iDAN

14 Ogos 2009

Lambat rawat punca kematian (Ceritera)


LANGKAH PENCEGAHAN... Pemilik pusat jagaan kanak-kanak I-Chil Care Center, Norkheliza Rasidi (kiri) menunjukkan cara pemakaian topeng muka kepada kanak-kanak sambil dibantu oleh seorang guru di pusat jagaan itu di Melaka semalam.








KUALA LUMPUR - Sebanyak 40 peratus daripada jumlah kematian akibat selesema babi (H1N1) yang dicatatkan sehingga kini disebabkan lambat mendapatkan rawatan awal malah 13 peratus kematian lagi mempunyai unsur kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan.

Itulah statistik yang didedahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berhubung peningkatan kematian yang dicatatkan berikutan penularan H1N1.

Beliau turut mengakui bahawa angka kematian yang mencatatkan sebanyak 56 kes setakat ini adalah tinggi.

"Saya ingin memaklumkan bahawa majoriti kematian ini mempunyai faktor-faktor penyumbang kematian seperti faktor risiko kesihatan iaitu sebanyak 70 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohd. Ismail berpendapat, ada di antara kematian itu dapat dielakkan jika pesakit dan pengamal perubatan lebih peka serta segera mengambil tindakan sewajarnya.

Tambahnya, kadar penularan H1N1 dalam komuniti adalah tinggi dan ini dapat dilihat daripada peningkatan bilangan pesakit yang datang ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mereka yang bersimptom mudah menularkan jangkitan kepada individu sihat yang berada dekat dengan mereka sama ada melalui batuk, bersin atau sentuhan cecair batuk atau bersin," tambahnya.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Kementerian Kesihatan menambah stok dos antiviral kepada semua klinik swasta dan desa di negara ini.

Presidennya, Dr. David Quek berkata, penambahan itu perlu dilaku- kan segera supaya petugas-petugas kesihatan dapat memberikan rawatan dengan cepat dan berkesan kepada semua pesakit.

"Sememangnya stok dos antiviral itu sedang ditambah, namun ia belum mencukupi berbanding peningkatan pesakit H1N1 yang semakin bertambah ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan juga perlu mengedar stok dos antiviral itu secara selaras di semua klinik dan turut menempatkan stok itu di tempat-tempat awam seperti farmasi supaya memudahkan golongan berisiko mendapatkannya.

Kosmo!

Dua bayi antara lima korban terbaru H1N1(Ceritera)

Oleh Johari Ibrahim dan Syuhada Choo Abdullah

KUALA LUMPUR: Dua bayi berusia dua bulan, termasuk seorang yang dilahirkan ketika usia kandungan 27 minggu, adalah antara lima korban wabak Influenza A (H1N1) yang dilaporkan semalam, menjadikan keseluruhan kes sebanyak 56 setakat ini.

Semua kematian berlaku antara 8 hingga 12 Ogos lalu yang empat daripadanya mempunyai faktor risiko, iaitu obesiti, diabetes, tibi paru-paru dan diabetes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata 70 peratus daripada 56 kematian membabitkan golongan berisiko, manakala 40 peratus disebabkan lewat mendapat rawatan dan 13 peratus disebabkan penyakit lewat dikesan pengamal perubatan.

“Ada antara kematian dapat dielak jika pesakit dan pengamal perubatan lebih peka serta mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya.

Selain itu, seramai 72 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad, manakala 27 lagi di ICU, dengan 18 daripadanya mempunyai faktor risiko, iaitu penyakit kronik (10), obesiti (empat), kanak-kanak (dua), hamil (seorang) dan selepas bersalin (seorang).

“Kadar penularan H1N1 dalam komuniti adalah tinggi dan ini dapat dilihat daripada bilangan pesakit yang datang ke hospital serta klinik untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan mengkaji kewajaran mengumumkan kawasan atau lokasi panas yang banyak merekodkan kes H1N1.

Beliau berkata, pertimbangan yang akan dibuat ialah sama ada pengumuman itu boleh mencetuskan panik di kalangan rakyat atau membantu mengurangkan penularan wabak.

"Bagaimanapun, maklumat dalam media ada setiap hari (tetapi) saya akan bincang dengan kementerian (Kesihatan) sama ada wajar didedahkan.

“Jika perlu kita akan umumkan seperti kita hadapi jerebu. Tetapi ini sukar kerana penyakit kita tidak nampak... kita kena ambil langkah mengawal sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Pencegahan Jenayah Peringkat Kebangsaan 2009 anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam.

Muhyiddin juga berkata, kerajaan tidak berselindung mengenai penyakit itu, sebaliknya memberikan maklumat harian kepada rakyat.

"Peratusannya masih kecil dan kalau ikut (angka) antarabangsa, 0.004 peratus (kematian) tapi kita tidak boleh anggap kecil sebab ia membabitkan nyawa," katanya.

Apa tahap bahaya (Ceritera)

Oleh Sariha Mohd Ali
sariha@bharian.com.my

Tengku Mahkota Pahang mahu kerajaan kategori ancaman H1N1

KUALA LUMPUR: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar), mahu kerajaan mengkategorikan tahap ancaman Influenza A (H1N1) bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai bahaya wabak itu yang setakat ini sudah pun mengorbankan 51 orang.

Tengku Abdullah yang baru pulang dari London, dua hari lalu, menegaskan baginda terkejut kerana kes kematian akibat H1N1 semakin meningkat, tetapi tiada langkah lebih ketat diambil bagi mengekangnya, manakala kebanyakan rakyat seolah-olah menganggap ancaman wabak itu sebagai perkara biasa.

"Kerajaan perlu memaklumkan berapakah jumlah kematian akibat H1N1 yang boleh dikategorikan negara berada di tahap bahaya. Saya ingin tahu kita sekarang berada di tahap mana?

"Ini umpama bencana banjir yang biasanya kita kategorikan tahap bahaya sama ada pada tahap satu, dua atau tiga," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Semalam, tujuh lagi kematian akibat H1N1 dilaporkan menjadikan angka korban meningkat kepada 51 orang. Sebanyak 2,350 kes H1N1 pula disahkan sehingga kelmarin, tetapi angka terbaru kes itu tidak diumumkan semalam.

Isteri baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan lima anakanda mereka Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 14, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, 12, pasangan kembar Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 9, serta Tengku Puteri Jihan Khalsom 'Athiyatullah, 7, turut dijangkiti wabak itu.

Bagaimanapun, keadaan Tengku Puan dan lima anak baginda yang dirawat di wad diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sejak Jumaat lalu, kini semakin pulih.

Tengku Mahkota berharap kerajaan mengambil langkah lebih drastik dan melaksanakan program kesedaran yang lebih berkesan supaya rakyat peka terhadap ancaman wabak maut itu.

"Saya berkata seperti ini bukan disebabkan isteri dan lima anak saya menjadi mangsa H1N1, tetapi untuk kebaikan rakyat. Bila kes kematian semakin sukar dikawal, ia sudah terlambat untuk mengambil tindakan dan ketika itu jangan salahkan rakyat.

"Bagi saya, jumlah kematian sekarang sangat membimbangkan kerana peningkatannya secara mendadak dan tidak boleh dikawal tetapi kita masih bersikap alpa. Kenapa perlu menunggu lebih banyak kematian, baru mahu bertindak lebih keras termasuk membatalkan majlis keramaian yang tidak berfaedah?

"Saya sedih kerana kebelakangan ini, ramai kanak-kanak dan bayi yang menjadi mangsa. Saya berharap wabak ini tidak sampai memudaratkan negara dan di Pahang, saya akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mengadakan sembahyang hajat bagi memohon kepada Allah supaya diberi perlindungan daripada wabak maut ini.

"Saya sendiri dinasihatkan doktor supaya berehat kerana mengalami masalah asma, lelah dan sinus serta berisiko tinggi untuk dijangkiti H1N1 jika tidak berhati-hati," titahnya.

Tengku Mahkota bertitah, tindakan proaktif kerajaan penting kerana setakat ini tiada ubat khusus untuk merawat H1N1, selain menggunakan antiviral, Tamiflu.

"Sebab itu, saya akan mengarahkan Kerajaan Pahang supaya membatalkan semua program membabitkan kedatangan orang ramai kerana tidak mahu jumlah mereka yang dijangkiti wabak H1N1 itu terus meningkat.

"Ini bermakna, kelulusan permit oleh pihak berkuasa tempatan perlu diperketatkan. Sebagai contoh, dalam keadaan sekarang, tidak wajar mengadakan pesta keraian (fun fair) kerana ia tidak memberi faedah.

"Jika sesuatu majlis perlu diadakan juga, penganjur perlu menyediakan topeng muka dan pembersih tangan supaya orang ramai yang hadir menggunakannya sebagai langkah berjaga-jaga," titah baginda.

Tengku Mahkota juga kesal kerana masih ramai rakyat membawa anak-anak tanpa memakai topeng muka ke tempat awam, termasuk di pusat beli belah.

Baginda bertitah, dalam keadaan cuaca berjerebu sekarang, kegiatan luar sepatutnya dihadkan, malah sekolah wajar ditutup jika ada guru dan murid mempunyai simptom H1N1.

Mengenai keadaan kesihatan Tengku Puan dan lima anakanda baginda, Tengku Mahkota bertitah, mereka kini semakin pulih tetapi perlu terus berada di wad pengasingan HTAA sehingga disahkan bebas daripada jangkitan itu sepenuhnya.

"Mungkin keluarga saya dibenarkan pulang ke istana minggu depan. Akibat penyakit itu, doktor tidak membenarkan saya bertemu mereka dan tidak dinafikan, perasaan sedih dan bimbang saya dengan keadaan yang menimpa keluarga kami," katanya.

Berita Harian

Saya dah minta (Hiburan)

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Sri Ayu Kartikawati Amri
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Tempoh edah hanya tiga bulan manakala tawaran (pekerjaan) itu datang selepas bercerai. Kalau saya tolak (tawaran) bermakna saya tolak rezeki Allah,” kata Maizawati Zainal, menjawab teguran bekas suaminya, Akhil Hayy, yang kurang senang apabila dia menerima tawaran pekerjaan tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu.

Selain menjadi duta produk tertentu, Maizawati dilaporkan menerima tawaran beberapa pihak termasuk pertubuhan wanita untuk menjadi jurucakap mereka tanpa pengetahuan penyanyi dan pendakwah bebas itu.

Maizawati, 33, berkata tawaran diterimanya itu penting untuk jangka masa panjang kerana selepas habis tempoh edah, dia perlu mencari sumber pendapatan sendiri bagi menanggung keluarga.

“Ustaz (Akhil) juga perlu fikirkan pro dan kontra, bukan saya tidak meminta izin dia... saya sudah memaklumkan kepadanya melalui SMS walaupun dia tidak membalasnya.

“Saya mencari rezeki dan bukan buat kerja bukan-bukan. Selagi pekerjaan itu halal, saya akan menerimanya untuk membangunkan hidup saya, anak dan keluarga,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, Akhil, 40, dipetik sebuah portal hiburan sebagai menzahirkan rasa kurang bersetuju apabila Maizawati menjadi duta produk tertentu.

Akhil dilaporkan berkata, bekas isterinya itu sepatutnya memaklumkan kepadanya terlebih dulu mengenai tawaran yang diterima itu kerana mereka masih lagi dalam edah.

Mengulas lanjut, Maizawati berkata, dia tidak boleh mengharapkan belas kasihan orang lain untuk membantunya, sebaliknya mahu berusaha membangunkan diri sendiri selain menjamin masa depan anak.

“Saya perlu bangkit selepas ‘jatuh’ dan bayangkan jika saya menolak tawaran yang datang, ia umpama saya membiarkan peluang berlalu begitu saja.

“Saya sebenarnya bersyukur dengan tawaran itu kerana ia membuatkan saya sibuk dan tidak terlalu memikirkan perkara lalu,” katanya.

Menurutnya, dia sekarang sibuk sebagai duta koleksi tudung Myza, produk kek coklat dan terbaru menjalankan usaha sama dengan rakan menjual pakaian jenama Ar-Baya yang diimport dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

“Saya juga sedang mencari ejen atau pemborong di seluruh negara (untuk memasarkan produk Ar-Baya). Mereka yang berminat boleh hubungi saya,” katanya.

“Buat masa sekarang memang saya agak sibuk demi masa depan anak,” katanya.

Pasangan itu sah bercerai pada 15 Julai lalu selepas Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai, membacakan lafaz perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak.

Harian Metro

Berikan aku Laluan 9 (Singgahsana)

"Ayah! Azim tetak Azim rasa semacam saja"

"Nyapa Azim demam ke?"

"Batuk kuatlah ayah." Kemudian aku lihat dia rebah di kamar panjang lalu terlelap.

Emaknya tengah berbuka puasa, sambil berbuka leka tenguk TV di dapur. Aku pula leka dengan saluran 707 di anjung. Bila aku nampak Azim terlelap timbul rasa risau. Baru minggu lalu aku bawa dia jumpa doktor, masa tu tak demam pun; Sekadar salah makan cirit-birit. Nampak macam sudah kebah.

Aku pun numpang sekaki makan apa yang ada di dapur, sebenarnya aku tak lapar sangat sebabnya sebelum Mila balik aku perabis sisa makanan tengah hari tadi. Mila & Anif leka dengan rancangan di TV. Afiz jam 7:30 malam tadi telah pun kembali berkerja di KFC. Pengurusnya sayang sangat kat Afiz itu. Mahu juga dia berkerja di KFC. Empat jam pun tak kisah. Memang penat nak buat penutupan jualan di KFC. Rasanya sudah dua kali Afiz ke klinik sebab tak tahan lenguh bahunya mengemas restoran KFC setiap malam.

Biasanya KFC tutu jam 10:00 malam, jam 12:00 tengah malam lebih baru Afiz tiba di rumah. Selalunya air minuman memang mereka akan buang, ikut pengurus yang bertugas; ada benarkan pekerjanya ambil, ada yang buang saja. Bagitu juga dengan sayur & kadang-kadang ayam goreng. Biasanya mereka buang sahaja. Jika Afiz bawa balik rasanya kami pun dah jemu makannya. Nak habiskan semangkuk kentang putar itu pun teramat payahnya.

"Ibu Azim tu nampaknya kuat demamnya, moh! kita bawa dia ke klinik."

(emmm Raihan pula msg http://raihanniaga.blogspot.com tetiba sahaja dengar sudah di Lumut ikut suaminya)


Labuci yang dijahit Raihan
untuk hiasan baju cahayamatanya


Aku rasa dahi Azim, mak datok! memang panas amat. Demam apa ini.

"Ayah tak suka sangat ke Klinik Damai ini ibu, sebab doktornya perempuan India, elok ibu yang jumpa doktor itu, nanti katakan yang si Azim ini sudah ada kad rawatan di sana!" Mila diam sahaja, macam orang kena paksa sahaja perginya.

Sampai depan klinik, aku turunkan mereka tiga beranak & aku menuju ke Giant. Klinik itu di Prima Saujana, sebelahan dengan taman perumahan aku sahaja. Aku mencari air isotonik & beberapa barangan dapur.

"Apa kata doktor?.."

"Ayah pun satu kenapa tak tunggu kejap, ini hantar sahaja ke klinik dianya hilang"

"Kenapa pula?"

"Klinik tu tanya nombor akuan, manalah ibu tahu?"

"Lor... takkan sebut sahaja Haridan mereka tak boleh cari, nama Haridan bukan ramai di Kajang, silap-silap dua orang sahaja...!" Setahu aku kalau ke Klinik Mariam di Kajang sebut Haridan pembantu perubatannya dah tahu. Semua kad perubatan anak-anak telah terkumpul dengan kod Haridan itu. Seorang lagi Haridan di Sungai Ramal Luar. Aku kenal baik dengan Haridan yang itu.

"Klinik itu pakai nombor!"

"Pakai nombor itu empat nombor ekor, tukarlah nama klinik itu : Empat nombor ekor!" Saja nak bakar hati Mila. "Habis tu Azim dapat cuti berapa hari?"

"Sehari!"

"Panas teruk begini sehari, biar bebetul, esok kan ke Khamis, apa salahnya cuti dua hari kasi Azim rehat betul-betul!"

"Mahal ubatnya sampai RM40 lebih...!" Mila bersungut. Sebelum ini memang kami tak pernah keluar duit sebab aku ada doktor panel. Bila pencen terpaksa guna duit sendiri & klim di pejabat Mila.

Telahan aku benar, dua hari Azim tak mahu makan, terbaring & sakit sangat nampaknya. Penat kena lap badannya dengan tuala basah, belikan tampal dahinya. Buatkan buburnya, beli lagi bubur di McD. Seleranya tertutup usik sedikit sahaja, itu pun termuntah. Bila sudah makan dua hari antibiotik barulah nampak pulih & beransur bercahaya wajahnya.

"Azim tak boleh nak bangun ke?, kita mandi perbagai"

"Tak bolehlah ayah, bangun rasa nak tumbang, pening..."

Aku tak berani nak sebut kuman ini dapat dari ibunya lantaran jangkitan dari si Mas. Mila cukup marah kalau aku katakan dia yang bawa kuman Selesema B@bi ini. Bunyi sakit itu mungkin amat jijik, sebab itu Mila tak mahu aku kaitkan dengannya, tapi nak buat macam mana. Sejak Mila dikuarantin serentak anak-anakku diserangnya. Demam, selesema, batuk, cirit-birit & muntah. Doktor pun tetap mengatakan ini demam biasa. Syukurlah. Harapanku agar Azim cepat sembuh tak kiralah demam atau sakit apa; memang kasihan & risau melihat anak yang terbaring lesu terputus langsung selera makannya. Afiz & Anif tinggal batuk sahaja.

12 Ogos 2009

Tetapi belum sampai ke tahap darurat kesihatan (Ceritera)


PENGURUS sebuah restoran, Farid Mohamad (kiri) memakai topeng mulut ketika berurus niaga di restorannya di Kuala Lumpur semalam.








KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengakui bahawa wabak selesema babi (H1N1) yang melanda negara ketika ini berada di peringkat serius, namun ia belum sampai ke tahap mengisytiharkan darurat kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walaupun kes kematian H1N1 kini telah mencatatkan angka 51 orang tetapi pihak berkuasa masih mampu memberi rawatan kepada rakyat.

"Memang keadaan sekarang dalam peringkat serius dan kita perlu memastikan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan membantu kita membendung wabak ini daripada menular," katanya selepas melancarkan persidangan Persatuan Bagi Kajian Obesiti Malaysia (MASO) di sini semalam.

Menurut Tiong Lai, perintah darurat bermaksud kementerian perlu melakukan kuarantin terhadap semua komuniti dan segala pergerakan mereka perlu disekat untuk mengawal penularan pandemik tersebut.

"Bagaimanapun, kita belum sampai ke tahap itu," tegas beliau.

Ekoran itu, beliau meminta supaya rakyat di negara ini supaya tidak panik kerana daripada pesakit yang menghidap penyakit H1N1 itu, 98 peratus telah disahkan sihat.

Katanya, apa yang dikhuatiri adalah kumpulan yang berisiko tinggi yang memerlukan rawatan segera sekiranya menunjukkan simptom- simptom dijangkiti H1N1.

Dalam pada itu, katanya, tujuh lagi kematian berkaitan dengan H1N1 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 51 orang.

Kosmo!

Asri Rabbani meninggal - Rebah sewaktu pegang mikrofon pada sesi latihan di RTM



Jenazah Asri dibawa keluar dari rumahnya di Kampung Bukit Kanchong untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam malam tadi.


KUALA LUMPUR - Vokalis dan ketua kumpulan nasyid popular Rabbani, Mohd. Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia secara mengejut selepas rebah di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri di sini semalam.

Beliau yang mesra dengan panggilan Ustaz Asri di kalangan rakan-rakan artis menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.30 pagi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai Bangsar.

Anak kelahiran Bukit Naga, Klang itu tiba-tiba jatuh dan tidak sedarkan diri semasa menjalani sesi latihan untuk persembahan majlis pelancaran program Syahadah musim kelima terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).




Menurut seorang anggota Rabbani iaitu Mohd. Asri Ubaidullah, Asri kelihatan kurang sihat sejak Rabu lalu dan mengadu sakit tekak serta muntah pagi semalam.

"Sejak dua minggu lalu, memang kami agak penat disebabkan jadual dan aktiviti persembahan yang padat memandangkan bulan Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi.

"Pagi tadi (semalam) Allahyarham ada memberitahu bahawa dia sakit tekak dan muntah tetapi beliau segera minum air masak yang dicampur madu bagi mengurangkan masalah yang dihadapi.

"Beliau gagahkan diri juga untuk melakukan persembahan di RTM sempena pelancaran program Syahadah. Tiba-tiba tidak semena-mena sewaktu memegang mikrofon sebelum sempat membuat persembahan di atas pentas, Allahyarham rebah dan tidak sedarkan diri," jelasnya.



Asri mengadu tidak sihat

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

AL-FATIHAH...keluarga dan anggota kumpulan Rabbani
AL-FATIHAH...keluarga dan anggota kumpulan Rabbani

SHAH ALAM: “Balik malam tadi (kelmarin), Asri mengajak saya keluar makan malam, perkara yang jarang dapat kami lakukan bersama kerana kesibukannya. Kami keluar berdua kerana anak-anak sudah tidur dan Asri kata pesan (makanan) apa saja. Selepas itu kami menonton televisyen berdua dan berbual lama.

“Bagaimanapun, ketika keluar hendak menjayakan rakaman program Syahadah di RTM (Radio Televisyen Malaysia), pagi tadi (semalam), Asri mengadu tidak sihat dan batuk lalu dia minta saya menghantarnya ke pejabat Rabbani Productions di Taman Manjalara, Kepong.

“Itu pertemuan terakhir saya dengannya sebelum diberitahu dia sudah tiada, lebih kurang jam 11 pagi,” kata Nur Jannah Shahadan, 39, isteri vokalis utama Rabbani, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, 40, ketika ditemui di rumah keluarga arwah di Kampung Bukit Lanchong di sini.

Asri meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham meninggalkan enam cahaya mata, Mohd Nasimuddin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilham, 10, Soffiyah Munawwarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 5.

Menurut Jannah, walaupun tidak menyangka Asri akan pergi meninggalkannya buat selama-lamanya begitu cepat, dia tetap bersyukur kerana Allah SWT memberikannya kekuatan untuk menerima kenyataan suami tercinta sudah pergi menghadap Ilahi.
“Komitmen Asri terhadap kerjaya seninya menjadikan saya seorang yang berdikari. Allahyarham seorang suami dan bapa yang baik. Tidak ada apa yang terkilan di hati cuma pagi tadi (semalam) sebelum dia keluar rumah, saya tidak dapat memeluknya erat.

“Kenangan paling manis baru-baru ini kami dapat menunaikan umrah bersama-sama sambil berziarah di Istanbul. Asri menyifatkan pemergian kami ke Tanah Suci itu untuk mengerjakan umrah sambil berbulan madu selepas 16 tahun kami berkahwin.

“Insya-Allah, saya akan tabah mengharungi kehidupan ini membesarkan anak bersendirian,” katanya.

Azadan Abdul Aziz, 36, seorang daripada anggota Rabbani dan yang paling rapat dengan Allahyarham berkata, dia dan anggota lain akan meneruskan perjuangan kumpulan nasyid paling popular itu.

“Asri bukan hanya kawan dan rakan seperjuangan dalam dunia seni yang berdakwah menerusi lagu nasyid, malah dia pemimpin dan bapa kepada kami. Namun, Allah lebih menyayanginya dan kami reda pemergiannya.

“Meskipun beliau sudah tiada, semangat dan kekuatannya akan terus bersama kami untuk meneruskan perjuangan Rabbani. Banyak program dirancang pada Ramadan ini terutama persembahan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.

“Selepas ketiadaan Asri, saya akan kumpulkan semua anggota Rabbani untuk membina semula kekuatan bagi menghadapi hari esok. Perjuangan Rabbani dalam bidang seni akan diteruskan.

“Meskipun saya dan anggota lain dapat menerima ketentuan Allah SWT, kami semua tetap terkejut kerana pemergian Asri terlalu mendadak. Sebelum itu kami pernah berbual berdua, macam mana dengan Rabbani jika berlaku apa-apa dengan Asri. Tak sangka pula perbualan kami menjadi kenyataan.

“Pun begitu kami bersyukur kerana Asri pergi dalam keadaan tenang dan wajahnya seperti orang tidur,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 di sini, selepas Maghrib malam tadi, bersebelahan pusara bapanya yang meninggal dunia hampir setahun lalu.

Harian Metro

11 Ogos 2009

H1N1: Seorang anak Tengku Puan Pahang belum pulih


Tengku Hassanal dirawat di wad diraja di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan semalam.



Tunku Azizah Aminah


KUANTAN - Keadaan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan empat daripada lima anakanda baginda yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selepas dijangkiti H1N1 sejak Jumaat lalu kini stabil.

Tunku Azizah Aminah berkata, empat anakanda baginda iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 14; pasangan kembar Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 9, serta Tengku Puteri Jihan Khalsom 'Athiyatullah, 7, beransur pulih.




Namun, menurut Tunku Azizah Aminah, keadaan seorang lagi anakandanya, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, 12, masih belum pulih daripada jangkitan walaupun sudah diberikan suntikan antiviral.

"Selepas diberi suntikan antiviral, keadaan Tengku Muhammad masih membimbangkan. Difahamkan, doktor yang merawat kami juga disahkan dijangkiti H1N1 ," kata baginda semasa dihubungi pemberita di sini semalam.

Tunku Azizah Aminah berkata demikian sebagai mengulas perkembangan kesihatan lima anakandanya selepas dijangkiti H1N1 dan dimasukkan ke HTAA di sini sejak Jumaat lalu. Baginda pula dimasukkan ke hospital yang sama pada hari berikutnya seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar semalam.

Kosmo!

44 pantang larang bakal pengantin (Delima Merkah)

Dari Blog Ustaz Razi

Apabila telah ditetapkan hari perkahwinan bermakna bermulalah pantang larang buat bakal mempelai itu. Apa yg ditetapkan harus diikuti untuk kebaikan diri mereka. Ia bukanlah menjadi kewajipan tetapi sudah menjadi satu budaya dalam masyarakat Melayu. Walaupun bakal pengantin zaman sekarang jarang disebutkan perkara ini kepada mereka, tidak rugi jika apa-apa pantang larang yg difikirkan sesuai masih boleh diikuti.

1. Jangan keluar dengan pasangan selama 40 hari sebelum diijabkabul untuk mengelakkan tohmahan masyarakat. Selain itu ia bertujuan untuk mengawal nafsu. Ia juga untuk menimbulkan perasaan rindu dendam. Perasaan yang timbul akan membuatkan wajah pengantin lebih berseri.

2. Jangan tidur di rumah orang takut terkena ilmu. Ia juga untuk menjaga nama baik keluarga.

3. Jangan bebas keluar kemana-mana kerana takut disantau oleh mereka yg mempunyai niat tidak baik.

4. Jangan makan nasi dengan gulai berkuah beberapa bulan sebelum naik pelamin bagi mengelakkan perut buncit.

5. Elakkan makan ulam yang berbau busuk seperti petai dan jering.

7. Jangan bercermin terutama selepas maghrib ke atas bagi mengelak diri dari perkara sihir.

8. Jangan membuang air kecil dan air besar serentak di dalam air contohnya dalam sungai, kolah kerana ia boleh melemahkan organ seks.

9. Elakkan minum air bergas kerana ia mempunyai gula dan gas yang tinggi dan boleh menyebabkan kencing manis.

10. Kurangkan makan makanan yang manis kerana jika terkena kencing manis, lelaki tersebut menghadapi masalah berat tika bersama.

11. Elakkan mandi malam kerana tidak elok untuk sendi-sendi.

12. Kawal makan iaitu sekali makan setiap hari (mengikut sesetengah adat)

13. Kaum lelaki elakkan memakai seluar dalam yang ketat pada waktu malam dan tidur meniarap kerana tidak bagus untuk organ seks kerana darah tidak mengalir.

14. Elakkan terlalu banyak makan makanan laut kerana ia mengandungi banyak toksid.

15. Tiga bulan sebelum berkahwin, mula membuat urutan supaya pengantin mempunyai tenaga.

16. Amalkan makan telur ayam kampung seminggu 2 kali yang dicampur madu dan lada hitam yg ditumbuk untuk menambah tenaga.

17. Bagi mereka yang banyak angin, minum air halia untuk membuang angin.

18. Belajar ilmu rumahtangga daripada orang yg berpengalaman dan sudah berkahwin tentang rahsia memikat isteri supaya rumahtangga aman dan damai.

19. Jangan memuaskan nafsu dengan cara sendiri.

20. Cukupkan waktu tidur tujuh hingga lapan sehari.

21. Elakkan minum minuman keras dan merokok.

22. Elakkan terkena cahaya matahari kerana dikhuatiri hitam dan tidak berseri pada hari perkahwinan.

23. Elakkan minum air soya kerana ia sejuk dan tidak elok untuk alat kelamin.

24. Amalkan makan jamu supaya malam pengantin tidak mengecewakan.

25. Banyakkan baca surah-surah bagi mengelakkan gangguan syaitan. Sentiasa mengingati Allah.

26. Jangan makan sebebas-bebasnya kerana ketika ini sistem dalaman tidak stabil.

27. Jangan terlalu terdedah kepada keluarga lelaki (simpan diri).

28. Jangan berembun atau keluar malam bagi mengelakkan unsur jahat.

29. Jangan bercelak atau berlangir serta memotong rambut seminggu sebelum ijabkabul.

30. Jika telah nikah gantung tidak boleh bersama.

31. Selepas nikah mesti ada peneman tidur sebelum bersama. Ia bertujuan untuk menghangatkan lagi kemesraan.

32. Bilik lelaki atau wanita jangan dikosongkan. Mesti ada orang atau ahli keluarga terdekat tidur di dalam bagi mengelak dari dikhianati orang.

33. Jangan buat kerja yang berat. Bila pengantin membuat kerja berat, dia akan berasa penat dan mudah terjadinya gangguan emosi.

34. Jaga pertuturan agar tidak menimbulkan rasa sakit hati.

35. Elakkan makan dan minum seperti sayur bersifat sejuk seperti kangkung, bayam, timun, jambu batu dan air kelapa agar muka nampak segar.

36. Jangan cukur kening ditakuti akan menghilangkan seri muka.

37. Sebelum menjadi pengantin, katil kelamin tidak boleh ditiduri oleh pengantin kerana tidak manis.

38. Lempar baju di atas bumbung rumah tanpa diketahui oleh org lain bagi mengelakkan hujan turun ketika majlis berlangsung.

39. Dilarang memandang cermin ketika disolek oleh Juruandam kerana dikhuatiri hilang seri.

40. Kedua pengantin dilarang bercakap ketika bersanding kerana kurang manis dipandang tetamu.

41. Jangan makan kepala ayam nanti mengantuk masa bersanding.

42. Dilarang membuang alis kerana perbuatan tersebut akan menghilangkan seri wajah buat pengantin lelaki.

43. Jangan makan bersulam air kerana dikhuatiri menyebabkan perut menjadi buncit.

44. Elakkan keluar rumah tanpa tujuan kerana angan-angan yang tinggi menjelang perkahwinan dikhuatiri bakal pengantin mengalami kemalangan jika berada diluar.

Orang-orang tua Melayu dahulu selalu mengingatkan anak cucunya supaya tidak melanggar pantang larang. Melanggar pantang larang samalah dengan tidak mendengar nasihat.

Boleh cuba Selesema B@bi (Singgahsana)

Aku baru sahaja menerima e-mel dari kenalanku untuk ramuan bagi vaksin Selesema B@bi. Begini kandungan e-melnya.

Salam..... saya nak kongsi mengubati penyakit Selesema B@bi (H1N1) yang kawan saya beritahu bahan-bahannya adalah:-

1. Air kelapa
2. Kurma
3. Mangkuk

Cara-caranya

1. Masukkan kurma ke dalam mangkuk
2. Tuang air kelapa
3. Biar sejam dua
4. Minum air kelapa bersama makan kurma

Selamat mencuba...

Kepada Mantan PM

Dr. Mahathir Mohamad

Ayahanda Tun;

Salam

Perang itu amat kejam, warga kita mungkin tinggal saki baki sahaja yang mengalami bagaimana takut & cemasnya ketika perang. Saya sendiri hanya sempat mendengar dari mulut arwah emak bagaimana zaman Jepun dulu kita orang Melayu lari ke hutan takut amat dengan kekejaman Jepun. Serba serbi dicatu & terpaksa makan ubi kayu ketika darurat.

Semasa musibah 13 Mei pun saya masih kecil, bahangnya tak sampai ke kampung. Di Kuala Lumpur telah dikenakan perintah berkurung, saya di kampung masih melastik burung merbah lagi.


Tetapi Ayahanda Tun,

Bila sesekali kita bermimpi bumi ini dilanda perang, terasa amat cemas; impaknya sampai berpeluh-peluh kita bila terjaga. Itu baru mimpi.


Maka itu seharusnya rakyat marhaen perlu faham akan teguran kerajaan agar jangan main isu sensitif di negara kita yang perbagai kaum ini. Natijah keegoan mana-mana bangsa pasti akan memarakkan api dendam yang telah pun terpateri di nadi sejarah kita.

Begitu juga hubungan kita dengan negara luar, negara jiran terutamanya. Perlulah amat baik & harmoni. Jangan ada di kalangan kita terlalu ego mencerca negara luar dengan isu yang boleh diselesaikan dengan rundingan & tolak ansur. Seperti isu terkini Manohara yang sekadar masalah keluarga kenapa perlu dipolitikkan. Jika kita terpengaruh dengan You-Tube memang ianya amat menggusarkan hubungan dua negara. Saya amat bersyukur negara kita pandai menangani isu remeh begini.

(Mungkin tidak ramai tahu yang dua orang penuntut Melayu juga menjadi mangsa bom tersebut. Seorang lagi terselamat.)

Jika tak silap saya ialah Cikgu Haji Abdul Razak Hamid yang telah mengajar saya Bahasa Jepun semasa di UiTM. Saya pernah mendengar temubualnya di TV. Memang satu yang misteri beliau boleh selamat dari ancaman maut bom atom ini.

Jika kita dapat menyedarkan dunia yang perang itu adalah satu jenayah sesungguhnya memang kita dapat tidur aman & taklah sampai saban hari kita melihat kekejaman & keganasan berlaku di muka bumi kita ini.

Tentunya Ayahanda sendiri percaya Pengganas dalam masyarakat Islam ujud pun natijah dari peperangan di mana mereka yang hilang moral, martabat & kefahaman diri sangguh melakukan kekejaman dengan menjadikan diri sebagai pejuang berani mati yang terkadang salah sasaran mengakibatkan orang tidak berdosa menjadi mangsa.

Hentikanlah peperangan & kegagasan ini.

Tat kelopak (Harum Aroma)

Tat kelopak





SELAIN nampak menarik kerana bentuknya seperti bunga, tat kelopak ini memang sedap. Jangan tunggu musim perayaan untuk membuatnya. Tidak seperti tat gulung atau dikenali juga sebagai Biskut Nastar, tat kelopak agak mudah dibuat.

Anda hanya perlukan acuan berbentuk bunga pecah enam. Ini bermakna, ia mempunyai enam kelopak di sekeliling. Jika acuan bunga pecah lapan, bermakna kelopaknya lebih kecil. Namun, anda perlu berhati-hati kerana kelopak begini mudah patah bila diubah dari papan pencanai ke dalam acuan.

Anda juga mesti sediakan tin patty yang mempunyai lubang-lubang kecil. Alas setiap satu dengan kertas atau mangkuk kek. Pilihlah yang sama saiz dengan lubang dan bercorak menarik. Dengan cara itu sahaja, tat akan terbentuk dengan elok.

Setiap kali membuat sebarang jenis tat, anda tentu mahukan inti yang enak. Inti akan menentukan sama ada tat anda sedap atau sebaliknya. Jika tidak mahu membeli yang sudah siap di kedai, anda perlu memilih buah nanas yang ranum dan manis. Namun begitu, pastikan ia tidak terlalu ranum.

Nanas yang terlalu masak mengandungi terlalu banyak air. Ini menyukarkan bila anda hendak memarutnya sendiri. Jika anda membuat dalam kuantiti yang banyak, bolehlah digunakan food processor dengan mata pisau pemarut yang sesuai. Kemudian, tapiskan air nanas. Ini untuk mengelakkan daripada memasaknya terlalu lama.

Kenapa sesetengah tat begitu rapuh sehingga ia cair di dalam mulut? Ini ada kaitan dengan jenis mentega yang anda gunakan. Mentega terbaik tentulah yang termahal. Ia diperbuat daripada krim atau lemak susu. Mentega tulen ini mudah cair atau lembik bila dibiar pada suhu bilik jika dibandingkan dengan mentega campuran.

Ada dua jenis mentega iaitu salted dan unsalted. Jenis salted mempunyai campuran garam dan lazimnya digunakan bila membuat pastri atau biskut. Manakala mentega unsalted yang lebih tawar sesuai untuk membuat kek. Namun kek tertentu masih memerlukan campuran garam untuk menaikkan rasanya.

Mentega campuran adalah kombinasi krim susu dengan minyak sayuran. Teksturnya tidak sehalus mentega tulen dan sukar untuk cair. Sesuai digunakan untuk membuat krim atau aising mentega. Ini kerana aising mentega perlu dipukul hingga gebu supaya ia ringan dan sedap dimakan.

Seperti membuat biskut atau tat lain, jangan pukul marjerin, mentega dan gula terlalu lama. Ini akan membuat biskut kembang dan tidak sempurna bentuknya. Memadai memukul dengan senduk kayu sahaja. Sebaik sahaja nampak sebati, terus masukkan bahan-bahan lain dan gaul perlahan.

Setelah memasukkan hampir semua bahan ayak, uli dengan tangan supaya menjadi doh. Jangan uli terlalu lama atau seperti membuat doh karipap. Haba dari tangan akan membuatkan doh tat menjadi berminyak dan menyukarkan bila anda hendak menerapnya.

Sesetengah orang memang mempunyai haba yang banyak di dalam badan dan mereka juga sukar bila membuat hiasan fondan pada kek. Ini kerana gula aising mudah berair bila mereka menyentuh atau mengulinya terlalu lama. Bagi mereka yang mempunyai masalah seperti ini, hendaklah mencelupkan tangan di dalam bekas berisi air ais. Kemudian lap dan mulakan proses menguli. Ia perlu dilakukan berulang kali sepanjang masa.

Alas papan pencanai dengan dua lapisan plastik supaya mudah untuk mencanai dan menerap. Jika ada doh yang terletak pada plastik semasa anda mengalihkannya ke tepi, ini bermakna doh anda agak lembik dan perlu dicampur dengan tepung. Jika doh melekat pada acuan, celupkan sedikit ke dalam tepung.

Harus diingat bahawa biskut mesti dibiarkan sejuk di atas redai sebelum disimpan. Ini akan memastikan ia tahan lama dan tidak lemau atau masuk angin. Jenis biskut yang mempunyai campuran kacang juga tidak boleh dicampur dengan biskut biasa tanpa kacang. Alaskan setiap lapisan tat dengan kertas kalis minyak supaya tidak melekat.

Berbohong secara kompulsif (Delima Merkah)


Apabila anak berbohong secara kerap ia adalah petanda awal masalah yang lebih serius.



KANAK-KANAK berbohong. Inilah satu kenyataan yang perlu dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa. Tiada arahan atau galakan diperlukan.

Berbohong seakan sudah sebati dalam jiwa sesetengah kanak-kanak. Memperbesarkan masalah, memutar-belitkan kebenaran, mereka cerita dan menafikan kenyataan adalah antara yang akan dilakukan sewaktu bercakap bohong.

Namun, jika kekerapan seseorang anak berbohong menjadi kompulsif dan tanpa sebab, ibu bapa mungkin perlu 'campur tangan'.

Apabila kitaran penipuan bermula, ia akan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap si anak, sekali gus menyukarkan kitaran tidak sihat ini dihentikan.

Oleh sebab itulah, ibu bapa perlu bertindak meneroka sebab anak berbohong dan perlu mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki tabiat buruk itu.

Mungkin ramai yang tidak tahu berbohong juga adalah petanda awal kepada masalah yang lebih serius.

Berbohong cara kompulsif biasanya dikaitkan dengan penderitaan anak ekoran gangguan masalah sosial pada peringkat awal. Khasnya akibat penyakit Gangguan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan gangguan perilaku.

Dalam sesetengah kes, tabiat berbohong secara kompulsif turut disertakan dengan masalah kelakuan yang lain. Ini termasuk mencuri, ponteng sekolah, bersikap ganas, agresif dan kemahiran bersosial yang lemah.

Masalah seperti ini biasanya bercambah daripada rasa tidak selesa dalam situasi bersosial, bertindak secara spontan dan tidak menumpukan perhatian.

Apabila berlaku situasi seperti ini, penglibatan pakar-pakar kaunseling misalnya, amat penting untuk membantu kanak-kanak ini. Kaunselor-kaunselor dapat menolong melengkapkan ibu bapa dengan gaya mendidik serta pemahaman terhadap anak yang lebih spesifik.

Mengapa berbohong?

Terdapat beberapa sebab mengapa kanak-kanak bercakap bohong secara kompulsif.

Takut

Perasaan takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong. Takut dimarahi ibu atau takut kebebasan yang diberikan akan dirampas. Ketakutan yang rasional atau tidak juga boleh memberi kesan pembohongan serupa. Sebab apa yang diimpikan oleh anak hanyalah 'perlindungan' sementara daripada hukuman.

Namun, terdapat dua perkara penting di sini. Pertama, anak yang berbohong besar kemungkinannya tahu mereka telah melakukan sesuatu kesalahan. Kedua, ibu bapa perlu menerima pembohongan itu kerana anak sememangnya takut berdepan dengan reaksi mereka.

Tidak hairanlah apabila teriakan bertalu-talu, sikap pemarah dan ibu bapa yang terlalu melindungi anak membuatkan mereka ketakutan. Memberi peluang untuk berkompromi dan mendengar sebelum menyalahkan anak membolehkan komunikasi dua hala berlangsung.

Tabiat

Kata orang, semakin kerap kita mempraktikkan sesuatu, semakin mudahlah ia bertukar menjadi satu tabiat. Begitu juga dengan bercakap bohong. Pembohongan berulang biasanya diperkukuhkan dengan pendekatan yang agresif. Salah satu kaedah paling efektif untuk menyelesaikan pembohongan berkala adalah memberi peluang kepada anak untuk menarik balik kata-kata bohong itu. Ini harus dilakukan tanpa rasa takut akan akibat yang bakal dihadapinya.

Meniru

Sebahagian besar anak 'terpanggil' untuk berbohong setelah melihat orang lain melakukannya. Dilema yang dihadapi oleh ibu bapa adalah mampukah mereka melindungi anak daripada berbohong. Seandainya sukar untuk ibu bapa mengawal anak daripada meniru pembohongan di luar rumah, maka buangkanlah tabiat berbohong anda terlebih dahulu. Lebih berkesan jika mereka tidak meniru tabiat berbohong di rumah dan menjadikannya tabiat.

Perlukah saya menghukum?


PERASAAN takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong.


Terdapat beberapa perkara yang perlu ibu bapa pertimbangkan sebelum menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan anak.

1. Hukuman sememangnya direka untuk mengurangkan perilaku yang teruk. Masalahnya, hukuman tanpa kasih sayang dan arahan yang betul adalah sia-sia. Dalam sesetengah situasi, hukuman pula menyumbang kepada tindakan melampau dan penderaan.

2. Menghukum anak atas pembohongan yang berobjektifkan ketakutan atau akibat meniru bukan satu kaedah efektif dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, mengenal pasti punca masalah adalah lebih praktikal berbanding berdepan dengan simptom-simptomnya.

3. Hukuman patut dijadikan pilihan terakhir dan bukan dilakukan mengikut emosi. Penggunaan bahasa dan pendekatan yang lebih lembut biasanya lebih berkesan. Beritahu anak dalam nada rendah seperti, "Tahu tak, mak dan ayah rasa kecewa apabila Atan berbohong?"

Yang penting, ketahuilah niat setiap ibu bapa adalah untuk melihat anak bercakap benar. Justeru, gunakanlah pendekatan yang lebih baik agar anak belajar daripada kesilapannya.

nnn Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://webhome.idirect.com/~readon/lies.html.

Menjadi tumpuan pelancong Arab (Santai)

Sejak beroperasi pada tahun 2008, zoo yang memberi peluang kepada pengunjung untuk memegang dan melihat haiwan dengan lebih dekat itu telah menerima 1.2 juta kunjungan.



RIUH-RENDAH bahagian rimba dengan jeritan dan gelak ketawa kanak-kanak. Terpancar wajah gembira dan teruja pada wajah mereka tatkala melihat telatah seekor monyet albino yang begitu aktif.

Sesekali monyet berbulu putih itu mencapai barang dan melompat ke badan pengunjung. Sehinggakan lensa kamera jurufoto, Djohan Shahrin yang sedang asyik merakamkan aksinya turut hampir direntap.

Semuanya kembali tenang selepas ranjer zoo, Addy Zainuddin, 23, pantas menghalang dan mendukung kembali monyet itu daripada terus 'mengganggu' pengunjung.

Namun tidak sampai beberapa saat, pengunjung kembali ketawa melihat si cilik yang obses pada monyet albino tersebut. Kanak-kanak perempuan berbangsa Arab itu seboleh-bolehnya mahu merampas monyet yang berada dalam pelukan Addy.

Lagaknya seperti cukup geram dengan monyet yang comel, lincah dan mencuit hati.

"Saya suka dukung dan memeluknya kerana gayanya tidak ubah seperti anak patung. Walaupun ia aktif ke sana dan ke mari, saya tidak takut untuk mendekati, malah sempat bergambar bersama," kata Sara Mohammed Al-Saud, 8, dalam nada gembira.

Selepas bermesra dengan monyet, Sara berjalan pula ke sudut yang menempatkan sangkar ular albino. Bukan sekadar melihat dari luar, Sara sebaliknya meminta kepada ranjer Addy agar mengeluarkan ular berwarna kuning dan putih itu untuk diletakkan di bahunya.


ADDY bersama monyet albino di Zoo Sunway Lagoon.

Itulah situasi menarik yang berlaku di kawasan Rimba, Zoo Interaktif Hidupan Liar di Taman Tema Air Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor. Selain Bahagian Rimba, Pet Village, Aviary (burung), Nature Walk, Village atau Butterly juga meriah dengan kunjungan pelancong asing.

Sejak beroperasi pada tahun 2008, zoo yang memberi peluang kepada pengunjung untuk memegang dan melihat haiwan dengan lebih dekat itu telah menerima 1.2 juta kunjungan.

"Biarpun baru setahun beroperasi, sambutan pengunjung cukup memberangsangkan. Biasanya, zoo interaktif ini akan sesak pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

"Namun begitu dalam bulan ini, rata-ratanya ia dikunjungi oleh pengunjung dari Arab. Mereka merupakan kumpulan pengunjung terbesar yang mengagumi dan teruja melihat haiwan tersebut dari dekat," jelas Pegawai Perhubungan Awam Kanan Sunway, Loke Kah Peng, sambil mengajak beberapa orang kanak-kanak Arab memberi makanan kepada pelbagai spesies burung.


SEORANG pelancong dari Arab Saudi berpeluang mendekati dan memberi makan burung di Zoo Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor.

Berbicara tentang zoo, ada yang pasti mengeluh kerana hanya mampu melihat haiwan pada jarak lima hingga 10 meter. Itu pun dari luar pagar. Namun situasi tersebut jarang berlaku di zoo interaktif Sunway.

Dengan adanya pemantauan daripada 17 orang ranjer yang bertugas di sembilan bahagian, pengunjung berpeluang memegang, mencium dan memeluk haiwan kesukaan tanpa ragu-ragu.

Bagi mencipta kelainan dan keunikan, zoo interaktif seluas lapan hektar itu tidak menempatkan 150 spesies haiwan di dalam kandang. Sebaliknya ia dibiar bergerak bebas di dalam kawasan habitatnya.


HESSA AHMED ALI dari Dubai memberi makan arnab di Zoo Sunway Lagoon.


Antaranya arnab, ayam belanda, kambing, burung unta, kura-kura, monyet, kuda, kanggaru walabi, burung merak, burung kakak tua dan bermacam-macam lagi.

Jelas ranjer Addy yang berpengalaman lebih empat tahun dalam dunia pengurusan haiwan, pihak zoo sengaja membiarkan haiwan-haiwan jinak itu bebas berkeliaran. Dengan cara itu, pengunjung dapat 'berkenalan' dengan haiwan yang selama ini hanya dapat dilihat dalam majalah atau di kaca televisyen sahaja.


KOSTUM ala-Tarzan yang dipakai oleh kakitangan Sunway dapat dilihat di sekitar kawasan Zoo Sunway Lagoon.


Bagaimana sekiranya haiwan 'dipicit' atau dicekik pengunjung yang geram melihatnya? Menurutnya, sebab itulah setiap kawasan mempunyai ranjer yang bertugas. Ranjer akan memantau dan menasihati pengunjung sekiranya mereka didapati menyakiti fizikal haiwan tersebut.

"Selain itu, kumpulan ranjer akan terlebih dahulu memberi taklimat kepada pengunjung khususnya kanak-kanak, sebelum mereka melakukan sebarang aktiviti dan melawat persekitaran zoo. Mereka dinasihatkan supaya tidak memicit, mencabut bulu dan memberi makanan yang dibawa dari luar kepada haiwan.

"Ini kerana haiwan di sini mempunyai diet dan pemakanan tersendiri. Paling penting, pengunjung dilarang sama sekali memasukkan jari ke dalam kandang bagi mengelakkan masalah digigit haiwan," terang Addy lagi.

Sementara itu, Lama Mohammed, 15, yang berasal dari Arab Saudi tidak henti-henti memuji kreativiti dan konsep zoo interaktif Sunway.




Dia yang mengambil masa hampir tiga jam berada di dalam zoo, berkata, kunjungannya ke sini memberikan pengalaman manis yang sukar dinikmati di negara sendiri.

"Negara Arab juga terdapat beberapa buah zoo dan bermacam-macam jenis haiwan selain unta, tetapi konsepnya berlainan. Kami hanya dapat melihat haiwan dari luar kandang. Aktiviti bergambar pun tidak menyeronokkan kerana haiwan terlalu jauh.

"Namun di zoo interaktif ini, saya dan adik-beradik merasai pengalaman membelai, memeluk dan bergambar dengan haiwan kesukaan terutamanya kura-kura dan monyet.

"Bagi sesiapa yang takut cedera, usah khuatir kerana ranjer zoo akan mengajar cara yang betul untuk mendekati haiwan," kata Lama yang memuji tindakan pihak zoo meletakkan papan informasi haiwan di setiap kandang.

Kosmo!