iDAN

26 Jun 2011

03.5 - Protokol Internet Generasi Baru dan Rangkaian 6bone

Protokol Internet generasi baru (Internet Protokol new generation-IPng) merupakan satu usaha yang dilakukan dibawah pengelolaan Internet Engineering Task Force bagi menghasilkan IP yang baru. Pembaharuan ini dilakukan kerana IP yang digunakan sekarang (IPv4) tidak mempunyai alamat yang cukup besar untuk diagihkan secara berkesan bagi menampung bilangan pengguna Internet yang semakin ramai. Di samping mempunyai bilangan alamat yang besar, IPng mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan IPv4. Antaranya ialah kebolehan IPng menangani isu keselamatan data dan keutamaan penggunaan aplikasi yang dipanggil sebagai Kualiti Perkhidmatan (Quality of Service).

Dengan menggunakan IPng, kandungan datagram IP boleh dirahsiakan dengan mudah dan ini menjdaikan penggunaan Internet sebagai alat menyalurkan data yang sulit lebih selamat dan menarik. Kualit perkhidmatan adalah taq yang menyatakan keutamaan sesebuah aplikasi bagi membolehkan aplikasi tersebut dilayani dengan keutamaan yang sewajar. Aplikasi yang memerlukan interaksi yang segera di antara pelanggan dan pelayan seperti TELNET diberi keutamaan yang tinggi berbanding aplikasi e-mail. Ini kerana, e-mail yang hendak dihantar boleh ditunda tanpa menjejaskan penghantaran dan penerimaan. Semua aplikasi Internet2 akan menggunakan taq ini bagi mendapatkan kadar pengaliran data yang setimpal dengan bentuk interaksi yang diperlukan.

Rangkaian 6bone adalah rangkaian ujian yang dibina khas untuk menguji kebolehan IPng berfungsi dengan baik. Ia juga diwujudkan sebagai satu strategi menintegrasikan rangkaian yang menggunakan IPng dengan rangkaian Internet yang menggunakan IPv4 seperti yang ada sekarang. Kini terdapat lebih 20 negara di dunia yang mempunyai sambungan ke rangkaian 6bone. Bilangan institusi pendidikan dan komersial yang menggunakan IPng dan rangkaian 6bone juga meningkat dengan kadar yang agak tinggi. Perkakasan rangkaian seperti penghala yang menggunakan IPng juga sudah mula terdapat dalam pasaran. IPng dijangka akan digunakan sepenuhnya sebelum tahun 2000. Adalah diharapkan dengan penggunaan IPng dan rangkaian yang berkelajuan tinggi seperti 6bone, Internet dapat maju setapak lagi bagi membolehkan aplikasi multimedia yang intensif disalurkan kepada pengguna dengan baik.

Dr Ahmad Zaharim bin Abdul Aziz

Tiada ulasan: