iDAN

26 Jun 2011

03.2 - Konsep Komunikasi Antara Komputer

Mekanisma Asas Komunikasi

Secara amnya, proses menjayakan sesuatu komunikasi boleh dipecahkan kepada sekurang-kurangnya tiga lapisan di mana setiap lapisan memainkan peranan yang berbeza. Dalam konteks komunikasi di antara manusia, peranan lapisan ini boleh dilihat seperti berikut: Manusia , memikirkan sesuatu idea yang mudah, yang abstrak dan kompleks di dalam pemikirannya. Pemikiran manusia ini boleh dianggap sebagai satu lapisan komunikasi yang dipanggil lapisan kogniti. Idea ini jika hendak disampaikan kepada pendengar perlu disampaikan dalam bahawa yang boleh difahami oleh pendengar. Proses menukar idea kepada bahasa yang boleh difahami ini merupakan tugas lapisan bahasa. Untuk menyampaikan idea yang telah diatur dalam bahasa yang boleh difahami oleh pendengar, maka bunyi bagi setiap perkataan dalam bahasa yang ingin digunakan perlu dihasilkan. Proses menghasilkan bunyi ini dilakukan oleh tekak, iaitu lapisan pemancar. Pada keseluruhannya proses menyampaikan sesuatu idea kepada pendengar melibatkan beberapa proses yang bergerak dari lapisan atas ke lapisan bawah.

Lapisan komunikasi dan fungsinya
Rajah 3.2 Lapisan komunikasi dan fungsinya

Bagi pendengar, proses memahami sesuatu idea yang disampaikan kepadanya melibatkan pergerakan dari lapisan bawah ke lapisan atas.Bunyi yang diterima oleh telinga pendengar (lapisan penerima) ditukarkan kepada perkataan untuk diproses oleh lapisan bahasa bagi membentuk ayat-ayat yang difahami. Daripada ayat-ayat ini barulah idea yang disampaikan oleh penyampai boleh difahami oleh penerima. Idea yang diterima ini kemudian boleh diolah dan diubah bagi menghasilkan idea-idea yang baru. Proses ini dilakukan oleh lapisan kognitif. Lapisan Kognitif, bahasa dan pemancar/ penerima boleh berfungsi dengan bebas tanpa mempengaruhi antara satu sama lain.Kerosakan pada lapisan kognitif tidak akan menjejaskan fungsi lapisan bahasa atau lapisan pemancar/penerima secara langsung. Contohnya, orang yang tidak sempurna pemikirannya masih boleh menghasilkan perkataan bagi membentuk ayat dan seterusnya menghasilkan bunyi. Ini menunjukkan bahawa lapisan kognitif yang tidak sempurna tidak menjejaskan operasi lapisan lain. Cuma kemungkinan besar ayat yang ditutur itu tidak sempurna maknanya. Begitulah juga halnya dengan orang yang pekak boleh berfikir dan membentuk perkataan serta ayat dengan baik walaupun dia tidak boleh mendengar.

Model Komunikasi Pelanggan-Pelayan

Model komunikasi merujuk kepada tatacara di mana dua buah komputer berinteraksi di antara satu sama lain bagi menjalankan sesuatu tugas. Di dalam Internet, perjalanan setiap aplikasi Internet adalah berasaskan kepada model komunikasi yang dipanggil komunikasi pelanggan-pelayan (client-server communication). Di sini, pelanggan (client) merupakan perisian yang meminta sesuatu perkhidmatan manakala perisian yang memberikan perkhidmatan dipanggil pelayan (server). Lazimnya komputer yang menjalankan perisian pelanggan dipanggil sebagai pelanggan. Begitulah juga bagi komputer yang menjalankan perisian pelayan dipanggil sebagai pelayan. Oleh itu, perkataan pelanggan dan pelayan boleh merujuk kepada perisian atau komputer yang menjalankan perisian tersebut. Aplikasi yang menggunakan konsep komunikasi pelanggan-pelayan dipanggil sebagai aplikasi pelanggan-pelayan (client-server application). Perjalanan aplikasi ini dikawal oleh pelanggan. Apabila pelanggan membuat sesuatu permintaan maka pelayan akan bertindak melayan permintaan pelanggan. Contohnya, dalam aplikasi pemindahan fail FTP, perjalanan aplikasi lazimnya bermula dengan pelanggan meminta pelayan menghantar fail kepadanya. Apabila pelayan menerima arahan daripada pelanggan maka ia akan bertindak serta merta menghantar fail yang diminta oleh pelanggan.
Model komunikasi pelanggan-pelayan
Rajah 3.3 Model komunikasi pelanggan-pelayan
Komunikasi pelayan-pelayan dalam aplikasi pemindahan fail

Rajah 3.4 Komunikasi pelanggan-pelayan dalam aplikasi pemindahan fail

Pelayan yang baik adalah pelayan yang boleh melayani permintaan pelanggan setiap masa. Oleh yang demikian, komputer yang menjadi pelayan di dalam Internet adalah komputer yang beroperasi selama 24 jam sehari , 7 hari seminggu dan 365 hari setahun. Komunikasi pelanggan-pelayan membolehkan beban dan tugas menjalankan sesebuah aplikasi dikongsi bersama. Ini dapat mengurangkan kesesakan komunikasi dan mengimbangkan penggunaan kuasa sesebuah komputer

Tiada ulasan: