iDAN

10 Ogos 2009

Ragut 9 lagi nyawa (Ceritera)


KAKITANGAN KIST melakukan pemeriksaan dan saringan kesihatan ke atas pelajar yang kembali ke kampus itu di Bachok, Kelantan semalam.


KUALA LUMPUR - Wabak selesema babi (H1N1) kian membimbangkan apabila sembilan lagi kematian dicatatkan semalam menjadikan keseluruhan jumlah kematian akibat penyakit itu setakat ini meningkat kepada 27 kes.

Dalam kes terbaru, dua dari- padanya berlaku di Sabah melibatkan seorang wanita obes, 24, dan seorang lelaki warga emas berumur 74 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam satu kenyataan semalam berkata, wanita obes itu meninggal dunia pada 5 Ogos lalu selepas mendapatkan rawatan di Hospital Ranau pada 1 Ogos setelah mengalami demam dan batuk selama empat hari.

Sementara itu, warga emas terbabit yang juga penghidap jantung kronik meninggal dunia pada 6 Ogos lalu, tiga hari selepas mendapatkan rawatan susulan di hospital yang sama.

Lelaki itu dikatakan baru mengalami demam sehari dan berdepan dengan kesukaran bernafas sejak sebulan lalu.

Kes lain pula merujuk seorang pelajar wanita, 20, yang dirawat sebagai pesakit luar bagi penyakit serupa Influenza (ILI) pada 1 Ogos lalu dan meninggal dunia di bilik asramanya, lima hari kemudian.

Selain itu, wabak tersebut turut meragut seorang lelaki berumur 48 tahun yang menghidap asma dan hipertensi dari Sarawak dan seorang lelaki obes berumur 37 tahun dari Johor.

Mangsa ke-9 yang terkorban ialah seorang wanita mengandung berumur 25 tahun di sebuah hospital pakar di Johor Bahru pada pukul 1.30 pagi semalam.

Wanita itu disahkan meninggal dunia akibat pneumonia dan kegagalan pelbagai organ badan.

Kosmo!

Kempen besar-besar kawal H1N1
Ogos 10, 09 7:18pm
Kerajaan akan melancarkan satu kempen besar-besaran minggu ini untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya penyakit selesema A (H1N1) setelah wabak itu makin serius, kata perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan juga akan menyediakan ubat antivirus di hospital dan klinik awam di seluruh negara, lapor Bernama.

"Langkah yang paling berkesan ialah melalui proses mendidik orang ramai iaitu memberikan panduan kepada rakyat Malaysia," katanya selepas melancarkan bangunan baru Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur hari ini.

Sehingga hari ini, 32 orang meninggal dunia dan 1,983 orang dijangkiti penyakit itu di negara ini, termasuk 15 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Stok antivirus ditambah

Najib juga menasihatkan mereka yang mengalami demam supaya lebih berhati-hati dan mengelak daripada berkunjung ke tempat awam.

"Sekiranya demam, langkah paling baik ialah berehat di rumah sampai pulih, kerana kalau keluar, takut akan menjangkiti orang lain nanti.

"Kalau di rumah pun, mereka dinasihatkan supaya memakai topeng untuk elak daripada menjangkiti ahli keluarga," katanya.

Tambahnya, stok antivirus akan ditambah daripada 10 peratus bagi lebih 27 juta jumlah penduduk kepada 20 peratus, dan penambahan ini melibatkan peruntukan tambahan RM20 juta.

"Kementerian Kesihatan melalui hospital dan klinik akan menyediakan antivirus secara lebih luas supaya lebih ramai rakyat boleh dapat suntikan untuk bantu mengelak dijangkiti virus yang lebih memudaratkan," katanya.

Sidang khas Parlimen

Agensi berita yang sama juga melaporkan desakan seorang pemimpin kanan PAS agar Parlimen mengadakan satu persidangan khas bagi membincangkan wabak tersebut yang disifatkannya "ancaman kepada keselamatan negara".

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, kertas putih mengenai pelan tindakan menangani jangkitan penyakit itu perlu dibentangkan di Parlimen.

Ahli parlimen Pokok Sena juga mencadangkan penubuhan jawatankuasa keselamatan negara dengan segera agar langkah-langkah pencegahan yang lebih serius dapat diambil.

"Kuarantin harus diperketatkan seperti di Mexico di mana seseorang yang dijangkiti penyakit itu dikuarantinkan dengan ketat, dan mereka berjaya mengawal situasi ini daripada menjadi lebih teruk," Mahfuz dipetik berkata.

MalaysiaKini

6 lagi korban H1N1, 203 kes baru
Ogos 10, 09 2:26pm
kemaskini 5.50pm Enam lagi menjadi korban selesema A (H1N1), menjadikan jumlah semuanya 32 orang sejak kes pertama 23 Julai lalu.

Semalam lapan disahkan mati akibat virus wabak tersebut.

Keenam-enam kematian itu antara 203 kes terbaru yang dilaporkan hari ini - kenaikan kes tertinggi dalam satu hari - menjadikan jumlah keseluruhannya 1,983 kes.

Ketua pengarah kesihatan menjelaskan, angka kematian terbaru itu merujuk satu kes yang berlaku semalam, manakala selebihnya kematian lebih awal yang hanya disahkan pada 7 dan 8 Ogos.

"Empat daripada kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko. Tarikh kematian sebenar seperti berikut: 5 Ogos (2 dua), 8 Ogos (3 orang) dan 9 Ogos (seorang)," kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Seramai 67 pesakit kini sedang dirawat di hospital dan seramai 15 lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Enam di unit tersebut mempunyai risiko iaitu penyakit kronik (3 orang), obesiti (1), selepas hamil (1) dan bayi (1).

Dr Mohd Ismail menambah, mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan influenza A (H1N1) diminta segera mendapatkan rawatan.

"Rawatan anti-virus akan diberikan tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula," katanya.

"Berikan perhatian kepada tanda-tanda amaran seperti masalah sukar bernafas, demam atau sakit dada yang berterusan, batuk/kahak berdarah, muntah/cirit-birit yang kerap.

"Dapatkan rawatan segera apabila mengalami tanda-tanda tersebut."

MalaysiaKini

Tiada ulasan: