iDAN

10 Ogos 2009

Sindiket culik palsu terus aktif (Ceritera)

KUALA LUMPUR - Biarpun media telah banyak melaporkan kejadian culik palsu yang didalangi pihak tertentu tetapi masih banyak lapo- ran polis diterima daripada orang ramai yang terpedaya dengan tipu helah itu.

Dalam tempoh sebulan lalu, polis menerima sebanyak empat kes yang kesemuanya membabitkan kerugian RM82,000. Tiga daripada kes itu berlaku di Cheras dan satu kes di Brickfields.

Kes terbaru pada 23 Julai lalu di Cheras membabitkan seorang lelaki kerugian hampir RM40,000 ditipu oleh sindiket tersebut.

Dalam kejadian itu, mangsa pengusaha bengkel kereta telah menerima panggilan daripada seorang lelaki mengatakan anaknya telah diculik dan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam satu akaun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, sindiket yang dipercayai banyak beroperasi di Sabah itu menggunakan modus operandi membuatkan mangsa-mangsa cemas sebelum mengarahkan mereka memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun bank atau meninggalkan wang tersebut di pondok telefon.

Menurut beliau, siasatan juga mendapati, sindiket tersebut mempunyai pengetahuan mengenai ahli keluarga mangsanya walaupun mereka dipercayai hanya membuat panggilan secara rambang.

"Polis sedang menyiasat daripada mana ahli sindiket itu mendapat maklumat mengenai ahli keluarga mangsa kerana setakat ini hanya seorang suspek yang dapat ditahan di Sabah bulan lalu," kata beliau di sini baru-baru ini.

Mengulas kejadian di Cheras, Izany memberitahu, suspek yang menghubungi mangsa mendakwa mereka telah menculik anak lelakinya yang belajar di luar negara dalam bidang teknologi maklumat (IT).

Katanya, panik dengan dakwaan itu, mangsa dari Taman Midah Cheras berusia 50 tahun itu kerugian RM40,000 selepas memasukkan wang tersebut ke dalam akaun seorang suspek.

"Mangsa terlalu cemas dan tidak terfikir untuk menghubungi anaknya sebelum memasukkan wang yang diminta lelaki yang menghubunginya," katanya.

Kosmo

Tiada ulasan: