| |
|
Jamal Abdillah sudah melunaskan janjinya mengadakan konsert istimewa, Jamal... Kembara Seniman selama lima malam berturut-turut mulai 5 Ogos lalu di Istana Budaya. Saya sempat menonton salah satu malam persembahannya.
Semasa melangkah masuk, saya sudah dapat info mengatakan segmen pertama sedikit boring daripada penonton lain yang menonton pada malam-malam sebelumnya. Jadi saya sudah bersedia dengan amaran kebosanan pasa segmen awalnya.
Bosan itu katanya kerana segmen tersebut memuatkan lakonan dan nyanyian perjalanan Jamal sebagai penghibur yang bermula dengan zaman bayinya yang suka menangis dan akan diam apabila diulit dengan lagu sehingga dia bergelar Juara Bintang RTM 1979.
Saya duduk menonton segmen pertama dengan khusyuk dan nyata saya terhibur dengan apa yang dipersembahkan. Saya ingatkan masih panjang lagi segmen pertama kerana saya belum rasa bosan menontonnya.
Malah penonton lain juga terpaku dengan persembahannya. Tiba-tiba diumumkan segmen pertama tamat dan persembahan berhenti rehat. Nampaknya persembahan itu tidak membosankan saya.
Semasa waktu rekat, saya mendekati pegawai Istana Budaya bertanyakan kalau-kalau persembahan pada malam itu berbeza dengan persembahan malam-malam sebelumnya kerana saya tak berasa bosan sedikit pun.
Katanya itulah juga persembahan yang dilakukan oleh Jamal pada malam-malam yang lain. Nampaknya persepsi yang diberi oleh penonton lain pasal persembahan Jamal meleset sama sekali.
Mungkin rakan itu menonton semasa dirinya berada dalam situasi yang membuatkan dia tidak boleh menghayati hiburan yang dipersembahkan. Itu kata hati sayalah.
Vokal sangat bertenaga
Kelebihan utama konsert solo Jamal ialah vokalnya yang sangat hebat dan memiliki himpunan lagu popular yang tidak pernah pudar. Lagu-lagu Kau Lupa Janji, Seniman Menangis, Lancang Kuning, Suratan Nasib, Kabus Di Wajahmu, Sandarkan Pada Kenangan dan banyak lagi tidak pernah dilupakan.
Rata-raya penonton terpaku mendengar suara Jamal sepanjang konsert berlangsung. Malah mereka tidak mahu berganjak pulang walaupun konsert berakhir sehingga memaksa Jamal meneruskan persembahan.
Album lagu-lagu baru dan lama yang dijual di luar panggung juga laris bak goreng pisang panas. Peminat tidak mahu melepaskan peluang memiliki albumnya semula. Apatah lagi mereka berpeluang mendapatkan tandatangan Jamal pada sampul album selepas itu.
Mangga
Tiada ulasan:
Catat Ulasan