memperkatakan sesuatu, lalu di mana logiknya jika mereka turut dikenakan bayaran.

Tambahan pula pada acara sedemikian rupa sememangnya berlaku perkongsian ilmu kerana sudah pasti pembentang kertas kerja jauh lebih arif dan berpengetahuan daripada orang yang dikongsi maklumat berbanding peserta sesuatu seminar.

Lalu perkara yang dibangkitkan teman ini penulis ajukan kepada seorang teman sarjana yang menyambut pertanyaan penulis dengan nada separuh menyindir: “Salbiah bayaran yang dikenakan untuk pembentangan kertas kerja adalah amalan biasa.

“Ia menjadi amalan universiti di mana sekalipun di dunia ini termasuk di Amerika Syarikat dan United Kingdom kerana salah satu syarat untuk kenaikan pangkat dan merit pada peringkat universiti ialah melalui pembentangan kertas kerja, apalagi jika peluang diperoleh di luar negara!,” jelas teman sarjana ini.

Malah, penulis diberitahu sarjana di Indonesia yang ingin melihat tulisan mereka diterbitkan dalam jurnal antarabangsa negara itu juga perlu menjelaskan bayaran kepada penerbit dan penjelasan teman ini bahawa tulisan mereka yang disiarkan dalam Jurnal Melayu dibayar mengejutkan!

Jurnal Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang memuatkan tulisan akademik berhubung dunia Melayu diterbitkan empat kali setahun, antara terbitan akademik badan berkanun terbabit yang memberi ruang kepada sarjana seantero dunia untuk berkongsi hasil penelitian masing-masing.

Jurnal Melayu yang dilancarkan mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk A Aziz Deraman, pada tahun terakhir sebelum persaraannya itu dan diterbitkan empat kali setahun, kini sudah digantikan dengan Malay Literature.

Begitu juga, Jurnal Bahasa dan Tenggara serta semua majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tiada yang meminta penulisnya membayar penerbit untuk melihat karya mereka diterbitkan, sebaliknya badan berkanun terbabit yang membayar penulis!

“Syarat yang sama juga diguna pakai oleh semua universiti di dunia kalau nak menulis untuk jurnal antarabangsa. Orang yang menulis perlu membayar dan khabarnya itulah strategi yang digunakan sebuah universiti dalam menaikkan penarafan mereka pada peringkat antarabangsa,” jelas teman ini.

Khabarnya universiti terbabit membayar sekitar RM30,000 untuk sebuah artikel yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa yang diiktiraf dalam bagi menyumbang kepada piawaian untuk kedudukan mereka dan ternyata strategi terbabit membantu dan terbukti berhasil.

Penulis diberitahu pendekatan bayar untuk membentangkan kertas kerja hanya dikecualikan untuk panel yang menerima jemputan khas dan pembentang ucap utama selain mereka menerima bayaran, mereka akan diberi penginapan dan tiket kapal terbang atas jemputan terbabit.

Begitulah daifnya dunia kesarjanaan dan rupa-rupanya selama ini penulis ‘tertipu’ apabila melihat seminar antarabangsa anjuran sebuah badan antarabangsa disertai sejumlah pembentang kertas kerja dari luar negara dengan sesetengah daripada mereka bermata biru, kelabu dan coklat cair.

Rupa-rupanya ada ‘kisah’ yang tersembunyi di sebalik kehadiran mereka, iaitu kedatangan mereka ditanggung penganjur seminar sehingga mereka dengan rela hati terbang di awan biru beribu-ribu kilometer kerana ilmu!

Anehnya apabila badan penganjur itu kekurangan dana dan tidak lagi menanggung kedatangan pembentang kertas kerja dari luar negara, tidak kelihatan lagi tokoh bahasa dan sastera Melayu di kalangan kulit putih hadir pada seminar antarabangsa.

Hal yang sama sudah lama berlaku di kalangan universiti awam yang menganjur seminar antarabangsa dan sejak akhir-akhir ini, bukan saja penyertaan tidak bersifat sejagat tetapi juga pembentangan sehingga pemilihan perkataan antarabangsa menimbulkan tanda tanya!

Lalu penulis berhujah dengan teman ini bahawa perkongsian ilmu yang sepatutnya menjadi matlamat utama dalam sesuatu seminar sebenarnya adalah alasan kedua kerana hakikatnya habuan kenaikan pangkat yang mahu diperoleh.

“Perkongsian ilmu dalam dunia kesarjanaan hanya boleh dikongsi dengan manusia hebat seperti mereka. Sama juga seperti bidang lain dan ia tidak mungkin boleh dikongsi dengan masyarakat biasa kerana bukan bidang mereka dan tidak mungkin menarik minat atau difahami kelompok terbabit.”

Masih tidak berpuas hati dengan hujah teman itu, penulis katakan ciri kenaikan pangkat pada masa ini yang berasaskan pembentangan kertas kerja pada seminar dalam apalagi luar negara dan penerbitan tulisan dalam jurnal akademik antarabangsa memungkinkan wujudnya unsur kroni.

“Betul kriteria kenaikan pangkat sedia ada membolehkan berlakunya kenaikan pangkat yang dirancang antara pembentang kertas kerja dan kroni mereka baik dalam universiti yang sama atau universiti luar.”

Justeru, teman ini mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi bukan saja memberi markah kepada jumlah pembentangan kertas kerja, penghasilan buku akademik dan esei yang diterbitkan dalam terbitan yang tersenarai dalam International Scientific Index (ISI).

Sebaliknya, memberi peratusan markah lebih tinggi kepada sarjana yang memberi sumbangan kepada masyarakat awam selaku pembayar cukai sebagai ciri paling utama bagi kenaikan pangkat kerana ia lebih berpijak di bumi nyata dan lebih ramai mendapat manfaat serta tidak bersikap mendewa-dewakan yang asing!

iDAN:

Apa jua bidang malahan bahan ilmiah juga jika telah diperdagangkan atau berharapkan mendapat laba dari bakti yang lebih berupa amalan jihat disilapgunakan maka ianya menjadi tambah mahal & sampai satyu ketika akan menjadi jumud bila tiada lagi berkat atau perhitungan Ilahi.