iDAN

26 Jun 2011

03.32 - Protokol Internet (IP) dan Penghala

Protokol Internet (IP) dan Penghala

IP adalah protokol yang menyalurkan datagram IP ke saluran yang tertentu dengan harapan ia sampai ke destinasinya. IP adalah protokol yang fleksibel. Ia boleh menyalurkan datagram IP ke laluan yang berbeza bergantung kepada keadaan pada laluan yang ada. Penghala yang bijak dan canggih boleh menentukan laluan yang terdekat untuk sampai ke destinasi dan sebagainya. IP dikatakan tidak reliabl kerana ia tidak mengambil tahu sama ada bungkusan komunikasi sampai ke destinasinya atau tidak. Bagaimanapun, IP adalah tunggak kepada TCP/IP kerana setiap protokol di lapisan atas dan di bawah menggunakan IP.

Penghala adalah blok binaan asas Internet. Peranti ini menggunakan IP untuk bertindak menyalurkan datagram IP yang diterima ke laluan yang tertentu supaya sampai ke destinasinya.

Apabila pelanggan berkomunikasi dengan pelayan dalam Internet, data yang dihantar oleh pelanggan akan dipecahkan menjadi bungkusan yang lebih kecil (data-gram IP) sebelum ia dihantar ke pelayan. Setiap data-gram IP mengandungi alamat IP pelanggan dan pelayan. Semasa dalam laluan ke pelayan, penghala akan memeriksa alamat IP yang terdapat pada setiap datagram IP yang diterimanya sebelum ia disalurkannya ke laluan yang sesuai. Datagram IP yang diterima oleh pelayan akan dicantumkan semula oleh TCP/IP pelayan dan TCP pelayan akan memeriksa data yang diterima bagi memastikan tiada yang hilang dan sebagainya.

Penghala menggunakan jadual laluan bagi menentukan laluan setiap bungkusan

Rajah. 3.7 Penghala menggunakan jadual laluan bagi menentukan laluan setiap bungkusan.

Dalam kes di mana terdapat dua laluan ke destinasi yang sama, penghala adakalanya diberi kebenaran untuk menentukan laluan yang sesuai untuk menyalurkan data ke destinasinya. Kelonggaran ini penting bagi memastikan data masih dapat dihantar ke destinasinya sekiranya terdapat laluan yang rosak.

Rajah 3.8 Data daripada sebuah komputer yang sedang berkomunikasi dengan komputer lain akan merentasi banyak nod (hos, get laluan atau penghala) sebelum sampai kedestinasinya

Tiada ulasan: