iDAN

27 Mei 2009

Hock Nan mesti disingkirkan (Ceritera)

Oleh HATA WAHARI dan HASNURUL MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 26 Mei - Datuk Dr. Teng Hock Nan mesti disingkirkan sebagai Pengerusi Gerakan Pulau Pinang kerana mengeluarkan saranan amat berbahaya serta boleh menjejaskan keselamatan negara.

Menurut Naib Presiden Gerakan, Mejar (Kehormat) Huan Cheng Guan merujuk saranan 'rakannya' itu supaya kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis, Chin Peng pulang ke Malaysia juga berbahaya.

"Pemimpin dan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi amat dukacita dengan sentimen yang cuba dibangkitkan oleh Hock Nan dan mahu beliau berhenti mengeluarkan kenyataan yang akan memberi kemudaratan kepada parti dan rakyat.

"Sekiranya Hock Nan terus berpegang kepada pendiriannya agar Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia maka pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) harus mengambil tindakan tegas terhadap beliau.

"Ahli-ahli Gerakan di peringkat akar umbi juga mahu tindakan diambil terhadap Pengerusi Gerakan Pulau Pinang itu yang menyebabkan parti dipandang serong dan dianggap buta sejarah," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Cheng Guan mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mahu sentimen bahawa komunisme mempunyai nilai-nilai nostalgia dan positif dilupuskan sama sekali dalam pemikiran seluruh rakyat Malaysia.

Sambil menyuarakan rasa amat terkejut dengan tindakan pihak tertentu yang cuba membangkitkan sentimen itu, Rais mengingatkan bahawa adalah satu bencana kepada negara ini jika ada pihak menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia termasuk menerusi media cetak dan blog.

Rais juga menyelar saranan Hock Nan agar kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia yang disifatkan beliau satu tuntutan amat keterlaluan yang cuba mengambil kesempatan ke atas gagasan 1Malaysia.

Cheng Guan menegaskan, pandangan Hock Nan itu yang telah menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli-ahli parti serta rakyat, merupakan pandangan peribadi dan bukan parti.

"Tindakan Hock Nan ini amat dikesali dan sepatutnya beliau tidak harus mengeluarkan kenyataan tersebut tanpa berbincang mahupun merujuk kepada peringkat akar umbi dalam parti.

"Kenyataan itu amat berbahaya dan ia bersifat peribadi dan bukannya dari parti walaupun beliau merupakan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang," katanya.

Cheng Guan memberitahu, beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan keras ini memandangkan Gerakan adalah sebuah parti politik berbilang kaum dan ia menjaga kepentingan semua kaum di negara ini.

Beliau yang juga Pengarah Tugas Khas Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) memberitahu, rakan-rakan seperjuangan dalam parti dan bekas tentera yang pernah berjuang di medan perang bagi mempertahankan negara daripada diperintah oleh komunis turut melahirkan rasa marah terhadap kenyataan Hock Nan itu.

"Saya merupakan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 13 tahun dari 1980 hingga 1993 dan telah melibatkan diri dalam pelbagai operasi mencari dan menyelamat di sempadan Malaysia-Thailand menyaksikan sendiri kekejaman yang dilakukan anggota-anggota komunis.

"Bayangkan dalam setiap operasi tentera untuk menjaga keselamatan negara ramai anggota pasukan keselamatan dari pelbagai kaum maut, hilang anggota badan serta pelbagai lagi kecederaan dialami akibat perbuatan anggota-anggota komunis itu yang tidak berperikemanusiaan.

"Adakah kita hendak membiarkan orang yang telah melakukan kekejaman itu pulang ke negara ini, tindakan untuk membawa pulang Chin Peng tidak harus dilakukan dan saya secara peribadi menentang sebarang usaha ke arah itu," katanya.

Cheng Guan yang kini merupakan anggota Askar Wataniah berpangkat mejar menegaskan, kekejaman anggota-anggota komunis bukan terhad kepada satu kaum sahaja tetapi ia melibatkan semua kaum baik orang Melayu, Cina dan India yang tidak mahu menyokong perjuangan mereka.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, biarlah komunis berkubur dan jangan dilaksanakan sebarang usaha dibuat untuk mengenang serta mengagungkan perjuangan komunis yang jelas telah menyebabkan rakyat negara ini sengsara.

Utusan

2 ulasan:

- just me - berkata...

Keadaan politik negara sejak PRU12 tak pernah aman. Macam2 kisah! Menakutkan pun ada. Bilalah kan berakhir...

iDAN berkata...

Politik memang macam ini, mana akan tenangnya. Sy asalnya orang Perak, baru saja balik dari sana; Anak buah yang jadi Ketua Kampung telah pun gugur jawatannya; kembali semula kepada Ketua Kampung yang lama.

Tanah kampung sy banyak amat telah tergadai kepada orang luar, jika pun tidak... habis diambil oleh Gopeng Berhad. Siapa gerangan Gopeng Berhad ini; jika ada pembaca blog ini tahu silalah kasi respon. Kasihan orang kampung kini tinggal di tapak rumah yang tanpa geran atau statusnya. Bila-bila masa kena halau dari kampung halaman sendiri demi dikatakan pembanguan.

Bagai di mana-mana kotaraya siapakah yang giat berniaga siapa pula sekadar pelanggan di sana.

Beginilah nasib orang kita yang tak berduit. Menumpang & mungkin merempat di tanah air sendiri.