iDAN

29 Mei 2009

Waheeda: Akhil minta saya bersabar (Ceritera)



Oleh WAHIDA ASRANI

Waheeda lebih selesa untuk tidak mengeluarkan sebarang komen lagi tentang kontroversi ini

PETALING JAYA: "Saya rasa setakat ini saya masih boleh bersabar. Ini hal mereka suami isteri, jadi selesaikanlah sendiri," luah Waheeda berhubung kontroversi yang melanda dirinya ketika ini.

Pendedahan isteri penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy, iaitu Maizawati Zainal yang mengaku suaminya memang mempunyai hubungan dengan penyanyi itu nampaknya semakin 'panas' apatah lagi bila Maizawati dilihat semakin 'berani' mengeluarkan kenyataan kepada media tentang masalah yang melanda rumahtangganya itu sehingga dia mengambil keputusan untuk bercerai dengan Akhil.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan penyanyi itu kini apatah lagi Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media.

Kata Maizawati lagi, dia terpaksa mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru dan kes berkaitan perceraiannya dengan Akhil akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

Menurut Waheeda yang dihubungi hari ini, dia hanya mampu berserah kepada Allah agar perkara ini akan berakhir jua.

"Saya tak ada apa untuk cakapkan lagi. Biarlah saya terus bersabar selagi saya mampu. Apa saja tohmahan orang, saya redha saja.

"Malah, Akhil sendiri ada menghubungi saya ketika hal ini mula tercetus dan minta saya banyak-banyak bersabar. Dia beritahu saya 'ini bukan urusan kamu Wawa, ini urusan aku. Biar aku yang selesaikan'.

"Alhamdulillah, saya tetap kuat teruskan kehidupan seperti biasa. Keluarga dan kawan-kawan sentiasa tidak putus memberikan sokongan.

"Tapi seperti yang saya pernah katakan, setiap orang ada tahap kesabarannya. Jadi, biarlah dia (Maiza) nak cakap apapun sekarang ini.

"Cuma, saya juga ada hati dan perasaan. Jangan sampai saya terpaksa buka mulut lagi," kata Waheeda yang menambah, dia sendiri tidak tahu di mana Akhil berada ketika ini.

Ditanya sama ada dia sebenarnya tidak terlepas berasa tertekan gara-gara kontroversi itu, dalam nada perlahan, Waheeda menjawab:

"Saya serah kepada Allah. Hanya itu yang terbaik boleh saya katakan."

28 Mei 2009

Dirantai 2 bulan (Ceritera)



Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

SUBANG JAYA: Mereka hanya diberi sebuku roti untuk sajian selama seminggu manakala air diteguk daripada air paip tandas ketika dikurung dalam lokap buatan sendiri antara 17 hari hingga dua bulan akibat gagal melunaskan hutang along.

Dengan bilik sebesar tiga meter persegi, kaki, tangan dan leher ketiga-tiga mangsa along itu turut dirantai bagaikan binatang.

Begitulah nasib tiga lelaki terbabit yang terpaksa menjalani hukuman dalam lokap buatan sendiri yang dibina di tingkat bawah sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan PBS 14/2, Perindustrian Bukit Serdang di sini, selepas gagal melunaskan pinjaman berkenaan.

Malah, ketika ditahan dalam lokap umpama Penjara Guantanamo di Cuba itu, semua ‘banduan’ terbabit diseksa dengan kaki, tangan dan leher dirantai pada sebatang tiang dalam dua lokap berkeluasan tiga meter persegi setiap satu.


Bagaimanapun, seksaan yang dijalani tiga lelaki terbabit berakhir semalam apabila diselamatkan sepasukan polis.

Wartawan dan jurugambar yang diberi kebenaran memasuki tempat tahanan mangsa along itu terhidu bau busuk teramat sangat berikutan lokap itu dibina tanpa saluran udara dan keadaan lembap serta berlumut.

Sebaik ternampak media merakam gambar mereka, dua lelaki dalam satu lokap menutup muka masing-masing.

Seorang lagi yang dikenali sebagai Lim kelihatan sebak apabila mengetahui dia berjaya diselamatkan pihak berkuasa.

Berdasarkan panjang rantai itu, mereka hanya boleh bergerak hingga ke tandas saja.

Ketika ditemui, ketiga-tiga mereka dalam keadaan lemah dengan kesan lebam seluruh badan akibat dipukul dan dirotan apabila membuat bising atau cuba menarik perhatian orang ramai di luar bangunan rumah kedai itu.

Lim, 49, yang tidak keberatan untuk ditemubual wartawan, menyatakan dia ditahan di situ sejak dua bulan lalu, manakala dua lagi peminjam masing-masing lebih sebulan dan 17 hari.

Katanya, dia meminjam RM1,500 daripada along sebulan sebelum ditahan dan setakat ini melangsaikan RM500.

“Namun, awal April lalu, kumpulan along datang ke rumah saya untuk menuntut baki hutang, tetapi saya tiada wang dan meminta mereka berjumpa waktu petang di sebuah pasar raya di Semenyih, Selangor.

“Dalam pertemuan itu, saya memaklumkan tidak mampu membayar hutang menyebabkan konco along menculik dan menahan saya dalam lokap ini.

“Sepanjang ditahan, saya dirantai pada kaki, tangan dan leher serta dipukul setiap hari. Tindakan itu dibuat bagi menyeksa saya dan dengan cara itu, saya akan melunaskan hutang mereka,” katanya yang menangis akibat tidak tahan diseksa.

Dia berkata, setiap seorang hanya diberi sebuku roti untuk sajian selama seminggu manakala air minuman diambil daripada air paip tandas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata bertindak atas laporan kehilangan seorang daripada mangsa berkenaan, polis berjaya menahan dua ahli sindiket along di hadapan bank di Desa Jaya Kepong, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 29 dan 33 tahun itu kemudian menunjukkan tempat ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan.

“Dalam serbuan itu, polis menemui bilik kecil di bahagian belakang premis berkenaan yang diubah suai menjadi dua lokap berasingan.

“Bagaimanapun, polis gagal membuka pintu besi terbabit dan terpaksa meminta bantuan bomba kerana tidak mempunyai peralatan untuk memotong besi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Selepas pintu besi itu dibuka, polis menemui ketiga-tiga mangsa dalam keadaan lemah dengan masing-masing dirantai dalam dua lokap berkenaan.

Menurut Abdul Rahim, siasatan awal mendapati mangsa pernah dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing di Kajang, Gombak dan Segamat, Johor.

“Kami percaya suspek mengambil kesempatan menggunakan kekerasan melampau walaupun hutang mangsa difahamkan antara RM1,500 dan RM4,000.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana membuat kurungan secara salah dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berada di tempat kejadian.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan mengambil masa kira-kira dua jam untuk membuka pintu besi lokap terbabit dengan menggunakan mesin pemotong besi.

Mangsa pertama diselamatkan kira-kira jam 6.30 petang selepas pihak bomba memotong rantai besi di tangan, kaki dan lehernya manakala dua lagi mangsa keluar kira-kira 10 minit kemudian sambil diiringi pasukan perubatan.

Harian Metro

Neraka along: Peminjam tak bayar hutang dikurung, dilayan macam hamba

Oleh Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my

DUA dari tiga peminjam yang dirantai leher dikurung along di Seri Kembangan, Serdang sebelum diselamatkan polis, petang semalam.

Peminjam tak bayar hutang dirantai, dilayan macam hamba

SUBANG: Bagaikan hamba abdi - demikian keadaan tiga lelaki mangsa along yang dirantai dan dikurung dalam dua 'lokap' di tingkat bawah sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan PBS 14/2, Pusat Perindustrian Bukit Serdang di sini, sebelum diselamatkan polis petang semalam.

Seorang daripada 'banduan' along itu ditahan sejak dua bulan lalu, seorang lebih sebulan manakala seorang lagi kira-kira 10 hari. Ketiga-tiga mereka diikat dengan rantai besi pada leher, tangan dan kaki ke sebatang tiang dalam 'neraka' itu.

Tiga lelaki itu, yang amat lemah dengan kesan lebam dan luka, dipercayai dirotan di beberapa bahagian badan kerana membuat bising atau cuba menarik perhatian orang ramai di luar bangunan supaya menyedari mereka dikurung.

Mereka hanya diberi sebuku roti seorang sebagai makanan selama seminggu, manakala air minuman disalurkan dari paip tandas yang dibina khusus untuk lokap berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata serbuan ke bangunan itu dibuat pada jam 2.30 petang susulan penahanan dua along di depan sebuah bank di Desa Jaya, Kepong kira-kira tiga jam sebelum itu.

Ketika ditahan kedua-dua suspek berusia 30 dan 33 tahun itu dipercayai baru selesai menjalankan urus niaga berkaitan pinjaman.

"Selepas disoal siasat, mereka membawa polis ke premis rahsia itu, yang dipercayai digunakan sebagai lokap untuk menahan dan mendera peminjam yang gagal membayar hutang. Ketiga-tiga mangsa itu ditemui dengan tangan, kaki dan leher mereka dirantai dalam sebuah bilik di belakang premis itu. Keadaan mereka amat teruk selepas dibelasah tanpa perikemanusiaan.

"Kami terpaksa meminta bantuan anggota bomba dan penyelamat kerana tidak mempunyai peralatan untuk memotong rantai mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam. Hadir sama Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar.

Abdul Rahim mengesahkan semua mangsa yang ditahan itu dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing di Kajang, Gombak dan Segamat, Johor, termasuk seorang sejak 10 April lalu.

"Siasatan awal mendapati mangsa itu hanya berhutang antara RM1,500 dan RM4,000, tetapi mereka dilayan seperti anjing hanya kerana gagal menjelaskan pinjaman," katanya. Semua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan kesihatan.

Tinjauan Berita Harian mendapati anggota bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan mesin pemotong besi serta masa kira-kira dua jam untuk menyelamatkan semua mangsa dari lokap di dalam premis yang tidak mempunyai sistem pengudaraan sempurna itu.

Mangsa pertama hanya dapat diselamatkan kira-kira jam 6.30 petang, kira-kira empat jam selepas mereka dijumpai manakala dua lagi dilihat keluar bangunan itu 10 minit kemudian sambil diiringi pasukan perubatan.

Salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Lim, 49, dari Kajang, berkata dia diculik along di sebuah pasar raya di Semenyih, selepas perbincangan untuk menyelesaikan hutangnya tidak dapat diselesaikan, pada 10 April lalu.

"Sejak hari itu, saya sering dipukul malah diperlakukan seperti anjing kurap hanya kerana hutang sebanyak RM800," katanya sambil menangis dan terlalu lemah hingga tidak berdaya untuk berdiri sendiri.

Berita Harian

27 Mei 2009

Hock Nan mesti disingkirkan (Ceritera)

Oleh HATA WAHARI dan HASNURUL MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 26 Mei - Datuk Dr. Teng Hock Nan mesti disingkirkan sebagai Pengerusi Gerakan Pulau Pinang kerana mengeluarkan saranan amat berbahaya serta boleh menjejaskan keselamatan negara.

Menurut Naib Presiden Gerakan, Mejar (Kehormat) Huan Cheng Guan merujuk saranan 'rakannya' itu supaya kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis, Chin Peng pulang ke Malaysia juga berbahaya.

"Pemimpin dan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi amat dukacita dengan sentimen yang cuba dibangkitkan oleh Hock Nan dan mahu beliau berhenti mengeluarkan kenyataan yang akan memberi kemudaratan kepada parti dan rakyat.

"Sekiranya Hock Nan terus berpegang kepada pendiriannya agar Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia maka pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) harus mengambil tindakan tegas terhadap beliau.

"Ahli-ahli Gerakan di peringkat akar umbi juga mahu tindakan diambil terhadap Pengerusi Gerakan Pulau Pinang itu yang menyebabkan parti dipandang serong dan dianggap buta sejarah," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Cheng Guan mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mahu sentimen bahawa komunisme mempunyai nilai-nilai nostalgia dan positif dilupuskan sama sekali dalam pemikiran seluruh rakyat Malaysia.

Sambil menyuarakan rasa amat terkejut dengan tindakan pihak tertentu yang cuba membangkitkan sentimen itu, Rais mengingatkan bahawa adalah satu bencana kepada negara ini jika ada pihak menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia termasuk menerusi media cetak dan blog.

Rais juga menyelar saranan Hock Nan agar kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia yang disifatkan beliau satu tuntutan amat keterlaluan yang cuba mengambil kesempatan ke atas gagasan 1Malaysia.

Cheng Guan menegaskan, pandangan Hock Nan itu yang telah menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli-ahli parti serta rakyat, merupakan pandangan peribadi dan bukan parti.

"Tindakan Hock Nan ini amat dikesali dan sepatutnya beliau tidak harus mengeluarkan kenyataan tersebut tanpa berbincang mahupun merujuk kepada peringkat akar umbi dalam parti.

"Kenyataan itu amat berbahaya dan ia bersifat peribadi dan bukannya dari parti walaupun beliau merupakan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang," katanya.

Cheng Guan memberitahu, beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan keras ini memandangkan Gerakan adalah sebuah parti politik berbilang kaum dan ia menjaga kepentingan semua kaum di negara ini.

Beliau yang juga Pengarah Tugas Khas Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) memberitahu, rakan-rakan seperjuangan dalam parti dan bekas tentera yang pernah berjuang di medan perang bagi mempertahankan negara daripada diperintah oleh komunis turut melahirkan rasa marah terhadap kenyataan Hock Nan itu.

"Saya merupakan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 13 tahun dari 1980 hingga 1993 dan telah melibatkan diri dalam pelbagai operasi mencari dan menyelamat di sempadan Malaysia-Thailand menyaksikan sendiri kekejaman yang dilakukan anggota-anggota komunis.

"Bayangkan dalam setiap operasi tentera untuk menjaga keselamatan negara ramai anggota pasukan keselamatan dari pelbagai kaum maut, hilang anggota badan serta pelbagai lagi kecederaan dialami akibat perbuatan anggota-anggota komunis itu yang tidak berperikemanusiaan.

"Adakah kita hendak membiarkan orang yang telah melakukan kekejaman itu pulang ke negara ini, tindakan untuk membawa pulang Chin Peng tidak harus dilakukan dan saya secara peribadi menentang sebarang usaha ke arah itu," katanya.

Cheng Guan yang kini merupakan anggota Askar Wataniah berpangkat mejar menegaskan, kekejaman anggota-anggota komunis bukan terhad kepada satu kaum sahaja tetapi ia melibatkan semua kaum baik orang Melayu, Cina dan India yang tidak mahu menyokong perjuangan mereka.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, biarlah komunis berkubur dan jangan dilaksanakan sebarang usaha dibuat untuk mengenang serta mengagungkan perjuangan komunis yang jelas telah menyebabkan rakyat negara ini sengsara.

Utusan

Kami lebih risau kelibat Rooney: Pique (Sukan)



ROONEY keluar dari pesawat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino di Rome, kelmarin.

'Ronaldo tetap diawasi sepenuhnya'

ROME: Barcelona akur bahawa Wayne Rooney adalah pemain Manchester United yang paling digeruni mereka menjelang final Liga Juara-Juara Eropah, hari ini (awal pagi Khamis waktu Malaysia).

"Apabila dia memberi tumpuan kepada permainan, dia adalah penyerang yang sukar dikekang," kata pemain pertahanan, Gerard Pique mengenai bekas rakan sepasukannya itu.

"Saya belum pernah menyaksikan seorang pemain yang mantap seperti Rooney cara dia melepasi kepungan lawan, kekuatan permainannya serta larian dilakukan pada minit pertama sehingga ke wisel penamat.

"Dia juga memiliki rembatan padu yang bertaraf dunia."



Firasat Pique itu turut dikongsi bersama pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta yang bersama Thierry Henry kini tampak akan berada dalam kesebelasan pasukan di Rome nanti.

"Rooney beraksi dengan corak permainan keras. Dia memberi kami banyak masalah dalam separuh akhir, tahun lalu.

"Kami tidak boleh melakukan kesilapan kerana mereka memiliki gempuran berbisa di depan," kata Iniesta.

Apapun, kepulangan Iniesta dan Henry harus memberi kelab dari Catalan itu satu suntikan semangat baru untuk berdepan barisan didik Alex Ferguson yang nyata mantap pada setiap sudut permainan mereka, musim ini.

"Mereka tampak mantap dan selesa sejak musim bermula. Kini kami akan mendapatkan semula khidmat mereka dan harap tiada apa-apa akan menghalang mereka nanti," kata pemain tengah, Xavi. � Agensi

Tersalah langkah buruk padahnya

TONGGAK United, Cristiano Ronaldo tiba bersama pasukannya di hotel penginapan di tengah kota Rome terpaksa diberi kawalan ketat elak diserbu peminat.

Pertahanan United, Barcelona dibebani tugas kekang serangan Ronaldo, Messi

ROME: Apabila dua pemain terbaik di dunia bertembung dalam final Liga Juara-juara Eropah, hari ini (awal pagi Khamis waktu Malaysia), pemain yang diberi tanggungjawab mengekang Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi harus sedar tidak berlaku sebarang kesilapan yang boleh membawa padah.

Juara bertahan, Manchester United akan melangkah ke Stadium Olimpik, Rome bagi pertarungan akhir untuk berdepan Barcelona yang sudah pun mengaibkan gergasi Eropah, Bayern Munich dan Real Madrid, musim ini.

Ia menjanjikan satu pertarungan menarik antara dua pasukan yang berada pada kemuncak prestasi masing-masing dan turut membabitkan pertentangan peribadi di antara dua penyerang terbaik dunia yang mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Bintang United, Ronaldo ketika ini mempunyai kelebihan berdasarkan kejayaan memenangi anugerah pemain terbaik dunia dan Ballon d'Or pada 2008 ketika pasukannya mensasarkan untuk mempertahankan trofi Liga Juara-juara dengan mengalahkan skuad Messi, Barcelona.

Pakar sepakan percuma, Ronaldo meledakkan sejumlah 42 gol dalam semua pertandingan musim lalu, tetapi jaringan kemenangan ke atas Porto di tempat lawan dan dua ketika berdepan Arsenal dalam kancah Liga Juara-juara musim ini berjaya menjawab kritikan yang lemparkan mengenai kematangannya dalam menghadapi perlawanan besar.

Bek tengah Barcelona, Yaya Toure mengakui skuad Sepanyol itu tidak boleh membenarkan Ronaldo bebas untuk mengawal bahagian tengah seandainya mereka mahu memenuhi cita-cita memenangi pertandingan yang kali terakhir dijulang pada 2006.

"Mereka sangat kuat dari segi fizikal dan memiliki pemain bola sepak ternama dalam diri Cristiano Ronaldo serta memenangi Liga Juara-juara tahun lalu. Kami tahu ia satu pertarungan sukar," kata pemain antarabangsa Ivory Coast berusia 26 tahun itu.

"Ia pasti perlawanan hebat dan penting bagi kami bermain pada tahap 100 peratus kerana kurang daripada itu anda tidak boleh mengalahkan pasukan ini."

Tatkala Ronaldo boleh menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana penjaga gol dengan sepakan percumanya, Messi pula boleh memberikan pertahanan mimpi ngeri dengan keupayaannya untuk mengalahkan lawan dengan sentuhan lembut menggunakan kaki kirinya.

Pertahanan United, Patrice Evra, 28, menegaskan tidak akan ada sebarang persediaan istimewa untuk menangani pemain sayap Argentina ini, tetapi berdepan pemain seperti Ronaldo dan Wayne Rooney setiap hari dalam latihan sudah mencukupi. � AFP

'Barca berhak jadi juara'

BARCELONA: Berpandu kepada kualiti dimiliki pemain serta corak permainan bola sepaknya, Barcelona seharusnya berhak menjulang trofi Liga Juara-juara Eropah, hari ini, menurut bintang tengahnya, Xavi Hernandez.

Kelab Catalan itu mendapat pujian di seluruh Eropah bagi cara mereka melakarkan kejayaan berganda liga dan piala domestik dengan kekal kepada tradisi mereka itu bermain corak bola sepak terbuka dan menyerang.

Pep Guardiola mengambil alih daripada Frank Rijkaard pada musim panas lalu dan mengubah nasib skuad ini yang berada dalam kemerosotan sejak memenangi Liga Juara-juara pada 2006.

Dengan Ronaldinho dan Deco dijual, Guardiola berjaya mengembalikan semula motivasi ke dalam skuad ini diketuai bintang kelahiran tempatan, Xavi Hernandez dan Andres Iniesta di bahagian tengah dan Lionel Messi di jentera serangan, yang mengukuhkan dakwaan bahawa dia adalah pemain terbaik di dunia.

"Ini adalah final antara dua pasukan yang gemar bermain bola sepak dan pasukan yang berjaya mendominasi permainan akan menang," kata Xavi.

"Saya tidak dapat nyatakan bagaimana (Alex) Ferguson akan memilih untuk bermain permainan ini tetapi kami mempunyai falsafah jelas dan kami akan turun untuk mencari kemenangan.

"Adalah penting kepada kami untuk menang permainan ini bagi falsafah kami dan kami mempunyai pemain terbaik yang boleh melakukannya," kata Xavi, yang mengakui terdapat ramuan tambahan kepada pertarungan ini selepas kekalahan kepada Manchester United pada separuh akhir tahun lalu.

"Ia kekecewaan besar dan sudah tentu bola sepak adalah mengenai pembalasan tetapi ia juga adalah perlawanan akhir dan memenangi trofi ini menjadi kuncinya." � AFP

Rasa teraniaya (Ceritera)

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin



Maizawati akui Akhil Hayy suami yang romantik dan bapa penyayang

"WALAUPUN tidak menyalahkan sepenuhnya, saya berasakan Waheeda patut juga berasa bertanggungjawab dalam hal ini. Perkara ini tidak akan berlaku jika lelaki tidak digoda. Kalau lelaki itu yang memulakan, sebagai wanita, dia ada hak untuk menolaknya, tambahan pula dia tahu lelaki itu suami orang.

“Tindakannya ke hulu ke hilir bersama-sama suami orang adalah kurang manis. Kehidupan saya, anak-anak dan ustaz teraniaya sejak kehadirannya dalam hidup kami.

“Sebelum ini, rumah tangga kami bahagia, tidak pernah timbul sebarang masalah. Ustaz juga seorang suami yang romantik dan bapa penyayang, tetapi jadi masalah apabila ustaz bertemu dengan dia (Waheeda),” demikian luahan isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal ketika dibawa berkunjung ke Balai Berita, Isnin lalu.

Hadir berjubah rona biru tua dengan raut wajah yang agak tenang menghadapi masalah itu, ibu kepada enam cahaya mata ini juga dilihat sangat tabah. Tiada setitik air mata pun tumpah kerana mungkin dirasakan sudah terlalu banyak air matanya dibazirkan sepanjang dua tahun memendam rasa.

Bagaimanapun, Maizawati menegaskan, dia tidak mahu luahan hatinya disalahertikan sebagai hendak menagih simpati daripada mana-mana pihak.


PERSEMBAHAN daripada akhil dan Waheeda pada sambutan Maulidur rasul peringkat Kebangsaan 1430H/2009M di Dataran Merdeka.

Katanya, dia sekadar hendak bersuara dengan apa yang terbuku dalam hatinya kerana tidak tahan lagi dengan sikap suaminya yang terus berdiam diri. Malahan sehingga perkara ini didedahkan kepada pengetahuan umum, Akhil masih tidak menghubunginya.

“Saya bukan hendak seronok-seronok membuat tuntutan cerai. Saya pun tahu perkara itu dibenci Allah. Saya bukannya tidak pernah bersabar. Tapi sudah bersabar selama dua tahun.

“Dalam tempoh itu, saya banyak mengkaji baik dan buruknya tindakan ini. Saya lakukan semuanya ini kerana tidak mahu membiarkan perkara tidak elok berterusan.

“Saya bukanlah minta apa-apa. Saya tidak minta lebih, saya cuma minta dia lepaskan saya. Saya anggap sudah tiada jodoh antara kami. Jika dia sudah tidak sudi lagi dengan saya, jangan simpan macam ini, supaya senang saya buat haluan sendiri dan meneruskan kehidupan bersama anak-anak.


Maizawati Zainal, isteri Akhil Hayy.

“Saya percaya tidak ramai wanita yang boleh bersabar apabila suami pergi tanpa khabar berita. Sikap ustaz dulu tidak seperti ini. Ke mana dia pergi, dia pasti menghubungi saya. Kalau tak sempat sekalipun, paling tidak dia hantar SMS,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut perubahan sikap suaminya, Maizawati berkata, ia bermula sejak dipertemukan dengan Waheeda menerusi sebuah program TV kira-kira dua tahun lalu.

“Dia mula jarang balik rumah dengan alasan kerja. Saya menghormati alasan itu dan memberi kepercayaan sepenuh hati, tanpa rasa sebarang curiga.

“Lama -kelamaan, saya dapati sikapnya semakin berubah. Jarang telefon kami dan bertanya khabar kami anak beranak. Kadang-kadang saya menghubunginya tetapi jarang berjawab. Tahun ini dia pulang ke rumah hanya tiga hari, itu pun tidak lebih lima jam,” jelas Maizawati yang mengaku agak kecewa dengan perubahan sikap suaminya.

Lebih mengecewakan lagi, katanya, apabila dia mendapat tahu suaminya mempunyai masa menonton wayang dan bersantai di tepi pantai bersama wanita lain sedangkan sering mengatakan tiada masa langsung untuk bersama isteri dan anak-anak atas alasan sibuk dengan kerja.

“Sebagai isteri, saya berhak untuk dikasihani, disayangi dan dibelai oleh lelaki bergelar suami. Tapi ustaz sering beri alasan sibuk dengan kerja, sedangkan dalam tempoh itu dia boleh luangkan masa bersama Waheeda, bukan dengan keluarganya sendiri.

“Saya pening sebenarnya. Kenapa ustaz takut sangat nak mengaku kalau betul mereka sudah berkahwin. Adakah dia bimbang nanti saya minta supaya berlaku adil menyebabkan dia tidak berani mendedahkan statusnya?” katanya sambil menyatakan rasa kasihan melihat keadaan anak-anak yang merindui kepulangan bapa tersayang.

Failkan perceraian pada 2 Jun

MAIZAWATI berkata, hatinya sudah tawar untuk menerima kembali suami selepas mengambil keputusan untuk memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Syariah pada 2 Jun depan.

Katanya, sebenarnya dia sudah mula bertindak memfailkan tuntutan cerai pada awal bulan lalu, tetapi membuat keputusan untuk menarik balik kerana berasakan tidak mahu mengaibkan suaminya.

Dia berharap dengan tindakan menarik balik tuntutan itu, Akhil Hayy dapat balik ke Ipoh, Perak untuk membincangkan masalah rumah tangga mereka.

Maizawati menjelaskan, dia akhirnya membuat keputusan nekad untuk bercerai selepas suaminya tetap tidak muncul walaupun diminta untuk balik ke rumah.

“Hati saya sudah tawar untuk menerimanya semula. Bagi saya sudah terlambat untuk memulihkan hubungan ini,” katanya.


Jangan lupakan anak-anak


MAIZAWATI mengaku, dia tidak percaya suaminya sudah berkahwin dengan Waheeda kecuali ada pihak yang membuktikan sebaliknya.

“Kalau betul ustaz sudah berkahwin, kenapa hendak disorokkan. Tetapi setakat ini saya percaya mereka belum berkahwin. Selagi tiada bukti ustaz sudah berkahwin lagi, saya tidak akan mempercayainya (suaminya sudah berkahwin lagi). Tetapi kalau mereka sudah berkahwin, saya doakan mereka bahagia.

“Cuma saya hanya minta ustaz dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, apa pilihan yang dia ada kalau suaminya benar-benar mahu mengahwini Waheeda tetapi paling penting ialah tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada anak-anak.

“Saya boleh terima kalau betul ustaz mahu berkahwin lagi, malahan saya sudah memberikan keizinan kepadanya ketika dia balik ke rumah pada awal tahun ini.

“Pada waktu itu juga, ustaz mengaku mahu memperisterikan Waheeda, tetapi sampai sekarang saya tidak tahu apakah kesudahannya hubungan mereka. Kalau dia mahukan suami saya, ‘minta’ cara baik.

“Saya berusaha untuk memahaminya kalau dia kata mereka tidak boleh berenggang. Cuma satu saja harapan saya kepada ustaz iaitu jangan lupakan anak-anak,” katanya.

Enggan jumpa Waheeda

KUALA LUMPUR 26 Mei - Biarpun kisah pergolakan rumah tangga penyanyi dan penceramah bebas, Akhil Hayy hebat diperkatakan namun, isterinya, Maizawati Zainal, 33, masih enggan menemui penyanyi Waheeda untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian.

"Sepatutnya dia (Waheeda) yang datang berjumpa saya, bukannya saya yang jumpa dia. Nak jumpa pun sudah terlambat, sebab saya sudah pun memfailkan tuntutan cerai awal bulan ini.

"Sepatutnya datang berjumpa ketika mula-mula keluar cerita tentang hubungannya dengan suami saya, bukannya tunggu sampai perkara ini jadi meletup begini.

"Lagi pun, buat apa nak ungkit lagi perkara yang sudah berlaku dan tiada gunanya buka pekung serta mempersoalkan siapa yang perlu berjumpa siapa. Keputusan yang saya buat ini adalah yang terbaik untuk semua pihak dan meleraikan segala kekusutan," kata Maizawati ketika ditemui hari ini.

Akhil dan Waheeda menjadi perhatian media lantaran gosip tentang hubungan cintanya berlarutan sejak dua tahun lalu. Malah, menjadi semakin hangat diperkatakan apabila ada pihak mendakwa melihat kelibat mereka menonton wayang bersama dan bergambar di tepi pantai.

Menurut Maizawati, dia telah menunggu dan memerhati selama dua tahun iaitu sejak mula-mula gosip tentang percintaan Akhil dan Waheeda diperkatakan.

Keputusannya untuk bercerai telah dimaklumkan kepada Akhil menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana gagal menghubungi dan berbincang dengan suaminya itu.

Tambahnya, setiap pergaulan mempunyai batas dan sebagai seorang wanita seharusnya dia (Waheeda) mengetahui batasan pergaulan dengan seorang yang bergelar suami orang.

"Lelaki yang dia sentiasa bersama itu adalah suami orang dan sudah ada anak-anak. Sebagai isteri, saya hanya memerhati dari jauh. Namun, apabila mendapati ada perempuan lain selalu berjumpa dengan suami, saya terfikir wajarkah perempuan lain yang tiada sebarang ikatan sentiasa bersama suami saya," kata Maizawati pada program Wanita Hari Ini, di Sri Pentas, Bandar Utama di sini.

Mengulas tentang gosip yang mengatakan suaminya telah berkahwin dengan penyanyi Waheeda, kata Maizawati, selagi tiada bukti dia tidak mahu mempercayai sebarang dakwaan.

Walaupun telah memfailkan tuntutan cerai, Maizawati tidak menafikan bahawa dia masih menyayangi suaminya itu.

"Dia seorang suami yang sangat baik dan hubungan saya dengan dia memang tiada masalah. Cuma selepas saya beri keizinan untuk dia berkahwin lain pada Februari lalu dia langsung tidak pulang dan tidak menghubungi saya," katanya.

Kes tuntutan perceraiannya akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak pada 2 Jun depan.

Utusan Malaysia

Bom jangka meletup (Ceritera)




Oleh Muhd Izawan Baharin dan Syarifah Dayana Syed Bakri
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Isteri kepada penceramah bebas, Akhil Hayy, Maizawati Zainal mengibaratkan dirinya seperti ‘bom jangka’ berhubung gosip suaminya dengan penyanyi berirama padang pasir, Waheeda.

Ketika ditemubual dalam rancangan Wanita Hari Ini (WHI) terbitan TV3 di sini, semalam, dia mengaku kini tidak mampu lagi menahan sabar hingga sanggup meluahkan ‘pemberontakannya’ melalui media dengan kemunculan pertama, Ahad lalu.

Maizawati menjelaskan bahawa kemunculannya di televisyen dan media cetak sebagai cara untuk menamatkan kekusutan yang berlaku.

“Tindakan saya membuat pengakuan di media bukan untuk memburukkan sesiapa, sebaliknya menutup semua cerita yang didengar dengan keputusan muktamad.

“Tidak perlu saya menjaja cerita peribadi kerana saya sudah membuat keputusan dan segalanya akan diputuskan di mahkamah nanti,” katanya yang belum menerima panggilan telefon daripada Akhil Hayy sejak Ahad lalu.

Dia berkata, kesabarannya mendengar pelbagai cerita kurang enak mengenai suami dan Waheeda dipendam sejak dua tahun lalu selepas tersebar gosip mereka keluar bersama, ditambah pula cerita pergi menonton wayang.

“Walaupun pelbagai cerita saya dengar, selagi tiada pengakuan daripada suami, saya anggap perkara itu tidak serius.

“Namun, lama-kelamaan ia menjadi semakin parah apatah lagi dengan cerita mereka sudah berkahwin. Saya hanya perhatikan dari jauh dan tidak menyimpan syak hingga suami memohon keizinan untuk mengahwini penyanyi berkenaan,” katanya.

Maizawati berkata, sepatutnya isu rumah tangga mereka tidak perlu diperbesarkan kerana dia membuat keputusan mengundur diri dan mengizinkan Akhil berkahwin dengan penyanyi itu.

“Saya sudah memberikan lampu hijau untuk suami memperisterikan wanita itu dan keputusan sudah dibuat pada Februari lalu.

“Namun, sehingga kini masih tidak ada jawapan kerana selepas kami berbincang mengenai perkara itu, suami saya tidak memberi kata putus, sebaliknya mengatakan untuk berbincang dengan penyanyi berkenaan,” katanya.

Maizawati menjelaskan dia tidak perlu bersemuka dengan Waheeda kerana menganggap ia hanya akan memanjangkan lagi cerita.

“Buat apa saya nak bersemuka dengan dia? Kalau nak berbincang, sepatutnya dia datang berjumpa saya sejak pertama kali gosip mereka disiarkan dan meminta maaf serta jelaskan perkara sebenar kerana dia dikaitkan dengan suami orang.

“Mengapa baru sekarang dia katakan macam-macam seolah-olah saya yang timbulkan masalah,” katanya.

Sebagai orang yang beragama, kata wanita beranak enam itu, Waheeda sepatutnya tahu batas pergaulan mereka, terutama dengan menjalin persahabatan dengan suami orang.

“Dia berkawan dengan suami saya dan sebagai seorang perempuan dia patut tahu bagaimana membawa diri tatkala berdamping dengan suami orang,” katanya.

Maizawati bagaimanapun bersimpati dengan nasib menimpa suaminya kerana berikutan isu perpisahan itu, imejnya yang terkenal dengan jolokan Ustaz Rock tercalar.

“Saya kasihan dengan suami saya kerana dia tersepit. Namun, saya tekad membuat keputusan berpisah kerana ia jalan terbaik untuk semua pihak dan meyakinkan diri perpisahan bukan bererti permusuhan buat kami,” katanya.

iDAN : Bagi saya berpisah bukan jalan terbaik, fikirkan juga kasih sayang anak-anak bila ayah tidak lagi bersama ibunya. Apa salahnya bermadu, tak semesti bermadu itu bagaikan hempedu buat seorang wanita. Ada juga suami yang adil hidup berpoligami aman & bahagia. Maizawati kena lebih banyak bersabar, jangan kusutkan keadaan.

‘Minta dia cerita sebenar’

KUALA LUMPUR: “Kita jaga aib orang lain, Allah akan jaga aib kita, jadi biarkan...,” kata Waheeda yang enggan menjawab luahan terbaru Maizawati Zainal yang mendakwa penyanyi itu menjadi punca keretakan rumah tangganya dengan Akhil Hayy menerusi rancangan Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, semalam.

Waheeda atau nama sebenar, Norwahidah Abdul Wahab, 31, berkata dia tidak bimbang dengan persepsi negatif umum yang menyalahkan dirinya selepas Maizawati, 33, membuat pendedahan kali pertama dalam Metro Ahad dan rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9, Ahad lalu.

“Biarkan...” jawabnya ringkas ketika dihubungi menerusi SMS. Bagaimanapun, dia tetap menjawab beberapa soalan lain yang diajukan.

Malah, Waheeda turut berasa pelik apabila Maizawati mendakwa tidak mengenalinya secara peribadi, sekali gus bertentangan dengan kenyataan penyanyi itu terdahulu yang mengakui mengenali isteri Akhil itu.

“Pelik kan, kenapa sekarang dia kata begitu?” katanya.

Berikut beberapa jawapan Waheeda melalui SMS:

Soalan (S): Anda tahu di mana ustaz (Akhil) sekarang?

Waheeda (W): Tak.

S: Bagaimana dengan keadaan keluarga anda selepas pendedahan media yang dibuat isteri ustaz?

W: Okey je....

S: Selepas isteri ustaz membuat kenyataan media, adakah anda sedar ia mengundang pelbagai persepsi negatif?

W: Tahu...Biarkan.

S: Sebelum ini, Maizawati ada mengatakan bersedia dimadukan. Adakah anda sedia berkahwin dengan ustaz.

W: Jangan tanya saya. Tanya dia (Maizawati) soalan itu. Saya beritahu awak, kita semua kenal siapa dia.

S: Adakah anda akan terus mendiamkan diri atau tampil membuat kenyataan bagi membela diri?

W: Awak rasa ada apa-apa yang patut didedahkan ke?

S: Isteri ustaz sudah membuat kenyataan. Tidakkah anda mahu tampil memberikan cerita sebenar di sebalik kontroversi ini?

W: Mintalah pada dia cerita sebenar tu.

S: Tapi itu di sebelah isteri, bagaimana dengan anda?

W: Kalau macam tu apa lagi cerita sebenar yang awak nak? Dah ada kan?

S: Berdasarkan kenyataan Maizawati, anda didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga mereka?

W: Cerita sebelah pihak sudah cukup. Cerita dia. Dia yang mulakan jadi biar dia laluinya kerana kami tidak tahu cerita ini. Kami tahu cerita lain.

S: Selepas kontroversi ini tercetus, ada ustaz menghubungi anda?

W: Hanya untuk pastikan semua tenang.

S: Bagaimana anda menghadapi perkara ini?

W: Manusia merancang, Allah merancang. Perancangan Allah lebih baik. Tenang-tenangkan diri.

Harian Metro

'Tunggu 2 Jun ini'

Oleh Muhd Izawan Baharin

KUALA LUMPUR: “Saya tidak mahu memberi sebarang komen, tunggu 2 Jun ini,” kata penyanyi dan penceramah bebas, Akhil Hayy berhubung kontroversi rumah tangganya yang didedahkan isterinya sejak Ahad lalu.

Perkara berkenaan dimaklumkan ‘Ustaz Rock’ itu kepada pihak Astro Oasis semalam, selepas dia mengambil sikap mendiamkan diri sejak isterinya, Maizawati Zainal, 33, mendedahkan keretakan rumah tangga mereka yang didakwa berpunca daripada orang ketiga.

Pengurus Saluran Oasis, Izelan Basar, berkata sejak kontroversi itu timbul pihaknya tidak tahu di mana Akhil, 40, berada kerana penyanyi yang menampilkan imej berbeza berbanding penyanyi kontemporari itu hanya mendiamkan diri.

“Tapi dia ada hubungi pihak kami tadi (semalam) memberitahu dia tidak akan memberi komen sehingga kes rumah tangga mereka dibawa ke Mahkamah Syariah Ipoh pada 2 Jun ini,” katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak dapat memberi sebarang komen kerana kes itu kini membabitkan mahkamah.

“Kami bersikap profesional, tambahan pula masalah ini hanya membabitkan soal peribadi dia (Akhil).

“Kami faham dan hormati kehendaknya, jadi biarkan perkara ini diselesaikan di mahkamah nanti,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Maizawati mengibaratkan dirinya sebagai bom jangka berhubung gosip suaminya dengan penyanyi yang terkenal dengan lagu berirama padang pasir, Waheeda atau nama sebenar, Norwahidah Abdul Wahab, 31.

Dia mengaku tidak mampu lagi menahan sabar sehingga sanggup meluahkan ‘pemberontakannya’ melalui media dengan kemunculan pertama Ahad lalu.

Harian Metro

25 Mei 2009

Termakan Budi (Singgahsana)



Aku berkali-kali cuba hubungi Hanna di pejabat Pendaftar UPM. Emmm! tak sangka pulak Cik Hanna ini telah jadi VVIP. Asyik berkursus & banyak sangat aktivitinya. Bukannya apa, sebelum aku mula bercuti & terus berpencen dia ada berpesan.

"Encik Haridan datanglah ke sini sebelum pencen ada borang yang kena tanda tangan..! berkenaan dengan cuti rehat yang terkumpul itu." Dia tak panggil aku Abg iDAN, sebab tak biasa dengan aku. Aku pun tak cam muka dia; cuma pernah jumpa sekali aku tak berani tenguk wajah dia pun. Memang tak cam.

Sebut tentang cuti rehat ini, aku rasa serba tak ketentuan; Yang jelas pihak Pendaftar tidak ada silapnya. Mereka cuma terima data & masukkan ke dalam komputer. Yang jadi masalahnya Fakultiku. Fak Kejut. Jika borang permohonan untuk membawa cuti ke tahun hadapannya tidak sampai di bangunan pentadbiran depan sana, bagaimana pihak Pendaftar mahu mengemaskinikan data. 20 hari cuti rehatku hilang sebelum sistem berkomputer itu mungkin sebab ketika itu aku belajar di Jepun. Tak ada yang mengingatkan aku di fakulti; pun mungkin prosedur begitu. Cuti hangus jika tidak dihabiskan. Tak Pasti.

Hilang lagi sekitar 40 hari ini sekitar awal tuhan 2000, tentunya ada kesilapan dari pihak aku, lantaran tak mahir guna e-cuti; sebab memang aku serahkan bulat-bulat kepada kerani cuti. Masa itu Kak Gayah yang bertanggungjawab. Mungkin dia terlepas pandang akan namaku. Atau mungkin juga aku tidak mengisi borang tersebut. Aku mengandaikan bila ianya berkomputer, borang itu bukan lagi perkara utama. Aku perasan perkara ini setelah berkira-kira mahu ambil opsyen berpencen awal. Sudah terlambat. Aku terpaksa resetkan semula kata laluan; & menguruskan sendiri tentang cuti.

Yang aku termakan budi tentang cuti ini ialah kerana bilamana Hanna uruskan cuti, banyak terdapat tanda bintang yang boleh diperbetulkan. Masa Hanna beri surat yang pertama tak kurang 100 hari lebih cuti aku masih tak pasti kedudukkannya. Hinggalah pada saat akhir khidmatku; sekitar separuh dari cuti yang hilang tersebut dapat dituntut semula.

Malahan aku adalah antara kumpulan pertama mendapat mengumpul cuti 150 hari yang diwartakan oleh Mantan Perdana Menteri Pak Lah. Sebelum ini kakitangan kerajaan hanya dibenarkan mengumpul cuti untuk pencen sebanyak empat bulan; 120 hari. Tujuan ianya dikumpul ialah itu digantikan sebagai imbuhan. Mengikut gaji terakhir staf tersebut. Bayangkan jika Ustaz Halim dapat mengumpul sebanyak 150 atau lima bulan. Wah! 20K dah tentu dia dapat dari pengumpulan cuti sahaja; belum lagi ganjaran perkhidmatan 30 tahun. Siapa kata kakitangan kerajaan sekarang tak mewah.

Tapi bukan golongan seperti aku; kami golongan marhaen, hanya separuh dari imbuhan golongan sokongan bertaraf C, atau Juruteknik, Pembantu Tadbir, Pembantu Makmal & sekumpulan dengan kumpulan ini.

Pencen rasanya tak jauh sangat bedanya; kumpulan marhaen ini hanya mendapat 2/3 jika dibandingkan dengan golongan sokongan bertaraf C ini. Itu antara perbedaan kumpulan A, B, C, D, & E. Lima kasta ini ujud bagaikan Kasta Pariah & Brahmin. Bayang-bayang Pariah pun jika boleh tak boleh jatuh ke badan Brahmin. Aku mungkin Sudra kot jika mengikut turutan kasta ini.



Maka itu masih ada di Pejabat Kerajaan tandas Brahmin ini dikunci; hanya khas untuk golongan kumpulan A. Berasakan diri bermartabatkan Brahmin. Apakah ini afdal ujud di negara kita. Jika benar PM kini mengatakan Perdana Menteri Rakyat cuba jadi Sudra atau Pariah dalam sehari dua; naik kapcai senget macam aku punya, tidur di rumah teres yang sempit lagi panas & punyai anak ramai yang perlu disara.

Maaflah Hanna jika terbaca ini; ini ceritera seorang Penyair. Maka itu bila aku berpencen; aku berangan mahu naikkan taraf kasta aku & keluarga. Tak kan sampai ke liang lahat aku mahu diperkotak-katikan bagai Pariah. Jadi Petani atau Pelukis@penyair pun dah okey; Naiklah satu step martabat@kasta di mata dunia.

Sekarang di Malaysia pelukis telah ditukar gelaran menjadi Pereka. Aku sebenarnya memang punyai kelayakan menjadi Pelukis sebab ada kepunyian dalam Lukisan; sering temuduga Pelukis cumanya asyik gagal tak siapa yang sokong & menerima aku ke jawatan tersebut. Tapi semua tahu kerja aku memang banyak ke arah itu. Tetapi segala kerja pelukis aku kena buat sejak awal berkhidmat lagi. Masa lalu, buat back drop guna polesterin; buat huruf potong pakai dawai itu. Sebelum Atan masuk kerja, aku dah buat semua itu dengan Shahrin Dukun.

Berbalik bab cuti tadi; tentunya aku terhutang budi kepada Hanna & Bosnya lantaran jika tiada usaha mereka pasti cutiku ghaib banyaklah amat. Cumanya aku berharap kepada kekawan aku yang tinggal, semaklah segera jumpa cuti rehat terkini; pihak pendaftar kena fikirkan juga cara terbaik agar mereka tidak terlajak mengumpul cuti.

Tentang Sifir UPM yang pernah aku persoalkan. Jika seseorang itu berkerja selama lima bulan dalam tempoh setahun; kasilah cuti seadilnya; jika memang dia layak 25 hari setahun & staf tersebut kerja selama 5 bulan, bukanlah afdal 6 hari sahaja cuti rehatnya... seperti yang diluluskan buat aku pada tahun 2009. 1/3 dari 25 hari pun dah kira 8 hari, kenapa aku cuma layak 6 hari...mana lagi dua hari cuti rehat tersebut. Sungguh pun itu bukan hak aku menentukan tetapi rasanya aku boleh persoalkan supaya tidak terkena kepada rakanku yang bakal berpencen.

Cumanya aku tetap amat bersyukur, lebih 60 hari telah Hanna & Bosnya tebus semula buatku. Seharusnya Fak. Kejut yang buat semua ini. Sekitar lebih 60 hari juga cuti rehat mutlak telah ghaib itu mungkin ada terselindung tafsirannya; kita berkerja pun tak sejujur mana dalam fakta menghormati waktu ini.. kan?.

Kekinian, aku cuma perlukan tuntutan elaun Pindah ke kampung. Semalam aku telah pun bertanya dalam masalah ini dengan menelefon pejabat Pendaftar. Ianya masih dalam proses permohonan.

Limpahan Terima Kasih buat Hanna lantaran semalam aku telefon Salleh di Unit IT dia kata duit pengumpulan cuti itu telah masuk ke slip gajiku. Senyap-senyap Hanna & Bosnya telah berbakti buatku. Moga Allah Azzawajalla mempermurahkan rezeki Hanna & Bosnya.

Sementelah semalam ...komputer aku digigit Trojan lagi; teruk amat birus sini. Habis tak boleh guna langsung komputer aku. Bablu tak terbacakah blog ini?. Seharian semalam aku mencari kekunci atau cara penyelesaiannya birus trojan ini. Nampaknya hanya Ghost juga yang boleh membantu. Aku harap Unit IT belajar bagaimana nak Klon komputer. Klon atau Ghost itulah rasanya banyak amat dapat menyelamatkan data & menjimatkan waktu dalam senggaraan komputer.

Kahwin ‘ekspres’ rosak masyarakat

KUALA LUMPUR: Gejala perkahwinan ‘ekspres’ dan ‘suka-suka’ tanpa mengikut peraturan ditetapkan lebih menjurus kepada pembentukan sebuah institusi masyarakat semakin rosak, apabila zuriat dilahirkan tidak didaftarkan mengikut peraturan ditetapkan.

Malah, gejala itu dikatakan menjadi perkara lazim apabila bukan saja ramai pasangan remaja dan berusia boleh hidup bersama atau berpisah walaupun perkahwinan mereka sudah jelas tidak mematuhi peraturan.

Ketua Unit Tindakan Khas (UTK) Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, berkata gejala perkahwinan ekspres kerap berlaku apabila pasangan terlanjur dan hamil.

“Kegiatan ini dilakukan sebagai jalan pintas menyelesaikan masalah tanpa mengambil kira masalah yang bakal dihadapi anak yang dilahirkan pada masa depan,” katanya.


Beliau diminta mengulas laporan Metro Ahad semalam, berkaitan isu perkahwinan bagi mereka ibarat mainan.

Harian Metro

Nikah main-main
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN
mizan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Perkahwinan bagi mereka ibarat mainan. Selepas terlanjur dan hamil anak luar nikah, mereka berkahwin tanpa mengikut prosedur sebelum masing-masing kemudian membawa haluan sendiri.

Selepas anak dilahirkan, mereka gagal mendaftar kelahiran itu berikutan tidak cukup dokumen, lantas masing-masing terus membawa diri, sekali gus meletakkan masa depan anak dalam keadaan terumbang-ambing.

Itulah gaya hidup ‘cincai’ segelintir umat Islam masa kini menerusi pengakuan seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Syawal, 38, dan ibu muda bernama Shila, 24, kepada Metro Ahad.

Kedua-duanya kini menyesal kerana berkahwin dan memilih cara hidup seperti itu bersama pasangan masing-masing sejak lebih setahun lalu.

Syawal berkata, perkahwinannya benar-benar seperti perkahwinan ‘main-main’.

“Kami berkenalan, terlanjur atas dasar suka sama suka dan teman wanita saya hamil. Dia mahukan anak itu dan sebagai mencukupkan syarat, kami berkahwin ala ‘koboi’ dengan dinikahkan ayahnya tanpa sebarang pendaftaran.

“Jika ikutkan kehendaknya, kami tak berkahwin pun tak apa, asalkan dia dapat melahirkan anak yang dikandung,” katanya.

Menurut Syawal, selepas berkahwin mereka hanya berjumpa sebulan sekali, malah kadangkala tidak bertemu sehingga tiga bulan.

“Perkahwinan kami bukan atas dasar cinta dan saya menjadi suami umpama ‘suami pak turut’, justeru masing-masing buat hal sendiri.

“Isteri tidak kisah, walaupun semakin lama semakin sarat mengandung. Saya boleh datang berjumpanya ikut suka,” katanya.

Syawal berkata, apabila tiba waktu isterinya melahirkan anak hasil persetubuhan haram mereka, baru dia benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami.

“Saya hantar dia ke hospital dan menyediakan perbelanjaan. Kerana sikap sambil lewa, apatah lagi menganggap perkahwinan seperti ‘main-main’ dan sedar bukan mudah untuk mendaftarkan anak tanpa perkahwinan yang mempunyai sijil, kami tidak mendaftarkan anak kami.

“Dalam tempoh beberapa minggu, ibarat permintaan sudah tertunai, kami membawa haluan masing-masing. Dia tidak cari saya, saya pula tidak cari dia.

“Perasaan seronok hidup seperti orang bujang membuatkan saya langsung tidak memikirkan mengenai masa depan isteri dan anak,” katanya.

Menurut Syawal, masalah kewangan juga menjadi faktor dia tidak dapat memberi komitmen kepada isterinya.

“Kalau tak ada wang, saya rela tidak bertemu mereka. Wang untuk menyara diri sendiri tak cukup, bagaimana nak menyara anak bini?” katanya.

Syawal berkata, sudah hampir dua tahun dia tidak bertemu isteri dan anaknya.

“Entah bagaimana agaknya keadaan mereka. Namun, apa boleh buat, kami sudah memilih jalan sendiri.

“Namun, saya sedar anak daripada darah daging saya itu akan berdepan masalah pada masa depan. Insya-Allah selepas ini saya akan mencari mereka semula supaya anak saya mempunyai pengenalan diri,” katanya.

Shila pula berkata, keterlanjuran bersama teman lelaki sehingga dia hamil anak luar nikah menyebabkan keluarganya memaksa dia berkahwin.

“Saya sebenarnya tidak kisah jika tidak berkahwin asalkan anaknya dapat dilahirkan, tapi selepas dipaksa keluarga, saya terpaksa mengikut saja.

“Namun, saya tidak tahu bagaimana status perkahwinan saya. Pernikahan saya dilangsungkan dalam suasana ringkas.

“Abang saya menjadi wali dan setahu saya, imam yang menikahkan saya tidak bertauliah serta berasal dari Indonesia,” katanya.

Menurut Shila, selepas berkahwin, suaminya berjanji hendak menjalankan tanggung jawab sebagai suami dan mahu menjaga anak, tetapi tidak sampai enam bulan, masing-masing tiada persefahaman, apatah lagi dalam keadaan suami bergaji kecil.

“Enam bulan berkahwin, suami mula berubah. Duit tidak pernah cukup untuk tampung perbelanjaan kami sekeluarga kerana pendapatannya hanya sekitar RM900. Lebih teruk lagi, suami kuat minum arak.

“Saya pula sering dipukul apabila menegur tabiat buruknya,” katanya.

Shila berkata, dalam keadaan sedemikian mereka bersetuju memilih jalan hidup masing-masing.

“Kami sudah berkahwin tetapi tidak seperti suami isteri. Pada mulanya suami jarang pulang ke rumah, tetapi lama kelamaan, tanpa bercerai kami terputus hubungan selepas dia terus menghilangkan diri.

“Saya lebih senang dengan keadaan seperti itu kerana tidak mahu terikat lagi dengan suami. Yang penting saya ada anak dan mahu menjalani hidup sendiri,” katanya.

Menurut Shila, dia tenang dengan kehidupannya, tetapi kini mula bimbang dengan masa depan anaknya kerana anaknya belum ada sijil lahir walaupun usianya mencecah setahun.

“Selepas melahirkan anak, saya dan suami tidak mendaftarkan anak kami. Selain takut malu, kami bersikap sambil lewa.

“Kesudahannya, sehingga kini anak saya tiada sijil lahir. Namun, kini saya sedar dokumen itu penting untuk masa depan anak saya dan saya akan berusaha membuatnya, walaupun takut,” katanya.

Harian Metro

23 Mei 2009

Jagung manis, kayu gaharu (Sastera)

JALAN ke Desa Tua terus dilalui. Perempuan muda itu menyusuri jalan sempit itu pada petang yang sepi dan suram. Sehabis hujan sebentar tadi dia terus mendaki,

melangkah satu persatu untuk cepat sampai ke Desa Tua. Licin tanah liat, lumpur tanah selut, rimbunan pohon-pohon dan hutan tua dilaluinya dengan penuh debar dan harapan.

Perjalanan ke Desa Tua seharusnya memerlukan masa lebih sejam, melalui liku-liku, melangkah parit-parit kecil. Dan setelah disimbahi hujan, jalan yang berlekit itu sukar dilalui.

Perempuan muda itu Maria namanya, sedang sarat mengandung. Hanya menghitung hari untuk melahirkan. Tetapi kerana mengidam, dia sanggup mendaki bukit, menuruni lurah untuk ke Desa Tua. Suaminya, Budi tidak mahu memenuhi keinginannya. Sejak mengandung pada bulan pertama, dia sudah meminta Budi mencari jagung manis yang sentiasa mengalirkan liurnya.

Setiap waktu Budi lebih suka termenung, mengangankan kerja di kota. Namun setiap kali ke kota, melamar kerja yang diminati, dia pulang kehampaan, termenung penuh angan-angan. Mengelamun semula di pondok kecilnya. Berselimut kabus hingga dari pagi hingga ke petang. Apabila Maria mengadu yang dia mengidam hendak makan jagung manis, Budi hanya tersengeh, memperlihatkan giginya yang tak selalu diurus. Dan apabila Maria mendesaknya bertalu-talu, dia hanya memberi alasan, "Di mana nak kucarikan, kini bukan musimnya."

Sehingga saat ini, saat Maria hampir melahirkan, keinginan Maria belum tercapai.

Di penghujung jalan , di tepi Desa Tua, Maria melihat kepulan asap lembut melintuk liuk naik di celah-celah daun-daun hijau yang merimbun. Senja sedang menunggu waktu untuk melabuhkan tirai. Dengan penuh debar Maria memperlahankan langkah, terhendap-hendap ke hadapan.

"Boleh saya bertanya, siapakah pemilik ladang ini?" dia menuding ibu jarinya ke arah ladang yang menghijau di depan.

Seorang lelaki muda, sebaya Budi, dengan tenang, memandang wajah Maria.

"Boleh kuminta buahnya?"

"Buahnya?"

"Jagung manis untuk anak yang kukandung ini."

Lelaki muda itu tersenyum. Direnungnya wajah Maria dengan penuh simpati.

"Mana ada buahnya? Tapi kalau adik berhajat singgahlah di rumahku ini. Kebetulan saya baru membelinya. Nanti saya rebuskan."

Penuh debar dan harapan, Maria mendaki anak-anak tangga dan merehatkan dirinya pada sebuah kerusi di ruang tamu. Dia mengawasi sekitar. Tidak ternampak lelaki lain mahupun perempuan lain yang berada di rumah itu. Ruang rumah yang mempunyai sebuah bilik tidur, sebuah anjung dan dapur sepi dan sunyi. Dia ingin bertanya untuk meredakan rasa curiga, tetapi lelaki muda itu setelah mempersilakan dia duduk, di sebalik dinding papan, terus menghilang.

Malamnya dada Maria kian bergelombang. Ingin dia membatalkan idamannya untuk menikmati jagung manis dan berpatah balik, tapi dia terhalang. Wajah malam sudah menjelma.

Terdengar bunyi bising. Malah hidungnya yang tercatuk itu dapat menghidu bau wangian manisan jagung rebus dari sana.

Aneh! Saat lelaki itu menghidangkan sepinggan jagung yang sudah direbus, lelaki itu amat kacak. Menawan! Berkulit halus. Raut mukanya tenang, dan dia tak sedikit pun merupakan seorang peladang yang memerah keringat dibakari mentari. Maria merenunginya penuh minat. Kalaulah dia dapat melahirkan seorang anak secantik lelaki muda ini alangkah bahagianya

Pada saat Maria mengangkat muka, dia terlihat lelaki itu asyik merenung ke arahnya. Dia seperti terpukau melihatkan rekahan bibir lelaki itu. Sungguh aneh bagi Maria. Kebimbangannya rendap dari sanubarinya.

"Makanlah," pinta lelaki itu, menunjukkan beberapa buah jagung yang sudah dimasak. Asap kecil masih berlegar-legar. "Ini rezekimu. Aku tiada yang lain lagi."

. "Terima kasih. Sudah lama aku mencarinya, sekarang barulah bertemu."

"Jadi, kerana jagung inilah kau sanggup ke mari meredah senja dan tanah lembab?"

Maria mengangguk.

"Kau harus habiskan semuanya. Di rumah ini tidak ada nasi. Jagung inilah untuk mengalas perutmu malam ini."

"Tapi aku mahu pulang ke rumahku, selepas ini. Suamiku sedang menunggu."

"Kau tak harus pulang. Malam gelap. Hujan mungkin akan turun. Kau boleh tidur di sini."

"Tapi…" Maria membisu. Dia berpaling melihat cuaca di luar. Dadanya berombak.

Termenung. Lama dia terdiam. Sungguh. Seumur hidupnya tak pernah dia bermalam bersama lelaki selain suaminya. Aneh dan kecewa jika ini terjadi.

"Aku harus pulang."

"Seharusnya jika hujan tak turun dan malam tak gelap."

"Aku berdoa agar hujan jangan turun!"

Lelaki itu duduk menyandarkan tubuhnya pada dinding bertentangan dengan Maria. Perempuan ini memang cantik. Memiliki wajah lembut. Namun, dia kelihatan banyak masalah. Barangkali suaminya seorang yang tak pandai menilai kecantikan seorang perempuan, lantas diabaikan. Keinginannya tak mahu dipenuhi.

Sekali lagi dia mengangkat muka. Direnungnya wajah lembut dan suci itu. Maria sudah pun menghabiskan semua jagung yang dihidangkan. Bibirnya yang mekar itu dipenuhi saki baki jagung. Namun ia tetap memancarkan seri.

Lelaki itu takjub. Dilihatnya Maria sedikit gelisah.

"Eh, Maria. Kau khuatir jika bermalam di sini? Mana lebih baik jika kau pergi menghadapi haiwan buas daripada kau tinggal di sini?"

"Tapi aku tak pernah tidur bersama-sama lelaki selain daripada suamiku."

"Aku lelaki jujur."

Maria tidak berkata apa-apa. Dia terperangkap dengan kata-kata lelaki itu.

Barulah dia merasakan keletihan. Setelah perutnya berisi dan mendapati keinginannya terisi, dia berbaring di atas katil lelaki itu. Sungguh aneh, mimpinya terlalu bahagia. Lelaki itu jujur. Dia menemani Maria melawat ladangnya yang luas. Di situ dia memetik buah-buahan segar yang menyelerakan. Aneh juga, Maria tiba-tiba bermain dengan anak lelakinya yang comel. Wajahnya mirip lelaki pemilik ladang yang menemani mereka bermain di situ.

"Aku memang mengidamkan keseronokan begini dengan seorang anak, ditemani suami yang kacak seperti kau."

Lelaki itu tersenyum.

"Sudah puas aku impikan kebahagiaan, tapi suamiku seorang pemalas."

Lelaki itu berpusing-pusing, sedikit tersenyum. Sambil melebarkan kedua-dua belah tangannya, dia merenung wajah Maria. Lama-lama.

"Di mana ada kemahuan, di situ ada harapan." Kata lelaki itu, memeluk tubuhnya sendiri.

"Tak mungkin."

"Maria, aku juga begitu sebelumnya. Tidak ada sesiapa yang dilahirkan bersama kekayaan. Mereka samalah seperti kau. Ketahuilah, angan-angan itu suatu perancangan! Ia akan menjelma seandainya impian dan harapan itu menjadi perancangan bagi hidup seseorang."

Maria merenung; wajah yang ceria di sampingnya terlalu menikam sukma. Aneh, tiba-tiba dia jatuh cinta terhadap lelaki itu.

Bersama-sama bangkitnya fajar subuh, Maria terbangun dari tidur, mendengar kicauan burung-burung di dahan kayu yang berdaun hijau dan rimbun. Dia terpinga-pinga. Menyedari mimpinya yang berlalu, dia tergesa-gesa mahu pulang ke rumahnya. Dia merindukan hangit bau keringat suaminya. Segala mimpi. Segala yang terlihat dan terjadi akan disampaikan sejujur-jujurnya kepada Budi.

"Aku mahu pulang." Katanya kepada lelaki itu.

"Aku tahu. Ini kubekalkan kau sedikit benih. Bila sampai di rumah nanti, tanamlah. Kau harus bersabar menunggu. Kekayaan dan kebahagiaan tak datang serentak dengan impian!"

Termenung. Lama terdiam. Maria memasukkan biji-biji benih itu ke dalam tas tangannya. Sambil mengucapkan terima kasih, dia bersegera meninggalkan lelaki itu.

Kicauan burung, lembab jalan di atas tanah, di bawah payungan pohon-pohon rimbun, di celah-celahnya, Maria berjalan meninggalkan Desa Tua. Hatinya berdebar. Apakah reaksi Budi bila mendapati dia tidak pulang ke rumah semalam?

Di atas tanah pusaka tempat berpijak dan menanti, Budi gelisah. Sejak semalam dia menunggu penuh debar. Masa yang terenggang, membuahkan fikiran yang berkecamuk. Masalah keselamatan diri Maria datang bersama cemburu dan khuatir.

"Aku ke Desa Tua mencari jagung," kata Maria setelah Budi memarahinya sebaik Maria sampai di halaman. Tubuh Maria berpeluh. Dia tercungap-cungap setelah melalui jalan yang masih berembun pada pagi hening begitu. Budi mengeluarkan kata-kata kesat yang tak bersopan.

"Ini aku dapatkan benihnya. Dihadiahkan oleh seorang lelaki sebaya dengan usiamu."

Budi cemas, lantaran darah ditubuhnya menyerbu ke muka. Mukanya keruh melihat benih-benih di tangan Maria.

"Siapakah pemuda yang tinggal di Desa Tua?" perlahan-lahan dia mengingati seseorang lelaki sebaya dengannya di Desa Tua. Lama dia termenung. Tak juga menjelma dalam ingatannya. Lalu dituduhnya Maria berbohong.

"Tak mungkin lelaki itu orang Desa Tua. Kau bohongi aku. Lelaki itu tentunya datang dari desa lain. Berjanji denganmu untuk bermalam di Desa Tua. Kau curang. Kau curang!"

"Tidak. Aku tidak bohong, malah tidak curang."

Maria amat kecewa. Kejujurannya dipersia-siakan, dipersalahkan. Waktu dia hendak mendaki tangga, Budi memegang tangannya. Suaminya yang marah itu merampas biji-biji benih dari genggaman Maria, lalu dibuangkan ke dalam semak. Maria kecewa. Di atas rumah kira-kira lima belas minit berlalu, Maria mengerang kesakitan. Kandungannya meronta-ronta. Sebelum Budi pulang bersama seorang bidan, Maria telah melahirkan. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Anak itu comel. Kulitnya putih. Sewaktu Maria menatapinya, dia teringatkan lelaki tampan di Desa Tua.

Perjalanan waktu terasa amat singkat. Sehari terlalu cepat berlalu. Sebulan cepat beredar. Setahun yang pergi terasa baru semalam terpisah.

Maria merenungi anaknya yang sudah berusia setahun itu. Anak itu dibesarkan di celah-celah kehijauan semak samun di sekitar rumahnya. Direnunginya lama-lama. Pada wajah yang ceria itu, terlihat wajah seorang lelaki tampan pemilik ladang di Desa Tua.

"Aku mahu ke sana. Lelaki itu tentu gembira melihat anak ini."

Aneh. Setelah tiba di Desa Tua, Maria tak dapat mencari rumah dan ladang jagung milik pemuda itu. Dia berkelilingan. Sehinggalah dia disapa oleh seorang lelaki tua dengan ramah dan mesra.

"Anak mencari siapa?"

Maria termangu, lama terdiam. Dia memikirkan saat pertemuannya dengan lelaki itu. Tak mungkin! Setahun berlalu, takkan lelaki ini menjadi setua begitu. Setahun beredar, takkan ladang jagung yang seluas itu bertukar menjadi hutan kayu yang berdiri tegak, dijaga rapi seperti ini?

"Setahun yang lalu, saya ke sini, saya menemui seorang pemuda tampan, memiliki ladang jagung manis. Saya tak khuatir lagi, di sinilah. Di sinilah." Dia menudingkan ibu jari kanannya ke sebelah kiri. "Di sinilah!"

Lelaki itu tersenyum, "Tak ada sesiapa yang berladang di sini kecuali pakcik. Ini ladang gaharu. Pakcik tidak pernah membuka ladang jagung seluas ladang gaharu ini."

"Tapi… Mustahil…"

"Cuba anak ingatkan betul-betul."

"Ya. Saya pasti."

"Pastikan betul-betul!"

Maria bingung. Dihitungnya dengan teliti hari-hari yang berlalu. Ditatapnya wajah anak lelaki di dalam dukungannya. Rumah kecil di pinggir ladang ini menjadi saksi tempat dia bermalam setahun lalu. Setahun berlalu tidaklah begitu cepat membawa perubahan sehinggakan seorang lelaki muda menjadi lelaki tua di depannya sekarang. Takkan dia tak dapat membezakan ladang jagung dengan tumbuhan-tumbuhan lain.

"Baliklah," ujar lelaki tua itu. "Sesuatu yang aneh mungkin merasuk fikiranmu."

Maria tidak berkata apa-apa. Dan pakcik di depannya menggeleng-gelengkan kepala. Malah menggarunya.

"Selain daripada kau bertemu dengannya, apa lagi yang dia berikan padamu?" Dia teringatkan sesuatu. Semenjak dia mengusahakan kayu gaharu di atas tanah miliknya, banyak perkara ganjil berlaku. Dan dia menghadapinya dengan tabah.

"Dia hadiahkan segenggam benih."

"Benih? Sudahkah kau tanam?" Soalnya. Terkejut.

Maria bingung, menggeleng-gelengkan kepala.

Cemburu Budi semakin tinggi. Pada suatu ketika cemburu itu memuncak apabila dia mendapati isterinya pergi berjumpa dengan lelaki kacak di Desa Tua. Sepeninggalan Maria dia terus mencari parang dan gergaji. Dia terjun ke tanah. "Akan kukerjakan tanah pusaka ini. Akan ku jadikan sebuah ladang seluas-luasnya." Dia menyesali sikap malasnya selama ini. Dia kecewa menanti kerja berpakaian seragam yang masih tidak mendapat jawapan. Dan dia akan tunjukkan kepada Maria bahawa dia juga boleh membuka ladang seperti pemuda di Desa Tua yang disanjung-sanjung Maria.

Ketika tiba di rumah, hati Maria penuh debar melihat tubuh suaminya terpancang seperti tunggul di belakang rumah. Kilauan matahari menjulur menerangi kawasan yang sudah dipugar. Dia kecewa. Kecewa sekali. Pohon-pohon yang tumbuh dari biji-biji benih yang diperoleh daripada lelaki kacak itu samalah seperti pohon-pohon yang sedang membesar di ladang lelaki tua di Desa Tua. Tetapi pohon-pohon itu sudah tumbang, ditebang suaminya. "Kau kembalilah ke desamu," Maria teringatkan kata-kata lelaki tua sebentar tadi. "Benih-benih yang kau terima dari lelaki itu, benih kayu gaharu. Aku percaya ia mesti tumbuh dan membesar. Itulah hadiah lelaki itu kepada kau dan anak ini."

"Gaharu? Pokoh gaharu? Ah, kalau benar begitu hidup kami akan bahagia!"

Maria berlari pulang. Tidak sabar. Dia ingin melihat pohon-pohon itu. Dia yakin pohon-pohon yang tumbuh di belakang rumahnya sama seperti pohon-pohon gaharu milik lelaki tua di Desa Tua.

Panas memijar. Cahaya matahari menikam tajam ke bumi dan di celah-celah ranting-ranting pohon di sekitar pondok. Dia merenung sayu ke daerah pohon-pohon yang tumbang. Di sana dia melihat bayangan tubuh seorang lelaki kacak yang pernah ditemuinya. Lelaki itu berdiri di celah-celah pohon muda yang sudah menyembah bumi. Samar-samar. Dada Maria bergetar. Dipandangnya sekali lagi. Semuanya tiada. Semuanya hilang! Semuanya musnah oleh keperengusan suaminya.

Utusan

Pesara tentera terima pencen RM66.36 sebulan rayu bantuan (Ceritera)

24/05/2009 11:23am

KOTA BAHARU 24 Mei — Seorang pesara tentera yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan menerima pencen RM66.36 sebulan, merayu kerajaan menilai semula kadar pencennya dan diberikan elaun sebagai pesara tentera yang cacat.

Lans Koperal (B) Wan Mohd Afandi Wan Zain, 48, mendakwa beliau juga tidak menerima sebarang ganjaran semasa bersara sekalipun telah berkhidmat selama 23 tahun.

Katanya di akhir perkhidmatannya beliau disahkan menghidap penyakit stres oleh Hospital Tentera Terendak, Melaka sebelum dirawat di Hospital Tentera Lumut Perak dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Sejak Disember 2002 saya menerima pencen terbitan sebanyak RM66.36 sebulan, wang itu dibelanjakan untuk keluarga saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Mek Zainab di sini.

Wan Mohd Afandi yang menumpang di sebuah rumah milik jirannya bersama-sama isteri dan seorang anak, kini bekerja mengambil upah membersih kawasan rumah orang dengan pendapatan tidak seberapa. - Bernama

iDAN: Nasib orang Stres selalunya tak siapa menganggap ianya serius, maka itu selalu golongan begini terpaksa menanggung risiko sendirian. Mereka yang mengakibatkan golongan ini stres terus melakukan ceritera lama; menjadikan golongan lemah ini sebagai batu loncatan mereka. Tanpa rasa bersalah.

Tuntutan pesara ditimbang

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@yahoo.com.my

PEKAN 23 Mei – Berita baik untuk pesara kerajaan. Kerajaan bersedia memperhalusi empat lagi tuntutan golongan itu untuk menjaga kebajikan mereka.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kerajaan pasti akan mempertimbangkan kesemua tuntutan tersebut.

Ini kerana, menurut beliau, kira-kira 90 peratus tuntutan yang dikemukakan oleh Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) sebelum ini diterima dan diluluskan.

Empat tuntutan bagi menjaga kebajikan 48,000 pesara kerajaan adalah:

* Pemberian wang ihsan setiap pembayaran bonus tahunan kepada kakitangan kerajaan;

* Pemberian pencen terbitan bagi wanita yang melangsungkan perkahwinan selepas bersara;

* Pemberian pencen RM720 sebulan kepada pesara yang berkhidmat kurang 25 tahun;

* Pelantikan senator di kalangan ahli PPKM.

Perdana Menteri berkata, PPKM boleh terus mengemukakan tuntutan tersebut kepada Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dirundingkan.

Hasil rundingan itu, kata beliau, akan diperhalusi oleh Kabinet sebelum sebarang keputusan diambil mengenai tuntutan tersebut.

‘‘Saya pasti empat tuntutan tersebut akan dipertimbangkan kerana sebelum ini kira-kira 90 peratus daripada permintaan yang dibawakan oleh PPKM diterima dan diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung perwakilan tahunan kali ke-15 di Majlis Daerah Pekan (MDP) di sini hari ini.

Kerajaan, menurut Najib, sentiasa memikirkan kebajikan golongan pesara supaya kehidupan mereka sentiasa terbela selepas menamatkan perkhidmatan.

Dalam pada itu, katanya, sumbangan golongan pesara kepada negara dan masyarakat tidak terhenti meskipun mereka telah menamatkan perkhidmatan dalam kerajaan.

‘‘Walaupun telah tamat perkhidmatan, tidak semestinya jasa dan bakti mereka kepada bangsa, agama dan negara sampai ke penghujungnya.

‘‘Saya masih menganggap setiap pesara boleh mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat dengan apa juga cara mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Ini kerana, kata Perdana Menteri, ada pesara yang mempunyai kemampuan luar biasa seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih cergas dari segi minda dan fizikal walaupun umurnya mencecah 85 tahun.

‘‘Kemampuan ini lahir daripada bagaimana cara kita menguruskan diri walaupun selepas tempoh persaraan.

‘‘Oleh itu, setiap pesara harus sentiasa menjaga kesihatan diri agar dapat membentuk kecergasan fizikal dan menyuburkan minda,” ujarnya.

Tambahnya, setiap kakitangan kerajaan mungkin boleh mencapai umur persaraan sehingga 60 tahun jika mempunyai badan dan minda yang sentiasa sihat dan cergas.

Sementara itu Yang Dipertua PPKM, Datuk Abdul Ghani Sulaiman berkata, pihak persatuan tidak menetapkan jumlah wang ihsan yang juga boleh disebut sebagai ‘bonus’ kepada pesara.

‘‘Jika kakitangan kerajaan mendapat habuan dalam bentuk bonus, maka pesara kerajaan juga tidak boleh dikecualikan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Menurut Abdul Ghani, beliau yang mewakili Yang Dipertua PPKM kebangsaan, Datuk Wan Mahmood Pawan Teh berharap empat tuntutan itu mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Perdana Menteri.

‘‘Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana selama ini begitu prihatin mengenai setiap isu yang diperjuangkan oleh PPKM,” katanya.

Utusan

Jangan Lupa Lirik Seri Gagal..(Hiburan)

Kenapa mesti orang Melaka bersama Seri terlalu payah mahu mempercayai orang luar, mahukan keluarganya juga menjadi pelampung; maka hilang RM25,000. Sedangkan semua kita tahu Nurul adalah penyanyi lagu Melayu yang kita kenali memang mahir dengan lagu lama, telah diundang untuk membantu dia... diketepikan.

Sebab terlampau tamak, takut Nurul minta belanja kot...maka Seri memilih kakaknya menjadi pelampong; Kakaknya juga gagal mengingati bait penghujung lagu Semalam Ku Bermimpi nyanyian Saloma & P. Ramlee. Jadilah pelampung yang terapung.

Bila Nurul mencuba setelah si Seri menarik diri, sememangnya tepat apa yang Nurul ingatkan lirik tersebut. Wajah sadin yang hilang seri & ego orang Melaka ini masih tak berubah. Sakit hati betul tenguk rancangan hiburan macam ini!.

22 Mei 2009

Tiga Beranak (Singgahsana)



Aziq di Sekolah Teknik Gombak. Minggu lalu dia mendapat panggilan dari MRSM. Yang peliknya MRSM hanya bergantung dengan nombor telefon Aziq yang memang payah dihubungi sebab sekolahnya memang melarang untuk menggunakan telefon bimbit. Apatah lagi waktu belajar. Pihak MRSM tidak menggunakan surat atau telefon nombor rumah atau keluarga. Yang paling baik jika mahu menghubungi keluargaku tentulah Mila, dia memang rapat dengan telefon bimbitnya. Tidur pun dengan telefon bimbitnya. Nombor kedua yang terbaik ialah telefon rumah. Aku sentiasa ada di rumah; jika pun tiada aku biasanya Anif & Azim boleh tinggalkan pesan. Telefon bimbitku minta maaflah, memang jarang aku guna.

Bagusnya cara zaman dulu, siapa ada telegram jika sesuatu masalah kecemasan, kematian & perbagai. Kenapa pihak MRSM buat si Aziq itu kecewa. Tawaran pertamanya jauh amat di Sarawak, tawaran keduanya di Pulau Pinang tak dapat surat, tak dapat hubungi kami kemudian diberikan kepada pelajar lain. Semudah itu. Sedangkan kami telah berusaha membuat rayuan perbagai. Jika aku mendapat tawaran tersebut aku memang tidak menolak. Biar pun Pulau Pinang itu jauh insyaAllah aku kuatkan upaya. Jika tidak mampu balik hari pasti kami bermalam di sana., Paling kecewa tentulah Aziq. Aziq pun satu tak pernah berbincang dengan ayahnya. Buat permohonan sendiri; jika bermasalah bincang dengan ibunya. Seharusnya di dalam permohonan tersebut; paling tidak letak nombor telefon rumah. Terbaik nombor telefon ibunya. Emmm! segalanya telah berlalu. Sekarang pun telah nak masuk setengah tahun. Pastinya telah terlewat.

Minggu ini Aziq tak balik sebab bukan jadual balik kampung. Telah dua minggu dia tak balik, minggu lalu katanya mahu tumpukan perhatian dengan peperiksaannya.

Hafiz pula di Shah Alam, semalam dia balik ke Jenaris, peperiksaan semester kedua telah bermula. Hari ini dia tak balik, mungkin ada aktiviti lain. Katanya minggu hadapan masih ada lagi kosnya yang belum selesai peperiksaannya.

Azim pula dua hari tiada di rumah, ikut kursus motivasi yang dianjurkan oleh Sekolah Agamanya. Maka sunyilah amat bila tiada tiga orang cahayamataku di rumah. Seharian dari Senin hingga Jumaat pun hanya aku bertiga di rumah. Memang sunyi.

Mila tengah sibuk mahu ke Sogo, katanya ada tawaran di sana. Aku tak pasti apakah yang masih mahu dicarinya. Jika bab pakaian rasanya baru sahaja dia membeli belah di Sungai Besar. Mungkin nak beli baju raya untuk anak-anak. Bila bulan puasa pun aku tak pasti. Tetapi semua masjid sedang sibuk menguruskan kursus haji. Payah hidup moden ini; cuma biasa dengan bulan orang putih. Susunan bulan Melayu@Islam pun tak tahu. Tak mahir tak ingat. Yang mahirnya lepas Ramadhan... Syawal; sebab nak beraya sakan.

Hari ini 28 Jamadilawal 1430. Emm! dua bulan lagilah baru Ramadhan. Lama lagi tu takkan Mila dah sibuk nak beli pakaian raya anak. Ini mesti lebih nak merambu. nak jalan-jalan bosan duduk di rumah.

Bulan Bulan Islam

AMALAN SUNAT DALAM BULAN-BULAN ISLAM :

BULAN MUHARRAM

Tanggal 1-9hb disunatkan berpuasa (puasa Tasua')
Tanggal 10hb disunatkan berpuasa (puasa Asyura)
Dalam bulan ini disunatkan agar memperbanyakkan amalan bersedekah kepada fakir miskin
Disunatkan supaya melebihkan perbelanjaan dalam keluarga
Mengusap kepada anak yatim dan menaruh perasaan belas kasihan terhadap mereka
Memperbanyakkan bacaan zikir dan selawat
Sesiapa yang berbuat baik kepada anak yatim seolah-olah ia telah berbuat baik kepada semua anak-anak
yatim.
Sesiapa yang bersedekah pada hari itu maka seolah-olah ia tidak pernah menolak permintaan orang yang
meminta-minta selama hidupnya

BULAN SAFAR
BULAN RABIUL AWWAL
BULAN RABIUL AKHIR
BULAN JAMADIL AWWAL
BULAN JAMADIL AKHIR

Tiada amalan sunat yang khusus atau istimewa dalam bulan ini melainkan amalan sunat dan fardhu seperti biasa.

REJAB

Bersabda Rasulullah saw maksudnya " Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku." Sesiapa yang berpuasa dalam bulan ini dengan penuh ikhlas semata-mata mengharapkan rahmat dari Allah maka ia layak mendapat ganjaran dari Allah seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw maksudnya,

Sesiapa yang berpuasa sehari maka ia akan mendapat keredhaan Allah
Sesiapa yang berpuasa 2 hari maka ia akan mendapat kemuliaan yang besar dari Allah
Sesiapa yang berpuasa 3 hari maka ia akan dijauhkan dari Allaj dari dugaan dunia, deselamatkan dari
penyakit yang berbahaya dan diselamatkan dari disiksa diakhirat dan fitnah dajjal
Sesiapa yang berpuasa 7 hari maka akan dikunci oleh Allah 7 pintu neraka jahannam baginya
Sesiapa yang berpuasa 8 hari maka akan dibuka oleh Allah 8 pintu syurga baginya
Sesiapa yang berpuasa 10 hari maka akan dieprkenankan oleh Allah hayat dan permintaannya
Sesiapa yang berpuasa 15 hari maka Allah akan menambahkan pula pahala amalannya berlipat kali ganda
Orang yang berpuasa di bulan Rejab kelak di Syurga diberi minum air sungai yang bernama Rejab yang
airnya lebih putih dari susu, lebih manis dari manisan dan lebih dingin dari salji
Dalam bulan lain setiap amalan akan digandakan Allah 10 kebajikan, tetapi pada bulan Rejab akan
digandakan sebanyak 70 kebajikan.
Digalakkan mendengar kisah dan peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab seperti Isra' Mikraj Rasulullah
saw.


BULAN SYAABAN

Syaaban adalah bulan Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya " Dinamakan dengan syaaban (berserak-serak) itu adalah kerana di dalamnya terdapat banyak kebajikan yang berserak-serak.

Setiap amalam kebajikan akan digandakan oleh Allah dengan 700 kali ganda
Allah akan menurunkan rahmatNya serta memberikan pengampunan umum kepada hambanya.
Sesiapa yang berpuasa 3 hari di awal, pertengahan dan di akhirnya maka Allah akan menuliskan baginya
pahala 70 orang nabi, pahala beribadat selama 70 tahun.
Kelebihan malam nisfu Syaaban pula ialah sesiapa yang mendirikan solat sunat sunat dan menghidupkan
malam itu dengan banyak berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, membaca al Quran dan sebagainya maka
Allah akan membukakan untuknya 300 pintu rahmat disamping doanya tidak akan ditolak.
Orang-orang yang tidak diampunkan oleh Allah pada malam nisfu syaaban ialah mereka yang menyekutukan
Allah dengan sesuatu, tukang sihir, tukang nujum, mereka yang suka bermusuhan, peminum arak, penzina,
pemakan riba, derhaka terhadap kedua ibu bapa, pembuat fitnah dan mereka yang memutuskan tali
silaturrahim.


BULAN RAMADHAN

Ramadhan adalah bulan umat Muhammad saw. Bersabda baginda yang bermaksud " Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan."

Sabda baginda dalam hadis yang lain, " Jika umat manusia itu mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam bulan ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu Ramadhan"

Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda
Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardhu
Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian
pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan
bahagian ketiga pembebasan dari api neraka
Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawikh, witir dan solat sunat yang lain.
Benyakkan berdoa, berzikirz selawat, membaca Al Quran, bertaubat dan lain-lain
Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada di dalam kesusahan dan
ditimpa kemalangan.
Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.
Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan bagi mengharapkan
keberkatan dan kebesaran malam Lailatul Qadar seperti beriktikaf di masjid, qiamullail dan sebagainya


BULAN SYAWAL

Amalan sunat di bulan Syawal :

Amalan sunat pada 1 Syawal seperti :

a) Membayar zakat fitrah sebelum menunaikan Solat Aidil Fitri
b) Menghias diri dan tempat tinggal supaya kelihatan bersih dan cantik
c) Mendi Sunat Aidilfitri pada pagi harinya
d) Menjamah sedikit makanan sebelum keluar menuju masjid
e) Keluar menuju ke masjid dengan satu jalan dan bila pulang menggunakan jalan yang lain
f) Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid
g) Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula malam 1 Syawal hinggalah tersenam matahari pada hari
raya tersebut.

Berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal (Sunat Syawal)

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya " Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan kemudian diikuti dengan 6 hari dibulan Syawal maka perumpamaannya seperti ia berpuasa sepanjang tahun."

BULAN ZULKAEDAH

Tiada amalan sunat yang khusus atau istimewa dalam bulan ini melainkan amalan sunat dan fardhu seperti biasa.


BULAN ZULHIJJAH

Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a, Rasullullah s.a.w telah menerangkan tentang fadilat di bulan Zulhijjah iaitu :

Tanggal 1 Zulhijjah kesalahan Nabi Adam as telah diampunkan Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu dosanya akan diampunkan oleh Allah

Tanggal 2 Zulhijjah doa nabi Yunus as diperkenankan Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu seperti berpuasa setahun dan dicatitkan baginya seperti tidak pernah melakukan maksiat.

Tanggal 3 Zulhijjah doa nabi Zakaria telah diperkenankan oleh Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu doanya juga akan diperkenankan oleh Allah

Tanggal 4 Zulhijjah Nabi Isa dilahirkan. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan terhindar dari kefakiran dan kemelaratan.

Tanggal 5 Zulhijjah Nabi Musa as dilahirkan. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan terlepas ia dari sifat munafik dan siksa kubur

Tanggal 6 Zulhijjah allah telah membukakan pintu-pintu kebajikan kepada nabi-nabiNya. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan dipandang oleh Allah dengan pandangan rahmat

Tanggal 7 Zulhijjah pintu neraka Jahannam akan dikunci. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan dibukakan 30 pintu kemudahan dan dikunci 30 pintu kesulitannya

Tanggal 8 Zulhijjah Nabi Ibrahim telah mendapat perintah supaya menyembelih anaknya Ismail. Seharian ia berfikir sama ada perintah itu daripada Allah atau dari Syaitan.Hari itu dinamakan hari Tarwiyah (hari berfikir). Sesiapa yang berpuasa hari tersebut akan diberikan pahala yang banyak oleh Allah

Tanggal 9 Zulhijjah Allah telah memberitahu kepada Nabi Ibrahim bahawa mimpinya itu adalah benar dari Allah, bukan dari syaitan. Oleh itu, hari tersebut terlah dikenali sebagai 'Arafah' (Hari ketahui).

Sunat bersedekah kepada fakir miskin. Sesiapa yang bersedekah pada hari tersebut akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat nanti dalam keadaan aman dan sentosa.

Amalan sunat pada 10 Zulhijjah seperti :

a) Mandi sunat Aidil Adha pada pagi harinya.
b) Sunat tidak menjamah makanan atau minuman sehinggalah selesai menunaikan solat Adha
c) Keluar menuju ke masjid dengan satu jalan dan bila pulang menggunakan jalan yang lain
d) Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid
e) Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula malam 10 Zulhijjah hinggalah tersenam matahari pada tanggal 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad)

Sunat membaca doa akhir tahun pada tanggal 29 atau 30 Zulhijjah selepas solat Asar dan membaca doa awal tahun selepas solat Magrib pada malam pertama awal Muharram.

21 Mei 2009

Terkenang Awok AF7 (Hiburan)



Datuk Khatijah Ibrahim sering menyebut agar Aril@Awok akan mengantikan sahabatnya Allahyarham Sudirman.

Tak dapat dinafikan manusia bernama Awok ini punyai bakat besar, suaranya biarpun tidak sehebat Hafiz sebagai juara. Tetapi punyai pakej & potensi yang besar untuk lebih berjaya. Aku yakin satu ketika nanti Awok bakal dinobatkan artis paling popular di tanah air. Suaranya serak & unik jika digilap pasti akan gempak dunia seni kita.

Sebagai contoh Naib Juara One in a Million musim pertama Faizal Tahir, jauh lebih berjaya & popular berbanding juaranya Suki. Suki & peminatnya macam syok sendiri sahaja. Mendatar serta tak tahu di mana halatuju persembahannya. Yang pasti SMS telah merubah bakat & hak sebenar peserta. Maka itu aku terkadang amat benci dengan rancangan realiti yang melibatkan SMS. Yang lebih berbakat sering terpinggir.

Tenguk apa jadi kepada Mawi, mana dapat dia mengatasi Datin Siti Nurhaliza yang saban tahun terusan dapat mengekalkan kepopularannya. Yang pasti Raja SMS Mawi mungkin satu hari akan hilang dari dunia seni. Jika tanpa bantuan SMS. Bakat SMS memang tak sekekal mana. Sekarang dia bergantung kepada machoo gondolnya sebagai duta produk barangan sahaja. Itu pun nampaknya Power Root tak lagi menggahkan sangat namanya. Rosyam Noor masih digahkan iklan di TV hingga ke hari ini.

Cubalah kita bandingkan Mawi & Sudirman. Sudirman memang kaya dengan bakat & perbagai auranya. Perbagai kejutan dalam persembahannya menjadikan dunia seni tanah air amat meriah. Biar pun filem Kami lakonannya tidak segempak mana tetapi bakatnya dalam bidang lakonan tidak dapat kita perkecilkan. Aku tak nampak aura Mawi selain biarpun dia gondolkan kepalanya tetapi masih nampak machoo. Itu saja worldnya dia.

Harapanku terhadap Awok seperti juga harapan Datuk Khatijah Ibrahim; agar satu hari dia menjadi artis yang disegani & bakatnya terus berkembang; sebaik Allahyarham Sudirman.

Astro terlibat menaikkan nama Awok tetapi melalui Diari AF7 kita dapat rasakan betapa lagu pada pertandingan akhir Toksik yang dicipta khas buat Awok sememang sekadar tangkap muat sahaja. Nak kata joget pun bukan, pop pun bukan, aku tak arif tentang lagu; memang merasakan payah buat Awok mahu menonjolkan bakatnya melalui lagu tersebut. Dalam diari AF dia cuba membaiki tempo & konsep persembahan tetapi nampak sangat Awok terpinggir. Dia memerlukan kumpulan koir tetapi tidak dilayani; kedua-dua persembahan Awok tanpa pengiring. Sendirian tidak seperti peserta lain. Mungkinkah dia menolak atau bagaimana keadaan yang sebenarnya; hanya Awok yang tahu.

Aku sebagai peminat Awok tentunya terkilan dengan kegagalannya menjadi Juara;

Sungguh Hafiz punyai bakat & lokal yang baik. Bakat tanpa daya persembahan yang kreatif tidak akan ke mana. Takkan mahu bergaya dengan cara mengelap gajah semata, & bergantung dengan SMS satu Sarawak sahaja. Hafiz kenalah lebih berusaha agar bakatnya berkembang megar. Tenguk wajah Hafiz aku teringat akan Herman Tino yang aku minati. Suara sedap cumanya asyik bawa kain pelekat ke pentas menjadi identitinya sampai ke zaman kini. Bayangkan jika sesekali Herman Tino terbang pakai dawai bagai Faizal Tahir. Huh! Gawat. Hafiz jangan tiru macam Suki. Jadi juara tetapi tak ramai mengenalinya. Tranformasi biar berkesan. Jika mahu lebih berjaya pastinya Hafiz kena berhijrah ke semenanjung. Baru meriah.

Hafiz menerima hadiah lumayan berupa kereta Honda Accord (2.0) tajaan Honda Malaysia, pakej percutian ke New York untuk dua orang tajaan Maybelline New York, Aktif bersama Hotlink selama setahun, Arezzo Hoffman (5.1 Home Theatre System), kamera U1030 tajaan Olympus, Hyundai Air Purifier tajaan MSP Advance, jam tangan tajaan Hugo Boss, Brand’s InnerShine tajaan Cerebos untuk dinikmati setahun, telefon bimbit Nokia 5730 XpressMusic tajaan Nokia dan wang tunai RM20,000 tajaan Astro.

Dengan layanan Astro yang tidak samarata; kemahuan yang diimpikan Awok diketepikan setidak-tidaknya memberi impak kepada persembahannya. Kasihan Awok hilang banyak hadiah yang seharusnya dimilikinya jika menjadi juara. Kereta, melancong ke luar negara sebagai hadiah utama; semua itu adalah impian semua orang.

Nak buat macam mana bukan rezeki Awok! Sepatutnya tempat kedua... Naib Juara carilah penaja yang lebih gempak, dapat motor besar atau scooter melancung biarlah jauh sikit bukan ke Siam atau Endon. Baucar percutian RM3,000 sekitar Asia sahaja kot!. Bagaimana pun tahniah Awok & Akim mungkin tawaran berlakon untuk filem muzikal di Jakarta itu satu langkah permulaan yang baik. Semoga Awok & Akim akan mengasah bakat di sana pun menambah ramaikan lagi peminatnya di sana, agar kalian berdua akan terus menuju mercu kejayaan.

Naib juara, Aril atau Khairil Azam Pilus, 24, dari Kuala Lumpur menyanyikan lagu Kasih Tak Sampai (Padi) dan Toksik ciptaan Alim dan Shazee Ishak serta lirik oleh Nurfatima. Dia membawa pulang hadiah berupa baucar percutian bernilai RM3,000 tajaan Maybelline New York, kamera U1030 tajaan Olympus, Arez-zo Hoffman Karaoke Set tajaan Areezo, Hyundai Air Purifier tajaan MSP Advance, jam tangan tajaan Hugo Boss dan wang tunai sebanyak RM10,000 tajaan Astro.

Tempat ketiga yang dimenangi oleh Akim; Setidak-tidaknya Akim nampak lebih kreatif dengan persembahan yang dapat memukau penonton. Jika Awok di tempat pertama mesti Akim menjadi pencabar Awok. Begitulah sebaliknya. Lagu Bercinta yang didendangkannya memang penuh aksi; cumanya terlalu lama ianya terikat dengan kain putih itu buat kita rasa rimas. Tetapi dia ada daya kreatif yang boleh kita banggakan & manis untuk dikenang.

Tempat ketiga menjadi milik Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18, dari Johor Bahru yang mendendangkan lagu Bencinta (Faizal Tahir) dan Bengang ciptaan Amir, manakala lirik oleh SQ. Kejayaan itu membolehkannya membawa pulang hadiah baucar percutian bernilai RM2,000 tajaan Maybelline New York, kamera FE320 tajaan Olympus dan wang tunai sebanyak RM8,000 tajaan Astro.

Yazid atau Mohd Yazid Ibrahim, 22, dari Johor Bahru menyampaikan lagu Kasidah Cinta (Dewa 19) dan Ya Papa ciptaan Tun Taja, manakala lirik oleh Hairul Anuar Harun, menduduki tempat keempat. Dia membawa pulang hadiah berupa kamera FE320 tajaan Olympus dan wang tunai RM3,000 tajaan Astro.

Yasid memang anak emas Astro; tetapi pemilihan lagu buat dia jadi hilang sengat.

Astro pun satu... tempat kelima sekadar tropi apakah mencukupi. Duit melalui SMS bukan sedikit yang dibolot; sekadar tropi apalah kata peminat yang SMS & suami Isma yang berkorban bukan seminggu dua berjauhan dengan isterinya. Belikan sebuah kamera pun kira dah okey!. Bukanlah mahal sangat kamera digital di zaman ini. Kasilah hadiah saguhati RM500 pun dah okey buat Isma belikan gula-gula untuk anak-anaknya.

Memang AF ini kena buat banyak post mortem agar benar-benar tepat & puas di hati peminat. Jangan asyik nak gesa & korek duit peminat sahaja. Keuntungan masuk kantung sendiri; artis berbakat jadi bahan dagangan semata. Biarlah AF mendatang ada timbang tara & keadilan dalam memperdagangkan bakat seni seseorang artis yang digilap.

iDAN

Aril AF7 Mendapat tempat KEDUA
Posted by admin

KEHADIRAN jejaka ini di Akademi Fantasia 7 (AF7) memberi impak besar kepada rancangan realiti TV paling popular itu dek personalitinya yang ceria selain memiliki pakej yang digilai ramai.

Namun, penyingkirannya pada konsert mingguan ketujuh di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil baru-baru ini memeranjatkan ramai hinggakan ada pihak sanggup membuat petisyen di Internet untuk mengembalikannya ke AF7, selain mengharapkan pihak produksi mengadakan undian AFMASUK seperti pernah dilakukan beberapa musim sebelum ini.

Ramai pemerhati seni, termasuk penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim dan Adibah Nor menyelar pengundi yang dianggap ‘kurang bijak’ dalam membuat keputusan tidak mengundi jejaka berasal dari Ampang, Selangor ini sehingga menyebabkannya tersingkir.

Hari ini mungkin peminat dapat melihatnya kembali menerusi kaca TV kerana peminatnya boleh menebus semula kesilapan dan berpeluang melihat Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 23, beraksi di peringkat akhir AF7.

Peluang terbuka apabila Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina mengumumkan talian AFMASUK dibuka pada konsert mingguan kelapan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, ada pihak membantah keputusan itu kerana berpendapat pihak produksi ‘sengaja’ mengadakan AFMASUK bagi membenarkan Aril melangkah ke final AF7 walaupun tersingkir.

Ini terbukti selepas beberapa hari waktu undian dibuka sejak Isnin lalu, kedudukan Aril pada tahap tertinggi berbanding bekas peserta lain seperti Aishah, Claudia dan Zizi yang disebut-sebut sebagai pesaing terdekatnya.

“Bercakap mengenai AFMASUK, saya langsung tidak terfikir sama ada bersetuju atau tidak dalam perkara ini kerana semua keputusan bergantung kepada pihak produksi dan terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” kata adik kepada penyanyi Izwan Pilus ini.

Malah, dia tidak menaruh harapan tinggi memandangkan peluang sama rata diberi kepada peminat setiap pelajar yang tersingkir sebelum ini, apatah lagi rakannya bukan penyanyi yang calang-calang.

“Saya setuju jari menjadi juri dalam pertandingan ini, jadi saya serahkan sepenuhnya kepada pengundi di luar sana untuk membuat keputusan, dan saya berterima kasih dengan sokongan yang diberi kepada saya,” katanya.

Ketika penyingkirannya, ramai terkena tempias kemarahan peminat yang kecewa melihatnya menarik beg turun dari pentas transformasi AF7, termasuk bintang AF3, Marsha Milan Londoh yang dikatakan punca peminat tidak mengundi jejaka berkulit cerah itu.

“Tidak perlu kecewa dengan penyingkiran saya. Memang saya kesal kerana apabila saya sudah tiada di AF7 baru ada yang menyatakan rasa terkilan dan sebagainya, walaupun saya percaya rezeki ada di mana-mana.

“Usah salahkan Marsha kerana tidak adil untuk menghukumnya, sedangkan dia langsung tidak bersalah dalam hal ini,” katanya.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam dunia seni nyanyian, tarian dan pengacaraan, anak ketiga daripada empat beradik ini berjaya mengembangkan bakatnya sebagai pengacara rancangan Trendy yang memfokus kepada isu remaja selain memaparkan gaya hidup, fesyen dan muzik.

“Saya ditawar menjadi pengacara selepas mengikut abang (Izwan) ke sebuah rakaman di RTM, dan penerbit berminat dengan sifat saya lalu memanggil saya ke uji bakat.

“Tidak sangka juga saya ditawarkan tanggungjawab itu, dan saya mengacara rancangan itu selama tiga musim,” katanya.

Menyentuh pembabitannya dalam seni tari, Aril mengakui pernah memenangi Festival Tarian Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 2007 dan aktif dalam tarian ‘shuffle’ sehingga dia dan rakan menubuhkan komuniti penari ‘shuffle’ dinamakan Hardstyle Republic yang mendapat sambutan hangat daripada golongan muda.

“Saya mengagumi AC Mizal kerana dia boleh buat semua seperti mengacara, berlakon, menari dan menyanyi.

“Saya juga hendak jadi seperti itu dan mahu membuktikan kepada pengetua dan tenaga pengajar yang saya boleh menjadi ikon serba boleh yang mereka cari,” kata Aril yang cemerlang menerusi persembahan lagu Yang Pernah daripada Estranged dan Nakal nyanyian asal Gigi ketika persembahan mingguan.

Jom ke Jakarta Aril & Akim

Teks oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR, 18 MEI 2009: Kalau bintang Akademi Fantasia Musim 7 (AF7) lain mula sibuk memenuhi jadual kerjaya seni mereka di dalam negara, Aril dan Akim pula terus terpaksa terbang ke Jakarta, Indonesia, awal pagi ini, Isnin.

Pemergian mereka ke sana adalah untuk memenuhi tawaran membintangi sebuah projek drama muzikal yang diterbitkan secara usahasama oleh produksi Malaysia dengan Indonesia. Difahamkan tawaran ini telah diterima ketika mereka masih berada di dalam akademi lagi.

Mengulas tentang pemergiannya ke Indonesia, Aril ketika ditemui murai.com.my di ibu negara, semalam berkata, tawaran itu sungguh menarik kerana bercorak drama muzikal tetapi masih belum bertajuk.
Jangan Tak Lihat

"Saya terharu mendapat tawaran itu tapi saya pergi tidak lama, cuma seminggu saja. Mudah-mudahan semuanya akan berjalan dengan lancar. Apapun, semua ini adalah satu permulaan kerana perjalanan saya dalam bidang ini masih lagi terlalu jauh," katanya.

Biarpun dihimpit dengan kutukan dan cacian, bintang AF7 yang kini mula menjadi ikon di kalangan peminatnya masih mampu mengukir senyuman serta masih tabah meneruskan kehidupan.

"Kalau hendak diikutkan, saya rasa sedih juga dengan apa yang segelintir orang cakap tentang diri saya tetapi inilah cabaran yang harus saya hadapi dalam AF7. Lagipun untuk berjuang dalam industri ini, kita harus menjadi kuat.

"Mujur ramai yang memberikan kata-kata semangat kepada saya termasuklah saudara mara dan kawan-kawan dalam AF7 sendiri iaitu Hafiz, Yazid, Akim dan Kak Isma. Waktu saya di AFMasuk, mereka inilah yang banyak memberikan sokongan yang tidak berbelah kepada saya.

"Saya juga terharu apabila melihat begitu ramai rakan-rakan serta peminat di luar sana yang menyokong saya sewaktu beraksi dalam konsert final dulu. Selalunya apabila pelajar di AF Masuk mereka akan mendapat sorakan 'booo' tapi ia jadi sebaliknya.

"Jadi saya mahu berterima kasih kepada mereka yang menyokong saya selama ini. Buat yang tidak menyokong dan menolak saya, ia tidak menjadi masalah," katanya.

Tentang kemenangannya sebagai naib juara, Aril berkata, dia sebenarnya terkejut.

"Saya sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa. Yang penting, saya ingin membuat yang terbaik pada malam itu khususnya untuk penyokong serta pengundi-pengundi saya. Mungkin inilah yang dikatakan rezeki," katanya.

Sementara itu, Akim pula mengakui sangat teruja untuk memenuhi tawaran membintangi drama muzikal yang sama bersama Aril di republik itu.

"Penat AF7 belum hilang lagi tetapi saya dan Aril dah kena terbang ke Jakarta. Akim seronok sangat sebab dan lama teringin ke sana. Akim ingin timba ilmu tambahan daripada orang-orang di sana pula," katanya.

Selaku bintang AF7 yang dianggap sebagai underdog, Akim berkata, dia langsung tidak berkecil hati sekiranya ramai yang tidak perasankan kehadirannya dalam AF7.

"Saya makin bersemangat pada minggu-minggu terakhir AF7 kerana melihat sokongan penonton. Tapi semua ini tidak akan berhasil jika saya sendiri yang tidak sanggup mengubah atau memperbaiki kelemahan pada diri saya. Cikgu-cikgu sudah berikan tunjuk ajar mereka, jadi kita kena praktikkan.

Akim juga berkata, jika diberikan tempoh waktu yang lebih lama lagi di dalam akademi itu, dia percaya dia akan lebih mampu menggugat pelajar lain.

"Saya bersyukur dengan kemenangan di tempat ketiga. Bagi saya apa yang lebih penting ialah transformasi yang saya lalui di dalam akademi," kata Akim.