Translate

||| Tentang Aku |||

Foto saya
Jenaris, Kajang Selangor, Malaysia
¤¤ Penyair nan tidak akan berhenti memaparkan sesuatu. Berkata benar biar pahit sekali pun. Kata kata biarlah membawa makna. Makna jangan berbau hina.¤¤

Perlu Baca

masalah tanah pusaka Md Sesh masih tidak selesai Klik Label: Pusaka Mengambil hak milik orang lain tanpa mengikut panduan Islam adalah HARAM; akta tanah yang dipinda oleh manusia hanya perangkap NERAKA bagi mereka yang tamak akan harta dunia

25 Mei 2012

Masjid Niujie Beijing wajib dikunjung

Masjid Niujie di Xuanwu menampilkan ciri Islam dan budaya China.
Masjid Niujie di Xuanwu menampilkan ciri Islam dan budaya China.
BEIJING, 15 Julai — Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama yang melancong ke Beijing, China perlu memastikan bahawa Masjid Niujie di Xuanwu termasuk dalam senarai “wajib lawat”.

Masjid ini mempunyai keluasan sekitar 6,000 meter persegi dan menampilkan gabungan senibina Islam dan China.

Saya, Jasmine Koh, Izan Ali dan Nurul Fadzillah yang diiringi Tan See Hua dalam rangka lawatan tajaan One Nusantara Sdn Bhd terpegun melihat segala keunikan pada masjid ini semasa melawat Niujie Street (Jalan Lembu) pada petang semalam.

Masjid Niujie dibina pada 996 ketika Dinasti Liao (916-1125) dan diberi nama “Libaisi” pada 1474.

Sejak 1949, kerja-kerja pemulihan dilakukan sebanyak empat kali di bawah projek tajaan kerajaan bagi memastikan masjid tertua dan terbesar di Beijing ini kekal sebagai tapak warisan budaya.

Kami berlima meluangkan masa melawat masjid ini dengan penuh takjub sambil merakamkan foto-foto kenangan dan membaca catatan yang menjelaskan maksud dan sejarah setiap objek di sini.

See Hua yang bertindak sebagai pemandu pelancong pula memberikan pelbagai maklumat tambahan yang amat berguna mengenai Masjid Niujie dan Xuanwu yang merupakan perkampungan Islam terbesar di Beijing.

Izan membuat pengamatan bahawa lawatan ke masjid berciri Islam dan China ini membuka mata betapa kita di Malaysia perlu menyedari bahawa masjid tidak semestinya hanya menampilkan ciri-ciri budaya Arab, sebaliknya perlu – malah wajar dan wajib – mengangkat ciri-ciri budaya tempatan dalam pembinaannya.

Perkara ini memang disetujui kami yang lain.

Di sekitar Xuanwu, terdapat kedai-kedai menjual produk halal yang pelbagai. Segala barangan keperluan masyarakat beragama Islam terdapat di sini.

Terdapat juga pasar raya yang khusus menjual segala barangan keperluan harian yang disahkan halal, maka tidak perlu was-was untuk membeli dan menggunakannya.

Di kedai runcit Specialities of Xinjiang, kami tidak melepaskan peluang membeli kurma, kismis dan beberapa makanan lain yang tentu sahaja harganya ‘memeranjatkan’ bagi kita dari Malaysia.

Pada sebelah pagi, kami berlima pergi ke Pasar Borong Zoo Beijing. Tentu sahaja pasar borong ini bukan terletak di dalam zoo, sebaliknya merujuk kepada nama stesen subway.

Bagi penggemar kasut dan pakaian, mereka mungkin memerlukan sekurang-kurangnya sehari suntuk untuk melihat dan membeli barangan di pasar borong ini.

Kami tentu sahaja terpegun dengan semua barangan di sini, khasnya Izan, Fadzillah dan Jasmine yang tidak tahu kasut mana yang perlu dibeli kerana keseluruhan tingkat enam dikhaskan bagi kasut wanita dan tingkat tujuh bagi kasut lelaki.

Apabila mahu membeli pakaian di pasar borong ini, kita perlu bijak dalam soal tawar-menawar harga. Urusan kami menjadi amat mudah kerana Tan yang berasal dari Tangkak menjadi jurubahasa dan jururunding kami.
“Nampaknya satu hari tidak mencukupi bagi pelancong untuk melihat, memilih dan membeli kasut dan pakaian di sini,” kata Fadzillah dan Izan.

“Dan, jika pelancong itu adalah wanita, maka sekurang-kurangnya dua hari perlu diperuntukkan khas untuk datang ke Pasar Borong Zoo Beijing sahaja,” saya menambah.

Muzium Beijing pasti memukau pengunjung pelbagai usia.
Muzium Beijing pasti memukau pengunjung pelbagai usia.
Di sebelah pasar borong itu adalah Planetarium Beijing yang juga pasti merupakan pilihan bijak untuk dilawati, khususnya bagi kanak-kanak.

Satu lagi destinasi yang juga amat wajar dimasukkan dalam senarai “wajib lawat” adalah Capital Museum di Jalan Fuxingmenwai, Xicheng. Lupakan terus gambaran dan tanggapan dalam minda anda mengenai muzium-muzium seperti yang terdapat di Malaysia.

Kalau di negara kita, amat sukar untuk “memujuk” orang ramai – kanak-kanak, remaja, dewasa, warga emas, orang tempatan dan pelancong – melawat muzium, perkara yang sebaliknya dapat diperhatikan di Muzium Beijing ini.

Muzium berkenaan yang dibuka setiap hari (kecuali Isnin) dari 9 pagi hingga 5 petang pasti akan membuatkan anda terpegun, terpersona dan menyimpan hajat meghantar kertas cadangan kepada Jabatan Muzium Negara mengenai apa yang sepatutnya dilakukan untuk memastikan sebuah muzium benar-benar layak dipanggil muzium yang layak menarik perhatian pengunjung.

Mana-mana individu yang tidak menyukai sejarah – dan mata pelajaran Sejarah di sekolah – juga pasti terpegun dengan barangan pameran di muzium ini yang khusus mempamerkan pelbagai artifak berkaitan sejarah silam, budaya dan keunikan Beijing.

Walaupun sebelum datang ke Beijing pada Selasa lalu, kami berpandangan bahawa tempoh kunjungan 10 hari adalah terlalu lama, namun pada hari ketiga di sini, kami sedar bahawa tempoh itu adalah terlalu singkat.

Tiada ulasan: