iDAN

08 Julai 2009

Amah kebas barang kemas (Ceritera)

NILAI: Madu diberi, tuba dibalas. Itulah ungkapan layak diberi kepada dua pembantu rumah warga Indonesia yang bukan saja menghilangkan diri dari rumah majikan masing-masing, malah barang kemas majikan itu turut lesap.

Bagaikan dirancang, dua guru sebuah sekolah di sini, kehilangan pembantu rumah masing-masing, berusia 20-an dan 30-an, bersama sejumlah barang kemas.

Mereka seolah-olah tidak mengenang budi kerana dikatakan mendapat layanan mesra oleh majikan masing-masing tetapi sanggup bertindak demikian.

Kejadian pertama menimpa seorang ustazah dikenali sebagai Nor Azlina, apabila pembantu rumahnya yang diambil bekerja sejak Jun tahun lalu, lesap bersama barang kemas bernilai kira-kira RM3,000 di rumahnya di Desa Melati, Bandar Baru Nilai, kelmarin.

Menurut Azlina, kejadian itu disedari kira-kira jam 9 malam apabila pembantu rumahnya tiada di bilik seperti kebiasaan.

“Mulanya saya sangka dia keluar di halaman rumah kerana ketika pulang jam 6 petang, dia masih ada di rumah.

“Mungkin kerana sibuk menguruskan anak, pembantu rumah mengambil kesempatan melarikan diri,” katanya, semalam.

Menurutnya, selepas menyedari pembantu rumahnya tiada, dia mula mengesyaki sesuatu dan memeriksa rumah serta tempat simpanan barangan kemasnya di tingkat bawah.

“Saya didapati bilik tempat simpanan barangan kemas ada kesan diusik orang dan pelbagai barang kemas yang di simpan hilang. Saya syak pembantu rumah saya mengambilnya,” katanya.

Menurutnya, wanita dikenali Wiwi Indriyani, 31, berubah sejak awal tahun ini selepas diberi telefon bimbit dan mula bermain cinta dengan teman lelakinya.

“Saya tidak menghalangnya bercinta asalkan pandai menjaga diri. Kami sekeluarga menganggapnya seperti saudara sendiri dan tidak sangka dia tergamak melarikan diri bersama barang kemas saya.

Ketika melarikan diri, pembantu rumah itu tidak membawa pasport dan suami Nor Azlina sudah membuat laporan di Balai Polis Nilai, pagi semalam.

Dalam satu lagi kejadian, rakan Nor Azlina turut mengalami nasib sama apabila pembantu rumah warga Indonesia yang diambil bekerja sejak setahun lalu, menghilangkan diri dari rumahnya di Salak Tinggi, Sepang, pagi semalam.

Rosmawati, 38, berkata kejadian itu disedari jam 9 pagi apabila pembantu rumah dikenali sebagai Noraini meninggalkan anak lelakinya berumur setahun yang sedang tidur.

“Seorang pekerja saya datang ke rumah jam 8.30 pagi dan mendapati keadaan rumah bersepah sebelum mendapati pembantu rumah saya tiada di rumah,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: