PANORAMA malam Beijing yang menjadi ibu negara dan juga bandar raya paling pesat membangun di China.
KETAKUTAN untuk menjejak kaki ke luar negara sudah lama menjadi
penghalang untuk saya meneroka keindahan dunia luar yang selama ini
hanya dapat dilihat di kaca televisyen dan gambar. Sebelum ini, saya
belum pernah mempunyai pengalaman bercuti di negara orang.
Walaupun pernah beberapa kali memasang niat dan bercadang untuk
bercuti ke luar negara, hasrat itu asyik terbatal tambahan lagi komitmen
kerja dan keluarga, lebih-lebih lagi kini saya mempunyai anak kecil
yang menyusu badan sepenuhnya.
Bagaimanapun, disebabkan penggambaran telefilem Asmara Beijing dan
Metro Skuad musim kedua berlangsung di Beijing, China, saya akhirnya
akur dengan kehendak pengarah, Datuk Yusof Haslam untuk menjalani
penggambaran di sana.
Dua minggu sebelum berangkat, saya berasa gusar untuk berjauhan
daripada keluarga lebih-lebih lagi suami dan anak. Tetapi, suami
menyokong dan saya sendiri membeli beberapa pasang baju sejuk walaupun
ramai yang mengatakan cuaca tidaklah begitu sejuk di sana.
Saya memang tidak tahan sejuk! Di Malaysia sekali pun, saya
berselimut tebal, inikan pula di negara yang bersalji. Justeru, saya
membuat persediaan sewajarnya.
FORBIDDEN CITY merupakan destinasi wajib yang perlu dilawati saat bertamu di Beijing.
Hari pertama di Beijing, saya dan ahli rombongan lain dibawa melawat
Fresh Water Pearl Centre. Di situ saya mengambil peluang
membeli batu
jed untuk ibu saya yang amat menyukai aksesori itu.
Keriangan di Tembok Besar China
Di sana, banyak batu permata dan mutiara dijual pada harga dua kali ganda lebih murah berbanding di Malaysia.
Selepas itu, kami dibawa melawat Summer Palace yang merupakan taman
diraja terbesar di China yang dibina pada tahun 1751 oleh Maharaja Qing
pada zaman itu. Kami juga melawat
Masjid Nan Dou Ya yang mempunyai
rekaan China unik berusia ratusan tahun.
Pada waktu malam pula, kami dibawa melihat persembahan akrobatik.
Saya amat terpesona dengan tarian yang kelihatan pelik, tetapi menarik
yang merupakan sebahagian budaya orang China.
Hari kedua di Beijing, kami dibawa melawat
Jade Museum yang banyak
memaparkan budaya bangsa China untuk kami fahami dan pelajari. Selepas
itu, penggambaran telefilem diteruskan dekat
Tembok Besar China. Di
situ, saya dan ahli rombongan lain berpeluang menyaksikan salah satu
keajaiban dunia di depan mata.
Kami bertuah kerana salji turun pada hari kedua menyebabkan Tembok
Besar China dilitupi salji. Walaupun cuaca sangat sejuk sekitar 2 darjah
celsius, saya dan ahli rombongan lain berlumba-lumba mendaki tangga
tembok dan menggelongsor seperti kanak-kanak!
Tangan dan kaki saya berasa kebas akibat terdedah dengan salji untuk
tempoh masa yang panjang. Saya terpaksa meniup dan menggosok tapak
tangan berulang kali untuk mengurangkan rasa sejuk.
|
SALINA ke Beijing untuk penggambaran telefilem Asmara Beijing dan Metro Skuad.
|
Keesokan harinya, lokasi pelancongan yang dikunjungi dan paling
diingati ialah di
Forbidden City. Di samping mempelajari sedikit
sebanyak tentang sejarah pemerintahan di sini, saya lebih terpesona
dengan seni binanya yang begitu unik, malah masih kukuh hingga ke hari
ini.
Monumen itu mempunyai tujuh buah pintu yang besar menggambarkan luasnya bangunan itu. Ia tidak ubah seperti sebuah kompleks.
Disebabkan masa untuk menjelajah begitu singkat, saya dan ahli
rombongan lain bergegas untuk merasai pengalaman masuk ke setiap pintu
yang ada. Saya berpuas hati kerana dapat mengambil banyak gambar
sepanjang berada di Forbidden City.
Di luarnya pula, terdapat banyak pokok yang mempunyai bentuk unik
dengan ranting dan dahannya berlingkar-lingkar. Ketika berada di sini,
saya berpeluang menikmati
buah strawberi dicelup madu yang dijual
peniaga jalanan. Rasanya sungguh sedap kerana buah strawberi itu amat
manis dan segar.
Pada hari ketiga juga, saya berpeluang berkunjung ke
Masjid Niujie
iaitu masjid tertua di China yang menyimpan sejarah ribuan tahun.
Kemudian, kunjungan diteruskan ke Muslim Super Market yang merupakan
satu-satunya pasar Muslim di Beijing.
Berdekatan dengannya juga terdapat Silk Store yang begitu popular
dalam kalangan pelancong kerana harga kain sutera jauh lebih murah
berbanding di mana-mana negara. Malah, pelbagai pilihan produk
membuatkan saya rambang mata.
Tewas untuk membeli-belah
Sebelum tiba di Beijing, saya sudah berniat untuk tidak berbelanja
besar kerana seringkali membeli sesuatu, tetapi tidak memakainya.
|
STRAWBERI bersalut madu yang boleh dibeli di tepi-tepi jalan di Beijing.
|
Tetapi sebagai kaki membeli-belah, akhirnya saya tewas. Dengan harga
yang sangat murah, terasa rugi sekiranya tidak membeli barangan kenangan
memandangkan ini kali pertama saya berkunjung ke China, malah ke luar
negara.
Pada hari keempat, selain penggambaran yang menjadi rutin harian,
kami dibawa ke tempat-tempat beli-belah terkenal di Beijing seperti
Olympic Sponsor Jewelry City, Kitchen Appliance Store dan Foot Massage.
Pada waktu malam pula, aktiviti membeli-belah diteruskan di kedai cenderamata Hard Rock Cafe.
Saya sememangnya menyukai cenderamata daripada Hard Rock Cafe kerana
mengumpulnya hasil hadiah daripada teman-teman yang berkunjung ke luar
negara.
Kali ini, saya dapat membelinya sendiri untuk dihadiahkan kepada
teman-teman dan keluarga saya.
Pada hari kelima, saya tidak terlibat dengan penggambaran kerana hari
itu kru penggambaran perlu menyiapkan penggambaran klip video Anuar
Zain pula.
Justeru, isteri Datuk Yusof Haslam iaitu Datin Fatimah Ismail membawa
kami berjalan-jalan di sekitar Beijing serta membeli-belah di pusat
beli-belah yang banyak menjual beg-beg yang cantik dan murah.
Kami juga berpeluang mengambil gambar di Hard Rock Cafe pada waktu
siang serta menikmati aktiviti bebas selepas bertungkus-lumus
menyelesaikan babak-babak penggambaran yang perlu disiapkan di Beijing.
Sepanjang aktiviti itu, saya dapat melihat bandar raya Beijing dengan
lebih teliti. Bagi saya, Beijing ibarat bandar raya tidak berwarna
kerana bangunannya banyak menggunakan warna-warna asas.
Selain itu, di sini juga sukar untuk melihat bangunan tinggi, malah kedudukannya juga agak jauh antara satu sama lain.
Kunjungan ke Beijing berakhir pada hari keenam iaitu selepas sarapan
pagi di hotel kerana penerbangan dijadualkan pada waktu tengah hari.
Kunjungan kali pertama ini amat bermakna kerana ia telah membuka mata dan minda untuk lebih menghargai kebesaran ciptaan tuhan.
Selepas ini, mungkin saya akan mula memikirkan lokasi percutian luar negara seterusnya dan membawa keluarga saya pula.