Oleh WANDA IDRIS
|
Michael Jackson |
DIA dilihat aneh dan penuh misteri. Tapi dia juga mencipta hits, punya persona, gaya dan ego, juga bakat yang besar, digelar ikonik muzik dan disanjung sebagai Raja Pop Dunia.
Kini semua pemujaan itu berkubur bersama-samanya. Membawa sekali kehidupan suka duka dan pahit manis yang dilaluinya selama hampir 51 tahun dia menghuni dunia ini.
Michael Joseph Jackson yang awalnya mula dikenali bersama empat saudaranya - The Jackson 5- nyata mencipta legasinya dengan penuh kemasyhuran, juga kehancuran.
Kematian mengejut pada petang Khamis (pagi Jumaat waktu tempatan) lalu akibat kegagalan fungsi jantung membawa sekali gemilang dan tragedi diri yang berpanjangan; yang pelik lagi aneh, yang adakalanya melucukan daripada kemilau kemuncak jaya seorang penyanyi yang dikecapi sejak tahun 80-an.
Penghibur legenda itu menyatukan muzik hitam-putih yang merobohkan tembok kaum di MTV serta mendominasi papan carta lagu serta hadir di pentas dengan gaya persembahan mengagumkan.
Memang siapa yang tidak mengenali si Wacko Jacko, nama jolokan yang sepelik dan seaneh wajah buatannya.
Namun muziknya mencipta fenomena. Album Thriller (1982) yang mengandungi lagu hits blockbuster - Beat It, Billie Jean dan Thriller - nyata mencipta satu kejayaan terunggul buat dirinya selepas era Jackson 5.
Terjual lebih 109 juta unit di seluruh dunia, menjadikan album terbitan Quincy Jones itu sebagai album yang mendapat penjualan paling banyak dunia dan merangkul kedudukan tertinggi papan carta lagu selain Beat It dan Billie Jean meraih lapan anugerah Grammy, sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum itu, di samping banyak anugerah lain.
Namun segala titik peluh dan kehebatan seorang revolusioner muzik semakin terhakis dan kemudiannya lebur akibat perlakuan pelik dan aneh yang diciptanya sendiri.
Neverland Ranch, biarpun bukan lagi menjadi miliknya, kediaman dan taman tema yang diagung-agungkan yang sering menjadi tempat berkumpul Jackson bersama kanak-kanak itu sebenarnya hampir meranapkan kerjaya seninya.
Semuanya gara-gara pertuduhan salah laku kepada insan-insan kecil yang disayanginya dan yang menyanjungi dirinya.
Kes itu juga menyemarakkan khabar angin tentang kesukaan dirinya terhadap budak-budak muda. Kerjaya dan imejnya tercalar dan dalam masa yang sama menghadapi masalah kewangan yang amat serius.
Pun begitu dibebaskan atas 10 pertuduhan melibatkan pencabulan ke atas seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun lalu menyuntik semangat baru kepada dirinya.
Berjuta-juta peminat Raja Pop itu di seluruh dunia menantikan konsertnya malah selepas memenangi pertikaian di mahkamah itu, dilaporkan jualan album Jackson meningkat 40 peratus.
Pada saat dia mula bangun dan namanya kembali meniti di bibir masyarakat dunia, dengan jualan tiket-tiket konsert yang laku bak pisang goreng panas, Raja Pop itu tiba-tiba meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.
Malah pada saat kematiannya di kediaman sewanya di Bel-Air, Los Angeles (L.A) itu, Jackson sedang giat membuat persediaan untuk sebuah kemunculan semula - dia dijadualkan muncul mengadakan 50 persembahan, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, di London dengan kemunculan sulung pada 13 Julai depan.
Dan dikhabarkan latihan itu adalah bagi merealisasikan impian untuk sebuah lagi konsert ekstravaganza yang bakal mengimbau semula keajaiban seorang Michael Jackson!
Kejutan dan misteri
Sehingga berita ini ditulis, belum ada pengesahan terhadap punca sebenar kematian namun ia cukup mengejutkan dunia.
Para peminat fanatik meratapi kematiannya, berkunjung ke kediaman keluarga yang sudah lama ditinggalkan di Gary, Indiana, juga memenuhi perkarangan Pusat Perubatan UCLA, semuanya semata-mata memberi penghormatan terakhir buat Jackson.
Biarpun dikatakan berpunca daripada kegagalan fungsi jantung, kematian itu turut mengundang sebuah misteri.
Biarpun ikon pop itu dilaporkan tidak sedarkan diri dan tidak bernafas, para paramedik cuba menyelamatnya dan bergegas membawanya ke hospital yang jauhnya ‘hanya enam minit memandu’ sebelum disahkan mati.
Kematian Jackson akibat kegagalan fungsi jantung merupakan sesuatu yang tidak dijangkakan kerana ia menyerang tanpa amaran.
Fungsi jantung yang berhenti tiba-tiba boleh disebabkan oleh serangan jantung atau masalah berkaitan jantung yang lain.
Pada sepanjang kariernya di puncak, keadaan kesihatan Jackson sebenarnya turut menjadi bualan sehangat lagu-lagu hitsnya.
Kematian yang tidak disangka pada usianya 50 tahun itu turut mengungkap kembali sejarah-sejarah masalah kesihatan yang dihadapi Jackson.
Ini termasuk pembedahan plastik, dimasukkan ke hospital secara misteri dan laporan pengambilan pelbagai pil.
Awal 90-an, pakar kulit Jackson mendedahkan bahawa penyanyi itu menghadapi masalah kulit yang dikenali sebagai vitiligo yang membuatkan kulitnya bertompok putih.
Raja Pop Dunia itu juga dilaporkan ketagihan ubat penahan sakit yang mula diambilnya selepas kulit kepalanya terbakar ketika menjayakan iklan komersil, Pepsi pada 1984.
Malah ketika menghadapi perbicaraan kes pencabulan pada 2005, Jackson beberapa kali dimasukkan ke hospital.
Tahun lepas, seorang penulis biografi mendakwa artis legenda itu menderita sejenis penyakit pernafasan yang jarang ditemui dan memerlukan transplan paru-paru namun pegawai serantanya menafikan.
Bualan mengenai keadaan kesihatan Jackson juga hangat diperkatakan semula beberapa bulan lalu apabila wakilnya menangguhkan beberapa siri lawatan ke London dengan alasan penyanyi itu perlu melakukan latihan bagi siri konsertnya di situ.
Pun begitu, pengetua Centerstaging, tempat Jackson melakukan latihan, Johnny Caswell memberitahu artis itu kelihatan sangat lemah ketika mengadakan latihan tetapi amat keras bekerja.
Bekas pegawai serantanya, Michael Levine pernah memberitahu bahawa tekanan emosi, fizikal, undang-undang, kewangan dan kecelaruan kerohanian sentiasa menyelubungi kehidupan Jackson.
“Ia umpama toksid,” kata Levine.
Namun bagi Quincy Jones yang melonjakkan nama Jackson menerusi Thriller, ”Saya tidak mampu berkata. Dia seorang penghibur yang handal dan legasinya akan diingati. Saya kehilangan adik hari ini dan separuh nyawa saya pergi bersamanya.”
Islamkah Michael?
Terkenal dengan gerak tari, juga kaca mata aviator dengan sarung tangan sekuin dan jaket ala-tentera serta seluar ketatnya, Jackson merupakan penghibur paling mengujakan bagi generasinya.
Biar banyak kisah-kisah negatif yang melingkari kehidupannya namun status dirinya sebagai seorang Muslim menjadi antara pertanyaan ramai peminatnya.
Sementelah sebelum ini Jackson pernah dilapor sudah memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mikaeel yang bermaksud ‘rezeki”.
Jackson dilaporkan oleh akhbar The Sun pada tahun lepas telah mengadakan majlis memeluk Islam di rumah seorang rakannya yang juga penggubah muzik untuk album Thriller, Steve Porcaro di Los Angeles.
Turut hadir pada majlis itu ialah penyanyi Yusuf Islam, pencipta lagu David Wharnsby dan penerbit album Philip Bubal.
Biarpun status agamanya itu masih tidak diketahui namun abangnya, Jermaine memberitahu yang adiknya itu memang telah menunjukkan kecenderungan terhadap agama suci itu sejak awal 90-an lagi.
Jackson mula tertarik dengan ajaran agama suci ini apabila Jermaine memeluk Islam pada 1989 menggunakan nama Muhammad Abdul Aziz.
“Saya menghadiahkan banyak buku tentang keindahan Islam kepadanya selepas saya kembali dari menunaikan haji.
“Beliau banyak bertanya tentang Islam dan saya menceritakan keindahan dan ketenangan yang saya lalui selepas bergelar penganut agama ini kepadanya,” kata Jermaine yang dipetik oleh akhbar Daily Telegraph tahun lepas.
Utusan Malaysia